Skip to main content

Projek Fertigasi UNIMADANI kendalian UMPSA catat peningkatan prestasi tuaian cecah RM8,000

JERANTUT, 24 Jun 2025 - Projek Fertigasi Menjana Ekonomi yang dilaksanakan  Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Madrasah Darul Uloom Al-Islamiah, Sungai Salan, Jerantut, Pahang di bawah inisiatif Program Pendayaan Komuniti Kementerian Kewangan-Universiti Awam (Komuniti @UNIMADANI) 2024 terus mencatat pencapaian positif apabila berjaya menghasilkan hampir empat tan tuaian timun dengan nilai pendapatan mencecah RM8,000 dalam tempoh tujuh hari kutipan.

Dengan kepakaran penyelidik UMPSA  dalam projek Sistem Pertanian Pintar Berasaskan IoT (IoT Based Smart Farming System) yang berlandaskan aplikasi pertanian dan teknologi itu ia berjaya meningkatkan taraf hidup bumiputera terutama golongan keluarga berpendapatan rendah (B40) di luar bandar di samping mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian projek tersebut yang disifatkannya sebagai bukti keberkesanan pendekatan pendidikan berteraskan komuniti dan kesejahteraan sosioekonomi.

“Program ini juga berjaya menyalurkan hasil penyelidikan dan pengetahuan universiti kepada masyarakat serta membanngunkan komuniti secara holistik.

“Projek Fertigasi UNIMADANI ini turut membuktikan bahawa apabila ilmu dan kemahiran disalurkan kepada masyarakat dengan pendekatan yang bersasar, ia mampu menjana impak yang sangat besar. 

“Kejayaan ini bukan sahaja menyokong usaha ke arah pendapatan mampan bagi madrasah, malah mengangkat potensi pelajar sebagai agen perubahan melalui penglibatan langsung dalam pembangunan komuniti,” katanya ketika hadir berkunjung melawat tapak projek.

Malah, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Kementerian Kewangan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), tenaga pengajar dan pelajar UMPSA atas dedikasi dan komitmen dalam memastikan kelangsungan serta kejayaan projek ini.

Projek Fertigasi UNIMADANI kendalian UMPSA catat peningkatan prestasi tuaian cecah RM8,000

Projek itu juga melibatkan penyelidik UMPSA yang memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi kumpulan rentan menerusi pendekatan bersepadu keusahawanan, pertanian lestari dan pelajar tahfiz.

Selain itu, program tersebut turut memperkukuh peranan universiti dalam memperkasa pelbagai lapisan komuniti seiring aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, inovasi dan keterangkuman sosial.

Kejayaan projek ini memperlihatkan keupayaan program fertigasi bukan sahaja dalam menyokong agenda ekonomi sosial institusi pendidikan, malah turut memberi nilai tambah kepada pelaksanaan program UNIMADANI sebagai inisiatif berimpak tinggi yang menyeluruh.

Sementara itu, Eksekutif Teknikal Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Yusmin Jaafar berkata, projek ini merupakan antara empat projek UNIMADANI yang diluluskan pada tahun 2024.

“Permohonan awal berjumlah RM70,000 telah berjaya dikembangkan kepada RM200,000 hasil sokongan dana tambahan daripada Kementerian Kewangan (MOF). 

“Peningkatan peruntukan ini membolehkan skala projek diperluas daripada 1,000 kepada 3,000 polibeg tanaman.

“Selain itu, geran projek yang kini berada dalam tempoh lanjutan selama enam bulan dan dijadual tamat pada 30 Jun 2025 memasuki musim kedua penanaman dengan hasil yang jauh lebih memberangsangkan berbanding musim terdahulu,” ujar beliau.

Pada musim pertama, hasil tuaian hanya berjumlah RM4,000 dalam tempoh 14 hari, susulan kekangan tenaga kerja apabila pelajar yang terlibat mengikuti program di perkampungan Orang Asli sebagai sebahagian daripada kurikulum semasa bulan Ramadan lalu.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha.

Turut hadir pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Dr. Mohd. Azraai Mohd Razman, Pegawai FAMA Daerah Jerantut, Muhammad Hafdi Mustafa dan Mudir Madrasah Darul Uloom Al-Islamiah, Maulana Juhari Muhammad Ali Al-Jenderaki.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim