UMPSA sasar 3 pingat emas di SUKIPT 2024
GAMBANG, 30 Ogos 2024 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin baru-baru ini menyerahkan bendera UMPSA kepada wakil kontinjen, Ahmad Azad Rifqi Redzuan yang bakal mewakili universiti ke Sukan Institusi Pendidikan Tinggi 2024 (SUKIPT) di Sintok, Kedah.
Kontinjen UMPSA akan dipimpin oleh Ketua Kontinjennya, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Timbalan Ketua Kontingen, Mohd Aznorizam Haji Ismail.
SUKIPT akan berlangsung selama lapan hari bermula pada 6 hingga 14 September 2024 di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Seramai 67 atlet yang terdiri daripada 56 lelaki dan 11 wanita serta 18 pegawai terdiri dari pengurus, urus setia dan jurulatih akan menyertai SUKIPT pada tahun ini.
Pada tahun ini, sebanyak 28 acara sukan yang akan dipertandingkan.
UMPSA menyasarkan sebanyak tiga pingat emas, dua perak dan tujuh gangsa dalam lapan acara sukan yang disertai iaitu futsal, tae kwan do, golf, berbasikal, ragbi, memanah, olahraga dan juga silat.
Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin mengingatkan wakil atlet untuk menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya.
“Janganlah kita meletakan ‘mindset’ sekadar bertanding atas prestasi selaku wakil universiti semata-mata, tetapi paling penting bersainglah bagi kita merebut peluang melayakkan diri dalam pasukan kebangsaan dan akan membawa cabaran lebih besar di peringkat serantau serta antarabangsa seperti Asean University Games (AUG), World University Championship (WUC), World University Games (WUG) dan pelbagai kejohanan sukan yang lain.
“Hargailah peluang menyertai Kejohanan SUKIPT ini sebagai langkah permulaan untuk mencipta lebih banyak kejayaan dalam sukan dan acara yang disertai,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Mohd Aznorizamin Ismail, Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Haryani Abdullah dan Pengarah Akademi A.D.A.B., Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 78 views