UMPSA jalin kerjasama perluas akses terbuka tesis dan disertasi bersama universiti awam Malaysia
PUTRAJAYA, 13 Februari 2025 -Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah ( UMPSA) jalin kerjasama dalam Akses Terbuka Tesis dan Disertasi Universiti Awam Malaysia.
Kolaborasi ini membolehkan semua 20 Universiti Awam (UA) melaksanakan inisiatif dalam mewujudkan ekosistem perkongsian sumber ilmiah dalam kalangan penyelidik, pelajar dan masyarakat, sekali gus meningkatkan keterlihatan Malaysia sebagai pusat ilmu bertaraf antarabangsa.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias yang hadir dalam majlis itu berkata, kolaborasi ini sebagai komitmen UMPSA bersama semua universiti awam terhadap pelaksanaan akses terbuka bagi tesis dan disertasi melalui platform repositori kebangsaan.
“Platform ini merujuk kepada Malaysian Theses Online (MyTO) yang merupakan platform pencarian berpusat dalam talian yang menyediakan akses kepada koleksi tesis dan disertasi dari universiti awam.
“Melalui memorandum ini, perkongsian ilmu dapat dilaksanakan secara holistik dan memberi impak serta manafaat yang positif ke atas pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Dalam majlis itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hadir menyaksikan majlis pemeteraian yang diwakili Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff mewakili universiti awam.
Turut sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Ketua Setiausaha, KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Pengurusan Kanan dan Pengurusan Tertinggi KPT serta Naib-naib Canselor dan Rektor Universiti Awam dan Swasta.
Turut berlangsung Majlis Malam Anugerah Malaysia Research Star Award (MRSA) 2025 anjuran Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT (BKPI), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
MRSA telah diperkenalkan sejak tahun 2012 dengan kerjasama rakan strategik, Clarivate Analytics yang bertanggungjawab dalam proses penilaian bagi menentukan pemenang.
Anugerah itu diberikan kepada penyelidik dan jurnal tempatan yang menghasilkan penerbitan berkualiti serta memberi manfaat kepada pembangunan negara.
Pada majlis itu, sebanyak 26 anugerah disampaikan daripada empat kategori anugerah utama antaranya, Frontier Researcher, Outstanding Research in Phytochemicals, Researcher Cluster dan Journal.
Majlis itu turut memberi inspirasi kepada warga penyelidik institut pengajian tinggi (IPT) dalam meningkatkan kecemerlangan akademik dan penyelidikan.
Penganugerahan ini membuktikan keupayaan penyelidik dan jurnal tempatan dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu serta penyelidikan berkualiti tinggi di Malaysia.
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Ketua Pustakawan, Kamariah Gono dan Pengarah Kanan Penyelidikan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
Foto oleh: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
- 161 views