Pengalaman Pembelajaran Imersif Maya Kalam-On-The-Go finalis AKRI 2022
PUTRAJAYA, 2 September 2022 – Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Roshahliza M. Ramli terpilih ke peringkat akhir melalui projek KALAM-ON-THE-GO bagi kategori Pembelajaran Imersif Maya dan Teradun Inovasi dalam Anugerah Khas Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif Tahun 2022 (AKRI 2022).
Majlis AKRI 2022 yang diadakan bagi mengiktiraf para pensyarah yang cemerlang, kreatif dan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) itu disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Hotel Everly Putrajaya baru-baru ini.
Hadir sama Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Seri Dr. Noraini berkata, pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) khususnya, hendaklah berani menerobos sempadan pencapaian sedia ada dan menjuarai paradigma baharu dengan memberikan nilai tambah yang tidak terjangka kepada pemegang taruh.
“Seperti ketika membangunkan reka bentuk kurikulum yang baharu terdapat dua perkara yang perlu dipertimbangkan.
“Pertama, kurikulum yang dibangunkan hendaklah dapat membantu para akademia merancang persekitaran pembelajaran secara holistik dengan mengambil kira situasi semasa dan akan datang.
“Keduanya adalah kurikulum yang dihasilkan juga hendaklah berupaya membantu pelajar untuk belajar melebihi tahap pengetahuan semasa mereka.
“Justeru, aspek strategi dan bahan yang digunakan dalam reka bentuk kurikulum adalah sangat penting, terutamanya dalam menghasilkan pengalaman PdP yang lebih menarik dan mengujakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Profesor Dato’ Ts’ Dr’ Yuserrie berkata, program ini berjaya mengenal pasti, memberi pengiktirafan dan berkongsi amalan terbaik projek-projek serta inisiatif yang telah dilaksanakan sama ada di peringkat institusi atau individu.
“UMP sentiasa mempelbagaikan inisiatif dalam mengetengahkan inovasi dan memperkasakan PdP bagi memupuk pembelajaran imersif secara efektif.
“Pensyarah UMP digalakkan untuk terus berusaha menjadikan sesuatu pengalaman pembelajaran yang interaktif sama ada secara aplikasi imersif maya atau pembelajaran imersif teradun (blended) iaitu menggabungkan pembelajaran dalam talian dan bersemuka mahu pun pembelajaran imersif secara bersemuka (fizikal) yang memberi impak terhadap pencapaian pembelajaran mahasiswa,” katanya.
AKRI 2022 menyaksikan sebanyak 220 penyertaan telah diterima daripada Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti.
Manakala seramai 18 finalis menerima anugerah bagi kategori-kategori yang dipertandingkan merangkumi kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif, Pengajaran Transformatif, Pengalaman Pembelajaran Imersif, Pengalaman Pembelajaran Imersif (Maya), Pengalaman Pembelajaran Imersif (Teradun), Pengalaman Pembelajaran Imersif (Bersemuka) dan Pentaksiran Alternatif.
Penganjuran AKRI 2022 turut menyokong Lonjakan 1: Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang dan Lonjakan 9: Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), PPPM(PT) 2015-2025.
Program ini juga menyokong inisiatif dan aspirasi KPT dalam pendidikan fleksibel dan kurikulum tersedia masa hadapan.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.
- 152 views