UMP Meterai Perjanjian dengan USM bagi Pemantapan Sistem Pengurusan Data Strategik
Pulau Pinang, 27 Jun- Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Sains Malaysia (USM) memeterai perjanjian persefahaman (MoA) untuk berkongsi kepakaran dalam pembangunan Sistem Pengurusan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) atau yang dinamakan UMP KPI-Management System yang bakal memanfaatkan universiti dalam meningkatkan kecekapan pengurusan data strategik.
Hadir menandatangani perjanjian Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Mashitah Mohd. Yusof mewakili UMP manakala Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail dan Pengarah Bahagian Pembangunan Institusi USM.
Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, prestasi dan pencapaian sesebuah universiti adalah amat bergantung kepada keupayaannya untuk memenuhi rangkaian KPI dan sasaran strategik yang telah ditetapkan, sama ada di peringkat institusional mahu pun personel.
“Selain pasukan kerja yang efisien, komited dan kaya sumber (resourceful), satu lagi aspek utama yang menyumbang kepada keberkesanan penyampaian ialah keupayaan kita untuk mewujudkan sistem pengurusan strategik yang bersepadu (integrated) dan memudahcara dari segi operasinya,” katanya sempena majlis menandatangani MoA yang berlangsung di USM.
Tambah beliau, pengemblengan sumber manusia dan sistem automasi tersebut secara terarah bukan sahaja positif dalam konteks kecekapan organisasi, tetapi juga membolehkan pemantauan prestasi dan kawalan operasi dijalankan berterusan secara dalam talian (online).
Pihaknya mendapati pengurusan data strategik secara dalam talian di USM dapat diuruskan dengan efektif dan efisien, dan inilah kerangka automasi yang amat bersesuaian dengan keperluan semasa universiti pada ketika ini.
Justeru, setelah melalui pelbagai proses rundingan dengan USM serta perakuan dan kelulusan menurut peraturan di peringkat Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan, kini UMP KPI-Management System telah dapat dibekalkan kepada pihak UMP untuk dioperasikan dalam kadar yang segera.
Beliau juga berpuas hati kerana proses pemasangan sistem UMP KPI-MS kini sedang giat dijalankan mengikut jadual kerja yang telah ditetapkan berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.
Dalam pada itu, Prof. Dato’ Sri Dr Daing yakin bahawa apabila sistem ini beroperasi sepenuhnya kelak, cabaran dan kesulitan dalam pengurusan data strategik di UMP dapat diatasi dan melalui sistem ini, UMP akan berupaya menyenggara dan menyalurkan data-data berkualiti tinggi yang amat penting dalam konteks penjanaan keputusan dan pelaporan strategik.
Malahan ianya juga menjadi sebahagian daripada sasaran keutamaan pihak pengurusan universiti dalam memastikan segala sasaran yang mendasari pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020 dapat dicapai secara menyeluruh.
Selain itu, pihak pengurusan UMP sentiasa komited untuk mengekalkan keakraban hubungan dan melebarkan jaringan kerjasama dengan rakan-rakan lain yang dapat dimanfaatkan untuk pembangunan serta kecemerlangan universiti.
- 113 views