Skip to main content

Penyelidik UMPSA cipta Wordcraft Builder bawa pulang emas di pentas antarabangsa 3MRIC 2025

PEKAN, 11 Disember 2025 – Bagi menangani cabaran pelajar yang sering berdepan kesukaran memahami kelas kata dan struktur ayat serta mengaplikasikannya dalam penulisan, Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden (PBM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Hajah Noor Azlinda Zainal Abidin telah berjaya menghasilkan penyelidikan inovasi, Wordcraft Builder: Enhancing Sentence Structure Mastery Through Multimodal Learning Techniques, sekali gus meraih pingat emas dalam 2nd International 3 Minutes Research and Innovation Competition 2025 (3MRIC 2025) anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT). 

Pertandingan yang berlangsung dari 9 hingga 11 Disember 2025 itu menghimpunkan penyertaan antarabangsa melibatkan Malaysia, Indonesia, Nigeria, Arab Saudi, Filipina, Bangladesh, Jepun, Thailand, New Zealand, dan Pakistan. 

Seramai 289 peserta terlibat yang terdiri daripada pelajar sarjana muda, pelajar sarjana, pensyarah, guru dan tenaga pengajar. 

Kesemua peserta membentangkan kajian dan inovasi masing-masing secara dalam talian menerusi synchronous, dinilai oleh barisan juri antarabangsa, manakala majlis penyampaian anugerah telah diadakan secara hibrid pada hari terakhir pertandingan.

Penyelidik UMPSA cipta Wordcraft Builder bawa pulang emas di pentas antarabangsa 3MRIC 2025

Menurut Hajah Noor Azlinda, Wordcraft Builder berbeza dengan pendekatan tradisional yang lebih berfokus kepada latih tubi, inovasi ini menggabungkan elemen gamifikasi, pembelajaran kolaboratif dan aktiviti hands-on bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih interaktif, bermakna dan berkesan. 

“Ia adalah sebagai satu pendekatan pembelajaran multimodal dalam pengajaran dan pembelajaran penulisan bahasa Inggeris. 

“Projek ini berfungsi sebagai alat bantu pembelajaran yang membimbing pelajar membina ayat secara berperingkat, bermula daripada perkataan, ayat mudah, ayat majmuk sehingga ayat kompleks melalui aktiviti berasaskan permainan, penggunaan video dan perbincangan kumpulan.

“Pendekatan multimodal yang diterapkan membolehkan pelajar memproses maklumat melalui pelbagai deria, sekali gus meningkatkan kefahaman tatabahasa dan struktur ayat di samping mengukuhkan kemahiran berfikir, komunikasi, kerjasama serta keyakinan pelajar dalam menghasilkan penulisan,” ujarnya. 

Tambahnya, pendekatan ini juga mengambil kira kepelbagaian gaya pembelajaran pelajar seperti visual, auditori dan kinestetik, selari dengan keperluan pembelajaran generasi masa kini yang dekat dengan dunia digital.

“Projek ini disasarkan kepada pelajar daripada pelbagai peringkat pembelajaran sama ada di sekolah, universiti mahupun peserta kursus dan latihan profesional. 

“Secara keseluruhan, Wordcraft Builder bukan sahaja meningkatkan penglibatan aktif pelajar dalam proses pembelajaran, malah membantu membina keyakinan dalam penulisan dan pembentangan hasil kerja. 

“Diharapkan inovasi ini dapat diaplikasikan secara lebih meluas sebagai pendekatan alternatif yang berkesan dalam pengajaran penulisan bahasa Inggeris serta membantu pendidik mewujudkan pembelajaran yang lebih menyeronokkan, berpusatkan pelajar dan sejajar dengan keperluan pembelajaran abad ke-21,” katanya. 

Kejayaan meraih pingat emas dalam pertandingan berprestij ini membuktikan potensi Wordcraft Builder sebagai satu inovasi pendidikan yang berimpak tinggi dan relevan dengan keperluan semasa. 

Selain daripada menerima pingat emas bagi 3MRIC 2025, beliau juga telah memenangi pingat perak bagi kajian yang bertajuk ‘SpeechSpree: An Active Learning Innovation to Advance ESL Learners’ Oral Proficiency’ dalam satu pertandingan antarabangsa International Innovation In Multimedia and Creative Competition Perak 2025 (IIMACC-Perak 2025) anjuran Kolej Polytech MARA Perak dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Majlis Amanah Rakyat dan MARA Corporation Sdn. Bhd. pada 8 Disember 2025. 

Kajian tersebut merupakan projek yang dibangunkan bersama Pensyarah PBM UMPSA, Dr. Ezihaslinda Ngah dan Pensyarah Universitas Ahmad Dahlan, Indonesia, Dr. Djoko Sustrisno. 

Penyelidik UMPSA cipta Wordcraft Builder bawa pulang emas di pentas antarabangsa 3MRIC 2025

Disediakan oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim