UMP Food Pantry jadi tumpuan mahasiswa dapatkan makanan percuma
Kuantan, 16 April- Selaras dengan hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi melaksanakan program Foodbank Malaysia ke kampus universiti awam, Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah mengorak langkah dengan melaksanakan UMP Campus Pantry bagi menyalurkan bantuan kepada mahasiswa yang memerlukan makanan, minuman dan keperluan lain.
Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Haryani Abdullah berkata, pada masa ini mahasiswa boleh mendapatkan keperluan di UMP Campus Pantry yang terdapat di pejabat JHEPA UMP Gambang dan akan diperluaskan di UMP Pekan tidak lama lagi.
“Pengurusan UMP Campus Pantry dikendalikan sukarelawan daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kelab Penyayang UMP. Sukarelawan ini bertugas untuk merekodkan keluar masuk makanan dan menyusun makanan di ruang yang telah disediakan,” katanya.
Selain itu, bagi pengurusan pengagihan makanan yang lebih sistematik UMP telah mewujudkan sistem bagi mendaftarkan barangan atau makanan yang diterima serta rekod mahasiswa yang telah mengambil makanan tersebut.
Pada masa yang sama juga portal khas UMP Campus Pantry turut dibangunkan bagi memudahkan mahasiswa mengetahui maklumat lanjut serta memudahkan orang perseorangan atau penyumbang untuk menyumbang dalam bentuk wang ringgit mahupun barangan makanan atau keperluan lain.
Bagi Mohamad Hanif Fitri Nordin, selaku Exco Kebajikan dan Perkhidmatan Pelajar Luar Kampus (Gambang) amat terharu dengan usaha pihak universiti dan sentiasa bersedia bagi membantu dalam pengurusan barang makanan dan keperluan harian ini. Beliau mengharapkan bantuan yang disediakan ini digunakan sepenuhnya oleh mahasiswa sasaran kerana ianya membantu meringankan bebanan mereka.
Manakala rakannya, Mohammad Aiman Mohd Amran yang juga merupakan Presiden Kelab Penyayang UMP sebagai sukarelawan berkata, mahasiswa turut berperanan membantu pihak Universiti untuk mendapatkan sumbangan. Ujarnya lagi UMP Campus Pantry ini beroperasi bermula pada jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan pada petangnya beroperasi mulai 2.00 petang hingga 4.30 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat.
Pihaknya berharap program ini dapat membantu meringankan kos perbelanjaan mahasiswa di samping memupuk sikap menyumbang dalam kalangan warga UMP dan masyarakat di luar.
Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 363 views