Skip to main content

UMP tumpuan lebih 4000 atlet Kejohanan MASUM

Kuantan, 19 Julai – Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal menjadi tumpuan atlet universiti awam dari seluruh negara apabila menjadi tuan rumah Kejohanan Sukan Universiti Malaysia (MASUM) bermula 23 Julai hingga 4 Ogos 2019 ini di Kompleks Sukan UMP Gambang. 

Lebih 4000 atlet universiti awam akan hadir secara berperingkat di universiti ini bagi beraksi merebut kejuaraan dalam acara tahunan yang menjadi medan atlet daripada institusi pendidikan tinggi (IPT) mempersiapkan diri ke peringkat antarabangsa. Ianya juga dijangka akan dibanjiri dengan atlet negara yang pernah mewakili negara di Sukan SEA, Sukan Universiti Asean, Sukan Universiti Dunia dan lain-lain kejohanan besar.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato Dr Yuserrie Zainuddin yang juga Timbalan Pengerusi MASUM 2 berkata, UMP julung kali dipilih menjadi tuan rumah dan pada kali ini pihaknya menjanjikan pengurusan  terbaik dalam semua aspek seperti venue pertandingan dan juga suasana menarik sepanjang tempoh kejohanan berlangsung.

“Sebanyak 19 acara sukan dipertandingkan pada kejohanan kali ini antaranya olahraga, bola tampar, bola baling, bola jaring, badminton, memanah dan banyak lagi. Kejohanan kali ini juga antara yang istimewa apabila acara ragbi wanita turut dipertandingkan dalam Karnival Sukan MASUM kali ini,” katanya yang hadir dalam Majlis penyerahan bendera kontinjen UMP. Hadir sama Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Profesor Dato Ts. Dr. Rosli Abu Bakar dan Dekan Perkhidmatan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Mansor Sulaiman.

Dalam majlis ini, Prof Dato Dr Yuserrie menyerahkan bendera UMP kepada Mohammad Syakir Mohd Isa yamg merupakan atlet silat yang mewakili peserta lelaki manakala Nur Amira Wahida Wahid, atlet bola baling yang mewakili peserta wanita.

Bagi Profesor Dato Ts. Dr. Rosli, pihaknya mensasarkan 13 pingat emas, 6 perak dan 2 gangsa dalam kejohanan kali ini dan menasihatkan atlet dapat mengambil peluang beraksi di gelanggang sendiri dengan sebaiknya untuk meraih kejayaan dalam sukan masing-masing. Ujarnya menang atau kalah adalah adat pertandingan, namun mengharapkan mereka dapat menyahut cabaran dengan menunjukkan kesungguhan sepanjang kejohanan di samping memelihara imej dan nama baik UMP.

Dalam pada itu seramai 200 sukarelawan UMP akan turut sama memastikan penganjuran berjalan lancar di beberapa lokasi termasuk di sekitar Kuantan yang turut menjadi lokasi kejohanan iaitu Pusat Akuatik Majlis Perbandaran Kuantan, Gelanggang Lawn Balls SUKPA, Pusat Boling Mega Lanes, Megamal Kuantan, Padang Ragbi TUDM dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang. Orang ramai boleh melayari www.masum.org.my untuk maklumat lanjut. 

Disediakan oleh Nur Sa’adatul Afzan Jusoh daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri