Skip to main content

Penyelidikan UMPSA diiktiraf raih 3 pingat emas dan 3 pingat perak dalam ITEX 2025

KUALA LUMPUR, 30 Mei 2025 – Enam projek penyelidikan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diiktiraf apabila meraih tiga pingat emas dan tiga pingat perak dalam Pameran International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2025 kali ini. 

Penyelidikan Dr. Mohd Azraai Mohd Razman daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) telah meraih pingat emas bagi projek ‘Smart Enabled System Automation and IoT’ yang  merupakan inovasi untuk membangunkan sistem automasi berasaskan IoT yang bersifat mesra pengguna serta boleh diadaptasi dalam pelbagai aplikasi industri pintar.

Bagi pingat emas kedua pula dinobatkan kepada penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Ts. Muhammad Ikram Mohd Rashid menerusi projek ‘Illuminating Mobility: EVSE Integration in Lighting Infrastructure’ yang merupakan integrasi pintar antara infrastruktur pencahayaan awam dan sistem pengecasan kenderaan elektrik (EV) ke arah bandar pintar yang lestari.

Begitu juga projek penyelidikan oleh Profesor Madya Dr. Abdul Syukor Abdul Razak dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), iaitu ‘Poulfit-Pro: The Novel Animal Feed from Trichantera Gigantea and Solid Waste for Broiler’ yang menyediakan alternatif makanan ternakan yang inovatif dan mesra alam dengan memanfaatkan tumbuhan Ketum Ayam dan sisa pepejal turut raih pingat emas. 

Manakala penyelidikan Profesor Madya Ts. Dr. Saidatul Shima Jamari dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) berjaya meraih pingat perak menerusi projek ‘Eco-Savvy Portable Used Oil Regeneration System (Eco-Port) iaitu sistem mudah alih yang inovatif untuk menapis dan mengitar semula minyak terpakai secara efisien serta menyumbang kepada pengurusan sisa industri yang lebih lestari.

Projek Profesor Madya Dr. Nadzirah Mohd Mokhtar daripada FTKA iaitu ‘Distilwise IoT: Compact Membrane Distillation with IoT Monitoring System’ yang mengkaji teknologi penyulingan air berasaskan membran dengan pemantauan IoT yang mampu digunakan dalam kawasan pedalaman dan kawasan terjejas bencana juga berjaya memenangi pingat perak.

Pingat ketiga perak pula telah disumbangkan oleh Dr. Norwahida Yakub@Yaakub daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) dengan projek bertajuk ‘Risk Assessment Matrix of Occupational Stress Apps (RAMOSA)’. 

Projek aplikasi digital ini mampu membantu organisasi menilai dan menangani tahap tekanan pekerjaan di tempat kerja secara sistematik serta data-berpandukan.

Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian tersebut yang membuktikan kekuatan UMPSA dalam menghasilkan penyelidikan yang relevan dan berimpak tinggi.

“Kejayaan ini adalah selaras dengan hasrat merealisasikan Pelan Strategik UMPSA 25 seiring dengan lima agenda transformasi dalam Amanat Naib Canselor 2025 bagi memperkukuh penyelidikan, industri dan masyarakat. 

“Selain itu juga, ia turut menekankan tentang penyelidikan berkualiti tinggi, berorientasikan penyelesaian dan berupaya menyumbang kepada kesejahteraan komuniti serta pembangunan industri. 

“Malah, ia juga mencerminkan keupayaan UMPSA untuk terus bersaing dan memberi impak di peringkat global,” ujarnya. 

Dalam pada itu, dua projek penyelidikan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) hasil kolaborasi pensyarah UMPSA dan MIMOS Berhad turut meraih pingat. 

Dekan FTKEE, Profesor Madya Ts. Dr. Hamzah Ahmad meraih pingat emas bagi penyelidikannya yang bertajuk ‘Low Cost AGV for Product Transportation in Manufacturing Plant’ dan Dr. Ahmad Afif Ahmad Faudzi pula bagi penyelidikan ‘Modular IoT Enabled Egg Incubator for SME Poultry Producers’ menerima pingat perak. 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha turut hadir bagi memberi sokongan dan menyaksikan pameran ITEX 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 29 hingga 31 Mei 2025. 

ITEX merupakan salah satu platform terkemuka dunia bagi mempamerkan inovasi terkini daripada pelbagai negara. 

Ia juga menghimpunkan para penyelidik dan inovator dari dalam dan luar negara bagi mempamerkan hasil ciptaan, reka bentuk serta penyelesaian teknologi terkini merentas pelbagai bidang. 

Selain itu, penganjuran ITEX ini juga adalah sebagai medium kerjasama strategik antara akademia, industri dan agensi berkaitan dalam memperkukuh ekosistem inovasi negara.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Naqiah Puaad