Skip to main content

Afeef Hamizan pelajar UMPSA juara Chinese Bridge Malaysia wakil negara ke China

KUALA LUMPUR, 9 Mei 2026 – Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian (BEL) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Afeef Hamizan berjaya dinobatkan sebagai juara pertandingan dan bakal mewakili Malaysia ke Chinese Bridge Competition peringkat antarabangsa di China.  

Kejayaan tersebut turut menyaksikan guru pembimbingnya, Leong Hui Theng menerima pengiktirafan jurulatih terbaik hasil dedikasi sepanjang perjalanan latihan dan bimbingan.

Afeef Hamizan dan pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) Jiveetha a/p Ravi berjaya mencuri perhatian penonton dan panel juri menerusi penguasaan bahasa Mandarin yang yakin dan persembahan budaya yang penuh penghayatan.

Afeef Hamizan pelajar UMPSA juara Chinese Bridge Malaysia wakil negara ke China

Ternyata, kesungguhan Guru Bahasa Mandarin dari Pusat Bahasa Moden (PBM), UMPSA, Yong Ying Mei dan Leong Hui Theng dalam mencungkil bakat pelajar membuahkan hasil membanggakan apabila dua wakil universiti berjaya mara ke pentas akhir pertandingan berprestij “The 25th Chinese Bridge – Chinese Language Proficiency Competition for Malaysian University Students”.

Kejayaan tersebut turut menyaksikan guru pembimbingnya, Leong Hui Theng menerima pengiktirafan jurulatih terbaik hasil dedikasi sepanjang perjalanan latihan dan bimbingan.

Pertandingan anjuran Institut Kong Zi Universiti Malaya (KZIUM) itu menghimpunkan seramai 25 peserta daripada 16 universiti awam dan swasta serta kolej seluruh negara yang berjaya melepasi peringkat saringan awal. 

Dalam pertandingan itu, para peserta diuji menerusi empat kategori termasuk kuiz pengetahuan bahasa dan budaya Cina, pidato bertemakan ‘One World, One Family’, persembahan bakat dan cabaran pidato spontan bagi lima peserta terbaik.

Jiveetha telah menampilkan persembahan tarian tradisional Cina yang menarik hasil bimbingan gurunya. 

Menurut Jiveetha, bimbingan guru banyak membantu beliau membina keyakinan di pentas pertandingan.

 “Guru saya, Puan Yong banyak membantu memperkemaskan sebutan dan memberikan pelbagai idea kreatif agar persembahan saya tampil lebih yakin dan mempunyai identiti tersendiri,” katanya.

Selain melatih aspek gerakan dan ekspresi pentas, Yong Ying Mei turut membimbing pelajar dalam penyampaian pidato Mandarin agar lebih semula jadi dan beremosi.

Bagi persediaan kuiz budaya pula, kedua-dua guru pembimbing turut menjalankan ‘pop quiz’ untuk menguji kefahaman dan meningkatkan keyakinan pelajar dalam menjawab soalan. 

Manakala bagi kategori pidato, mereka telah beberapa kali menyunting skrip sebelum pertandingan bagi memastikan penyampaian lebih berkesan dan mempunyai gaya tersendiri yang mudah diingati.

Sementara itu, perjalanan Afeef Hamizan bersama guru pembimbing, Leong Hui Theng menjadi antara kisah bermakna sepanjang persediaan pertandingan tersebut. 

Kedua-duanya berkongsi impian yang sama untuk melihat wakil UMPSA berjaya melangkah ke pentas antarabangsa di China.

Mereka menjalani latihan intensif hampir setiap minggu termasuk sehingga lewat malam dan pada hujung minggu demi memperbaiki sebutan, intonasi dan gaya persembahan.

Menurut Afeef, kadang-kadang memang sangat penat kerana latihan yang berterusan dan perlu membahagikan masa dengan pengajian. 

“Tetapi perjalanan ini sangat manis. 

“Sokongan keluarga dan bimbingan guru membuatkan saya lebih berkeyakinan,” ujarnya.

Guru pembimbing turut hadir dengan idea kreatif dalam memperhalusi persembahan. 

Dengan usaha sendiri dan cadangan guru pembimbing, Leong Hui Theng, Afeef Hamizan terserlah dalam persembahan bakat yang menggabungkan lagu rakyat Cina berjudul ‘Slow Slow Tune’ dengan elemen kesusasteraan Dinasti Song (Song Ci 宋词). 

Persembahan itu turut diperkaya dengan puisi khas hasil ciptaan guru pembimbing bertajuk ‘Impian’ (《梦想》), menjadikan persembahan lebih artistik dan berkesan dari segi penyampaian emosi.

Gabungan elemen muzik, puisi dan penghayatan budaya itu berjaya menjadikan persembahan wakil UMPSA tampil unik dan mempersona sehingga menerima tepukan penonton dan pujian panel juri.

Menurut ulasan juri, peserta perlu menguasai bahasa dengan baik dan mampu menyampaikan kreativiti dalam persembahan. 

Bagi kategori pidato, kekuatan utama peserta adalah kemampuan mereka menceritakan kisah dengan penghayatan emosi dan gambaran visual. 

Dalam pusingan terakhir, hanya lima peserta terbaik berjaya mara ke pentas pidato spontan yang menguji keupayaan peserta bertutur secara spontan dalam bahasa Mandarin. 

Afeef Hamizan antara yang berjaya melangkah ke peringkat tersebut dan tampil tenang dengan tajuk ‘Satu Ungkapan Bahasa Mandarin yang Mengubah Hidup Saya’.

Dalam pidato spontan itu, beliau mengaitkan pengalaman sepanjang pertandingan bersama guru pembimbingnya, menyampaikan hujah dengan penuh penghayatan sehingga berjaya menyentuh hati penonton dan dinobatkan sebagai johan.

Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali berkata, kejayaan kali ini membuktikan bahawa bahasa mampu menjadi jambatan yang menyatukan budaya dan masyarakat pelbagai kaum sejajar dengan tajuk ‘Chinese ‘Bridge’ Competition’.

“Selain mengajar, guru bahasa juga berperanan mencungkil potensi dan membina keyakinan pelajar sehingga mampu menyerlah di pentas antarabangsa. 

“Kejayaan ini hasil usaha bersama antara pelajar, guru dan sokongan universiti,” katanya.

Usaha kedua-dua peserta bersama guru pembimbing menunjukkan bahawa kejayaan sebenar bukan hanya terletak pada kemenangan, tetapi keberanian mencabar diri dan kesanggupan belajar budaya baharu.

Melihat pelajar bukan penutur jati mampu berdiri dengan yakin di atas pentas dan bertutur dalam bahasa Mandarin di hadapan juri merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna bagi setiap pendidik. 

Kejayaan UMPSA dalam Chinese Bridge Competition ini menyaksikan kemampuan universiti melahirkan pelajar yang berdaya saing dalam penguasaan bahasa selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti. 

Ini turut membuktikan bahawa bahasa mampu menjadi jambatan persahabatan dan melahirkan generasi muda yang berani mengejar impian di pentas antarabangsa.

Disediakan Oleh: Leong Hui Theng, Yong Ying Mei dan Dr. Nor Yazi Khamis, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri