Projek Virtual Reality ‘Car Manufact Simulator’ raih tumpuan pengunjung
GAMBANG, 2 Jun 2024 - Projek Virtual Reality ‘Car Manufact Simulator’ oleh pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Amirul Aidil Hasnul Azan raih tumpuan pengunjung di reruai Advanced@TVET UMPSA semasa program Jom Masuk U 2024 Zon Timur II baru-baru ini yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.
Projeknya bukan saja mendapat perhatian pengunjung dari para pelajar sekolah dan ibu bapa, malahan turut mendapat perhatian Tengku Panglima Perang Leftenan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah yang turut berkenan melihat projek Virtual Reality (VR) tersebut.
Menurut Amirul, projeknya ini merupakan projek Final Assessment bagi Kursus BCM3103 Virtual Reality yang merupakan subjek teras dan wajib bagi program Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik dan Multimedia) dengan Kepujian.
“Saya dibimbing penuh oleh Dr. Saradatul Akmar dan Dr. Danakorn Nincarean sepanjang proses penghasilan projek ini yang mengambil masa lebih kurang dua bulan.
“Beberapa proses penilaian dan tugasan telah diberikan oleh Dr Saradatul Akmar sebelum saya berjaya menghasilkan projek ini.
“Menerusi projek ini, ia membolehkan para pengguna merasai pengalaman seperti berada di dalam kilang pembuatan kereta,” katanya.
Baginya, ‘Car Manufact Simulator’ ini memberi pengalaman berbeza kepada pengguna kerana mereka akan dapat merasai pengalaman seperti berada di dalam kilang pembuatan kereta malahan boleh juga memasang atau menanggal mana-mana bahagian badan kereta.
“Proses penghasilan projek ini agak rumit kerana saya perlu memberi tumpuan penuh kepada bahagian-bahagian badan kereta dengan lebih terperinci supaya pengguna dapat merasai pengalaman sebenar,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Dr. Saradatul Akmar, projek yang dihasilkan oleh Amirul Aidil itu adalah antara projek terbaik yang dinilai oleh mereka bagi Semester 1 2023/2024.
“Justeru, projeknya telah terpilih untuk dipamerkan di reruai Advanced@TVET UMPSA sepanjang program Jom Masuk U berlangsung.
“Secara asasnya, pelajar diberi peluang untuk mengusulkan idea mereka selaras dengan tema yang kami berikan iaitu Virtual Training System dan keseluruhan idea dan pembangunan VR ini kami murnikan lagi di dalam kelas ketika sesi makmal serta kuliah supaya pelajar dapat menghasilkan aplikasi VR di samping menepati rubrik pemarkahan bagi final assessment tersebut.
“Para pelajar diajar untuk bangunkan aplikasi VR secara hands-on selama empat minggu bermula pada minggu ketujuh,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, selepas minggu kesembilan, pelajar perlu mencadangkan idea untuk bangunkan aplikasi VR berteraskan tema yang kami letakkan iaitu Virtual Training System.
“Dalam tempoh masa idea dan realisai pembangunan projek tersebut, pelajar akan dipantau dan diselia secara dekat oleh saya dan Dr. Danakorn bagi membantu pelajar dalam penghasilan VR mereka.
“Kita akan memberikan nasihat dan bantu sekiranya pelajar mempunyai masalah ketika bangunkan projek mereka.
“Malah, kami juga turut mengalakkan pelajar untuk berjumpa dan merujuk kepada kami sekiranya ada masalah yang tidak dapat mereka selesaikan,” ujarnya.
Dr. Saradatul Akmar turut mengajak para pelajar UMPSA yang berminat dengan kursus VR untuk turut serta dalam kursus ini melalui Program Sijil Pengkhususan Terbuka UMPSA (SPT).
"Pihak kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada wakil Pusat TVET, En. Muhammad Hafiz Aswad Ahmad Kamal atas kesudian menjemput kami untuk menyertai reruai UMPSA pada JMU kali ini", tambahnya lagi.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 221 views