UMPSA bakal tawan Gunung Kinabalu
KUALA LUMPUR, 14 September 2023 - Pasukan Ekspedisi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang terdiri daripada lapan pendaki melibatkan pelajar, alumni dan staf bakal menawan Gunung Kinabalu dalam Misi Ekspedisi Tawan Puncak Kinabalu yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed pada 18 dan 19 September ini.
Para pendaki terdiri daripada pelajar Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Muhammad Daniyal Burkhanuddin, Munirah Mahadir, Muvieanraj Anantakumar dan Yap Wan Er dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) dan Muhammad Hanif Sufian Hazman.
Turut sama Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan UMP, Dato' Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim dan alumni UMPSA, Mohamad Azrul Adnan.
Hadir merasmikan program Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainudin yang turut menyerahkan bendera jalur gemilang, benderà negeri Pahang dan bendera UMPSA kepada para pendaki.
Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz berkata, misi kumpulan ini untuk menawan puncak Gunung Kinabalu ini adalah sebagai tanda penjenamaan UMPSA agar universiti ini terus unggul berada di kemucak kejayaan dan dalam usia UMPSA menyambut ulang tahun ke-21.
“Pendakaian Gunung Kinabalu yang berketinggian 4,095.2 meter, puncak tertinggi di Asia Tenggara itu sememangnya amat mencabar dari segi mental dan fizikal.
“Kita mengharapkan misi ini dapat direalisasikan dan pada masa yang sama keselamatan perlu diutamakan.
“Lebih bermakna ia turut diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia Ke-60 yang disambut pada 16 September,” katanya.
Pendakian bermula pada hari Isnin di Pondok Timpohon menuju ke Panalaban sebelum bermalam di Laban Rata dan seterusnya menuju ke puncak Gunung Kinabalu.
UMPSA kembali menawan Gunung Kinabalu pada tahun ini selepas kejayaan dalam misi yang sama pada tahun 2012 dan Misi Pendakian Gunung Kinabalu pada tahun 2017.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat