Skip to main content

Aplikasi ObeM pantau pesakit bermasalah obesiti

PEKAN, 22 Februari 2022 - Kajian menunjukkan bahawa berat badan yang berlebihan merupakan masalah kesihatan yang serius bagi kebanyakan orang.

Ia meningkatkan risiko kepada beberapa penyakit yang serius seperti penyakit jantung, angin ahmar, diabetes, kanser dan darah tinggi.

Bagi membantu individu yang mempunyai masalah obesiti, kebanyakan klinik dan hospital menyediakan klinik obesiti bagi memberikan perkhidmatan runding cara dan khidmat nasihat untuk menguruskan badan secara semulajadi dengan cara mengamalkan pemakanan yang sihat serta senaman yang sesuai.

Kesedaran dalam kalangan masyarakat mula dilihat melalui peningkatan individu yang merujuk ke klinik obesiti sama ada kanak-kanak atau dewasa.

Peningkatan pesakit yang merujuk ke klinik obesiti pastinya menyukarkan kaedah pemantauan terhadap semua individu tersebut.

Permasalahan tersebut telah mendorong sekumpulan penyelidik UMP bagi menghasilkan sistem yang dapat memantau pesakit secara optimum menerusi aplikasi Obesity Monitoring System and Application (ObeM).

Ketua penyelidik merangkap Pensyarah Fakulti Komputeran (FK), Syifak Izhar Hisyam, 37 berkata, ObeM mempunyai dua platform yang digunakan untuk memantau pesakit obesiti iaitu menerusi sistem web yang akan digunakan oleh klinik obesiti manakala pesakit pula akan menggunakan aplikasi telefon.

“Sistem ObeM ini dapat memudahkan klinik untuk memantau lebih ramai pesakit secara optimum dan pada masa yang sama tempoh pemantauan dapat dilakukan dengan lebih kerap.

Digital intervention ialah konsep yang cuba diamalkan untuk memastikan kualiti dan kuantiti pemantauan pesakit obesiti dapat dicapai.

“Penyelidikan ini telah bermula pada awal tahun 2020 bersama pelajar tahun akhir FK di bawah seliaan saya iaitu Anis Saharudin dengan sistem pemantauan di platform web,” ujarnya.

Jelasnya lagi, fasa yang kedua telah diteruskan oleh pelajar Dinesh Dayanan dengan menambah baik penyelidikan dengan menghubungkan dengan aplikasi mudah alih yang akan digunakan oleh pesakit obesiti.
“Kini, penyelidikan ini telah selesai dalam proses ujian dan penilaian.

“Idea bermula apabila seorang sahabat saya yang merupakan co-inventer dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan berkongsi masalah yang terdapat di IIUM Medical Centre.

“Pada masa itu, klinik obesiti hanya dapat beroperasi dua kali sebulan dan pada masa yang sama mereka tidak dapat menampung keperluan untuk memberikan perkhidmatan kepada pesakit obesiti yang semakin ramai,” katanya.

Tambahnya lagi, bilangan klinik obesiti juga tidak banyak di Malaysia berbanding klinik diet yang ada di kebanyakan klinik kesihatan kerajaan.

“Setelah melalui fasa sumbang saran dan perbincangan bersama pakar bidang, kami bersetuju pemantauan dengan konsep digital intervention boleh dicadangkan untuk menyelesaikan masalah ini.

“Saya berharap hasil kajian ini dapat membantu pesakit untuk sentiasa dipantau secara rapat dalam masa yang sama dapat berkomunikasi dengan staf klinik secara terus.

“Platform ini juga dapat menjimatkan kos dan masa pesakit berulang alik ke klinik obesiti yang mungkin jauh dari rumah kerana mereka hanya perlu dipantau secara dalam talian untuk pemantauan biasa,” katanya.

Menurut anak jati Ipoh Perak itu juga, buat masa ini, sistem dan aplikasi ini dibina dengan tujuan khusus untuk pesakit obesiti dewasa.

“Setelah melalui fasa ujian dan penilaian, pakar bidang daripada klinik obesiti merasakan aplikasi ini juga perlu dibuat untuk kanak-kanak penghidap obesiti kerana bilangan mereka juga sudah semakin ramai.

Turut sama dalam kumpulan ini ialah pelajar FK dan dua orang pakar bidang diet iaitu Nurlisa Fatihah Abd Rani dari Kulliyyah of Allied Science dan Dr. Siti Zuhaidah Shahadan dari Kulliyyah of Nursing, UIAM Kuantan.

Penyelidikan ini telah memenangi pingat emas semasa pameran dan pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi 2021 (CITREx) dan Pameran dan Pertandingan Inovasi & Reka Cipta peringkat antarabangsa (ITEX) serta meraih hak reka cipta bagi aplikasi tersebut.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri