UMP meterai kerjasama dengan Universiti dari Indonesia
PEKAN, 21 Mac 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universitas Pembangunan Panca Budi, Medan dan Unika Santo Thomas, Medan dalam usaha melebar luas kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan dan pengantarabangsaan.
UMP diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim.
Manakala Universitas Pembangunan Panca Budi diwakili oleh Rektornya, Dr. H. Muhamad Isa Indrawan dan Unika Santo Thomas, Medan diwakili oleh Rektornya, Profesor Dr. Maidin Gultom.
Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi, UMP sebagai sebuah universiti yang bercirikan teknologi dan kejuruteraan sentiasa beraspirasi ke arah untuk menjadi sebuah universiti teknologi terunggul dan berdaya saing di peringkat global.
“UMP amat mengalu-alukan jalinan kerjasama dengan rakan–rakan universiti dari Indonesia dalam meneroka lebih banyak peluang kerjasama.
“Kolaborasi ini melibatkan pertukaran pelajar, pertukaran tenaga pengajar, penyelidikan secara bersama, kerjasama dalam penawaran program seperti persidangan dan seminar secara bersama selain penawaran program ijazah sarjana (Master) dan kedoktoran (PhD) di UMP juga akiviti yang disepakati bersama,” katanya.
“Selain itu, jalinan kerjasama ini juga akan dapat berkongsi kepakaran dan teknologi yang ada di UMP dan di Universitas Pembangunan Panca Budi serta Universitas Santo Thomas untuk manfaat Bersama,” ujar beliau.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.
- 103 views