50 Leaders Boot Camp 2026 gilap potensi pemimpin masa hadapan
SUNGAI LEMBING, 2 Januari 2026 – Yayasan UMPSA telah berjaya melabuhkan tirainya apabila berjaya menganjurkan Program 50 Leaders Boot Camp 2026 yang menyaksikan penyertaan seramai 50 orang ketua Sukarelawan Yayasan UMPSA di Sungai Lembing Kuantan baru-baru ini.
Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 2 Januari lalu telah dirangka khusus untuk melahirkan barisan ketua atau mentor yang berwibawa melalui kerangka Kepimpinan Yayasan UMPSA.
Ia terdiri daripada empat Aspirasi iaitu Penerokaan, Pembangunan, Penyampaian dan Legasi bagi memperkukuh lagi peranan sukarelawan dalam membantu kepada kebajikan, pembangunan mahasiswa dan golongan yang memerlukan.
Sepanjang tiga hari program berlangsung, ketua atau mentor sukarelawan telah didedahkan dengan aspirasi pertama iaitu penerokaan yang memfokuskan usaha memperkasakan potensi diri, mengenal pasti identiti kepimpinan serta memahami misi dan visi Yayasan UMPSA.
Aspirasi ini diterapkan menerusi lima penerokaan utama merangkumi pengetahuan asas Yayasan UMPSA, pembentukan diri, perspektif pemikiran, pengurusan organisasi dan prestasi tindakan secara teoritikal serta praktikal bagi membolehkan mentor menghayati dan menterjemahkannya dalam peranan masing-masing.

Selain itu juga, slot mentor dan mentee juga didedahkan di dalam program ini bagi memperkukuh lagi peranan seorang mentor kepada setiap mentee.
Ketua Eksekutif Yayasan UMPSA, Mohd Jamil Mohd Ja'afar berkata, untuk membina legasi yang baharu, pemimpin perlu dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran diri melalui konsep ‘Discover, Develop, Deliver, Legacy’.
“Kita ingin melahirkan pemimpin yang mampu menemui potensi diri, mengembangkan kemahiran kepimpinan, menyampaikan impak kepada komuniti, malah meninggalkan warisan kepimpinan yang kukuh untuk generasi akan datang."
“Kepimpinan bukan terletak pada pangkat atau jawatan tetapi pada kemampuan memberi inspirasi dan membimbing orang lain untuk mencapai potensi terbaik mereka,” ujarnya.
Salah seorang peserta, Muhammad Amir Firdaus menyatakan bahawa slot pembentukan diri telah membuka matanya mengenai kepelbagaian ciri kepimpinan.
"Kami diberikan pendedahan tentang sepuluh jenis ciri-ciri pemimpin.
“Saya kini lebih mengenali gaya kepimpinan sendiri yang cenderung kepada sifat autokratik dan demokratik.
“Hal ini sangat membantu saya untuk memperbaiki diri pada masa hadapan," katanya.
Manakala menurut seorang lagi peserta, Nur Zarifah Hana yang berkongsi pengalamannya melalui slot Mentor dan Mentee, slot ini mengajar kami bagaimana untuk menjadi mentor yang baik melalui perancangan program yang mantap.
“Kami mahu memastikan setiap mentee mendapat bimbingan yang tepat supaya mereka mampu berdikari dan menonjolkan potensi diri walaupun tanpa kehadiran mentor secara fizikal," jelasnya.
Semoga dengan program ini mampu memberikan impak kepada mentor mahupun ketua-ketua sukarelawan yang dipilih dalam mengenal pasti potensi diri, identiti kepimpinan sekali gus dapat memahami misi serta visi Yayasan UMPSA.
Tidak hanya terhenti di sini, aspirasi Pembangunan, Penyampaian dan Legasi akan diteruskan bagi melahirkan pemimpin sukarelawan yang berwibawa melalui kerangka Kepimpinan yang telah dirancang oleh Yayasan UMPSA.
Disediakan Oleh: Putri Balqish Qistina Mohammad Hamidi, Sukarelawan Yayasan UMPSA
- 92 views
Reports by: