UMPSA jalin kerjasama dengan MACEE bagi program Fulbright Malaysia
PUTRAJAYA, 10 Ogos 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) jalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) dalam usaha mengukuhkan persefahaman dan menggalakkan pertukaran pendidikan antara kedua-dua negara.
MACEE telah memainkan peranan penting dalam melaksana dan menyelaras pelbagai projek pendidikan tinggi terutamanya pertukaran pelajar antara kedua-dua negara di bawah program Fulbright Malaysia.
Selain peluang mengikuti pengajian di universiti tersohor, program ini turut memberi manfaat dalam menimba pelbagai pengalaman baharu melibatkan program kebudayaan, jaringan kepakaran dan jalinan strategik.
Dalam majlis itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) dengan Pengarah Eksekutif MACEE, Curtis Johnson.
Hadir menyaksikan acara pertukaran dokumen, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Pegawai Diplomasi Awam, Kedutaan Amerika Syarikat ke Malaysia, Nurit Einik.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, UMPSA akan terus meneroka peluang kerjasama bagi menjayakan hasrat murni kedua-dua negara dalam usaha mengukuhkan kesefahaman dan meningkatkan bilangan pertukaran pelajar setiap tahun mendatang demi kemajuan serta pembangunan masyarakat.
“Program Fulbright ini bakal mewujudkan peluang pendidikan sekali gus memberi manfaat kepada pelajar dan ahli akademik antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
“Kerjasama ini juga akan memperkukuh hubungan dan pertukaran pendidikan dan budaya di antara kedua-dua buah negara,” katanya.
Turut bertukar dokumen MoU termasuklah Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Lain-lain Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Multimedia, Universiti UCSI, Universiti Nilai, Universiti Antarabangsa INTI dan Kolej Universiti Southern.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 83 views