UMPSA terokai bidang Penerbangan bersama Delta Aerospace Sdn. Bhd.
SUBANG, 13 September 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperluaskan kerjasama dalam bidang penerbangan dengan rakan industri menerusi permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Delta Aerospace Sdn. Bhd. baru-baru ini.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Aerospace Sdn. Bhd., Michael Edward Roche menandatangani MoU dalam majlis yang berlangsung di SkyPark RAC, Subang.
Delta Aerospace dan UMPSA mengiktiraf potensi kerjasama dalam bidang Akademik dan Penyelidikan untuk memenuhi kepentingan bersama dan memacu kemajuan dalam aktiviti perindustrian di Malaysia.
Kerjasama ini juga bertujuan untuk memupuk inovasi teknologi yang mendalam dan relevan yang akan memberi impak berkekalan.
Di samping itu, kerjasama ini juga bakal meningkatkan jaringan kolaborasi akademik melibatkan UMPSA dan Delta Aerospace dalam pelaksanaan program Work-Based Learning (WBL) dan memberikan latihan asas kepada pelajar UMPSA sepanjang program dilaksanakan.
Pelajar UMPSA juga bakal berpeluang menggunakan segala kemudahan yang disediakan di Delta Aerospace sepanjang proses pembelajaran mereka.
UMPSA dan Delta Aerospace juga akan bekerjasama dalam menjalankan kajian-kajian yang berkaitan.
Turut berlangsung, Selangor Aviation Show pada 12 September dan berakhir pada 14 September.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut meninjau reruai pameran di pertunjukan tersebut dan melawat ke pameran kapal terbang.
Sebanyak 49 jenis pesawat dipamerkan pada pameran tersebut.
Hadir sama Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automatif (FTKMA), Profesor Dr Mahadzir Ishak@Muhammad.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 77 views