UMPSA dan SWCorp Pahang jalin kerjasama didik komuniti setempat teknik penghasilan baja kompos menggunakan kaedah ‘Takakura’
Pekan, 1 Ogos 2024 – Seramai 30 orang penduduk kampung sekitar daerah Pekan, Pahang menyertai Bengkel Penghasilan Baja Kompos daripada sisa makanan di UMPSA Pekan anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang.
Menurut Pensyarah FTKPM yang juga ketua program, Ts. Dr. Sarah Atifah Saruchi, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UMPSA kerana memberi peluang dan menyokong inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Bengkel ditaja sepenuhnya oleh Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) UMPSA melalui Geran Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Komuniti (CDU230115).
“Bengkel telah dimulakan dengan sesi pengenalan peranan SWCorp Malaysia sebagai badan yang bertanggungjawab menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di Malaysia.
“Peserta turut diberi pendedahan mengenai kaedah pelupusan sampah yang lebih mesra alam melalui konsep 3R (Recycle, Reuse, Reduce) dan kesedaran tentang kepentingan kitar semula sisa makanan untuk dijadikan baja kompos organik.
“Kaedah penghasilan baja kompos yang diperkenalkan dalam bengkel ini adalah teknik Takakura, kerana kos pengendaliannya yang lebih rendah dan mudah untuk dipraktikkan oleh komuniti.
“Teknik ini melibatkan proses penapaian enzim yang menggunakan empat bahan utama iaitu air, gula merah, tempe, dan yogurt asli,” ujarnya.
Tambahnya, peserta juga diajar teknik penyediaan medium pengurai yang terdiri daripada tanah hitam, sekam padi dan enzim bagi menghasilkan baja kompos yang berkualiti.
“Para peserta berpeluang untuk terlibat dalam sesi latihan amali.
“Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberikan kit pembuatan baja kompos yang mengandungi bakul, tanah hitam, sekam padi, balang dan bahan-bahan untuk membuat enzim baja.
“Ini membolehkan mereka meneruskan amalan tersebut di rumah masing-masing selepas bengkel.
“Penganjuran bengkel ini adalah selaras dengan hasrat SWCorp untuk memupuk kesedaran di kalangan masyarakat tentang pentingnya mengitar semula sisa makanan,” katanya.
Ujar Ts. Dr. Sarah Atifah, bengkel ini turut memperkukuhkan hubungan di antara pihak universiti dengan masyarakat setempat iaitu menjadikan universiti sebagai medium pemindahan ilmu dan teknologi terkini.
“Penggunaan baja kompos organik ini diharap dapat mengurangkan kebergantungan terhadap baja kimia, sekali gus menjimatkan kos dalam aktiviti pertanian kecil-kecilan yang diamalkan oleh para peserta.
“Bengkel turut direka bentuk agar mudah difahami dengan adanya gabungan sesi taklimat teori dan amali bagi memastikan setiap peserta mendapat manfaat sepenuhnya daripada program ini,” katanya.
Bengkel telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pascasiswazah, FTKPM, Ts. Dr. Ahmad Rosli Manaf.
Turut hadir bersama Penolong Pengarah SWCorp Pahang merangkap Ketua Seksyen Pendidikan Masyarakat SWCorp Pahang yang juga penceramah jemputan, Ashraff Kaharudin.
Bengkel dibantu beberapa orang Pensyarah FTKPM, Ts. Dr. Radhiyah Abd Aziz, Dr. Musfirah Abdul Hadi, Nor Imrah Yusoff, dan Siti Aishah Rusdan.
Turut terlibat dalam menjayakan bengkel ini adalah pelajar FTKPM sebagai fasilitator.
Disediakan Oleh: Muhammad Nasrullah Alias, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM)
- 231 views