SHAH ALAM - Islam tidak menghalang sebarang perubatan moden seperti vaksin dan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) selagi ia tidak bertentangan dengan akidah serta syariah Islam.
Profesor Madya Pusat Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr Mahyuddin Ismail berkata, hukum bagi seorang Muslim mendapatkan rawatan sama ada moden atau tradisional bukan Islam adalah harus selagi tidak menyalahi agama.
“Selagi tiada unsur penyembahan selain ALLAH, maka ia dibenarkan. Namun, jika perawat Islam menggunakan kaedah seperti ramalan atau tilikan bertentangan akidah, ia tidak dibenarkan.
“Selain itu, ibu tumpang tetap tidak dibolehkan kerana menggunakan benih selain suami yang bercanggah dengan syariah Islam,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mahyuddin yang juga Panel Pakar Tasawuf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, penglibatan umat Islam dalam bidang perubatan adalah satu keperluan memandangkan jumlah pesakit semakin meningkat.
“Sama ada jumlah doktor dalam kalangan umat Islam masih rendah atau tinggi, saya tiada statistik khusus. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagaimanapun menyasarkan nisbah seorang doktor ialah untuk 400 pesakit menjelang 2025 berbanding 700 pesakit sekitar 13 tahun lalu.
“Al-Quran dalam Surah At-Taubah juga menekankan kepentingan mempunyai golongan tertentu yang diberi latihan dan pendidikan dalam bidang ilmu bermanfaat termasuk perubatan demi kemajuan serta kemaslahatan umat,” jelasnya.
Tambahnya, Malaysia bertuah kerana mempunyai jawatankuasa fatwa serta hukum syarak di peringkat pentadbiran untuk meneliti kes-kes semasa yang tidak dibincangkan pada masa lalu seperti isu vaksin.
“Dalam situasi tertentu, sesuatu rawatan boleh menjadi wajib sekiranya bertujuan menyelamatkan nyawa. Dari segi pemindahan organ, jika ia membawa mudarat lebih besar kepada penderma atau penerima, maka ia tidak dibenarkan. Bagi teknologi baharu dalam perubatan seperti IVF, hukumnya harus selagi nasab keturunan tidak tercemar,” jelasnya.
Beliau juga tidak menafikan kewujudan segelintir umat Islam yang menolak rawatan moden atas alasan bertentangan dengan agama, namun jumlahnya kecil kerana kerajaan telah menjalankan pelbagai inisiatif pendidikan dan kesedaran mengenai perkara itu.
Sementara itu, Mahyuddin mendapati umat Islam masih bergantung kepada saintis Barat yang mengamalkan pendekatan sistematik dan bersungguh-sungguh, menjadikan mereka lebih ke hadapan.
“Sebenarnya, pencapaian mereka hari ini adalah kesinambungan daripada kejayaan sarjana Islam terdahulu. Ulama seperti Ibnu Sina pernah menjadi rujukan utama dalam bidang perubatan dunia,” katanya.