123 atlet UMP bersaing dalam Kejohanan SUKUM Ke-44
PEKAN, 12 September 2022 - "Menang atau kalah, itu adat pertandingan dan sudah menjadi lumrah kehidupan tetapi obor perjuangan jangan sesekali kita padam, terus berjuang hingga ke titisan peluh yang terakhir,” kata Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang hadir memberi kata semangat buat atlet dalam Majlis Penyerahan Bendera UMP bagi menyertai kejohanan sukan dalam acara yang berlangsung di Dewan Bankuet, UMP Pekan.
Beliau menyerahkan bendera UMP kepada Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UMP merangkap Ketua Kontinjen UMP, Saiful Bahri Ahmad Bakarim sebagai simbolik penyertaan UMP di Kejohanan Sukan Staf antara Universiti Malaysia (SUKUM) yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor mulai 16 hingga 24 September 2022.
Menurutnya, dalam bersukan atau bertanding seharusnya menggunakan akal dan strategi.
“Justeru kemenangan dalam pertandingan adalah berdasarkan kepada daya tahan yang tinggi (excellent fitness), fokus yang berterusan, emosi yang teratur dan strategi yang jelas.
“Strategi yang digarap oleh sesebuah pasukan menuntut kepada penelitian oleh para jurulatih dan pengurus pasukan.
"Saya hargai usaha dan latihan semua pasukan sama ada siang atau malam demi mengharumkan nama UMP dan saya mendoakan kejayaan 123 atlet serta pegawai yang akan berjuang di kejohanan yang berprestij ini,” katanya.
Beliau juga berharap UMP dapat memfokuskan beberapa sukan yang berfokus (by design) yang bukan hanya dapat mengecapi kejayaan di SUKUM malah di peringkat yang lebih tinggi.
Katanya, universiti akan sentiasa menyokong dalam konteks keperluan dan fasiliti bagi kemajuan sukan berfokus ini.
Selain itu, tambah beliau lagi, Pusat Sukan UMP diharapkan dapat memikirkan acara sukan yang besesuaian.
Manakala Saiful Bahri berkata, UMP menghantar sebanyak sembilan acara sukan yang terdiri daripada memanah, ping pong, petanque, golf, futsal, bola tampar, hoki, tenpin boling dan acara berbasikal.
“UMP menyasarkan satu pingat emas, satu pingat perak dan enam pingat gangsa pada Kejohanan SUKUM kali ini.
“Sebagai persiapan, atlet UMP telah bermula sesi latihan telah bermula pada Ogos lalu.
“Saya akui selepas pandemik COVID-19, kebanyakan pasukan tidak banyak pendedahan dalam kejohanan,” katanya.
Namun, pihaknya percaya dengan persiapan dan latihan semua pasukan akan membuatkan atlet lebih bersedia untuk harungi cabaran ini.
Majlis itu turut dihadiri Pengurus Kanan Pejabat Naib Canselor (PNC), merangkap Timbalan Ketua Kontinjen UMP di SUKUM, Abd Rahman Haji Safie dan Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Aznorizamin Ismail.
Barisan atlet turut melafazkan bacaan ikrar yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mohd Fakhrurrazi Ishak yang merupakan atlet sukan berbasikal UMP.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.
- 120 views