Mahasiswa UMPSA Teroka Teknologi Hijau di Nextgreen Pulp and Paper
PEKAN, 9 April 2026 – Seramai 25 orang pelajar Kelab Eco Nexus dan staf Pusat Pembangunan Kelestarian Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan lawatan ke Nextgreen Pulp & Paper Sdn. Bhd. bagi menimba pengalaman serta memahami aplikasi sebenar teknologi hijau dalam industri pembuatan pulpa dan kertas.
Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian, Dr. Suhaidah Hussain lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar dalam teknologi pemprosesan lestari, inovasi berasaskan biojisim serta amalan ekonomi kitaran yang semakin penting dalam industri masa kini.
Sepanjang sesi lawatan, para pelajar didedahkan secara mendalam mengenai kitaran pengeluaran pulpa dan kertas yang bermula daripada pemilihan bahan mentah sehingga ke proses akhir penghasilan produk, termasuk penggunaan teknologi mesra alam yang mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Ketibaan rombongan ini telah disambut oleh Penolong Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan Nextgreen Pulp & Paper Sdn. Bhd., Hazwani Husin.

Menurut Hazwani, Nextgreen Pulp & Paper Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam industri pengeluaran pulpa dan kertas berasaskan teknologi hijau, dengan memberi tumpuan kepada penggunaan bahan mentah bukan kayu seperti sisa daripada industri kelapa sawit bagi menghasilkan produk yang lebih lestari dan mesra alam.
“Terima kasih kepada pihak UMPSA atas kesudian berkunjung ke syarikat kami.
“Kami sememangnya komited dalam menyokong pembangunan bakat muda serta berkongsi pengetahuan berkaitan teknologi hijau dan kelestarian industri kepada generasi akan datang,” katanya.

Manakala Presiden Kelab Eco Nexus yang juga pelajar Diploma Sains Industri, Muhammad Hariez Mirza Mohd Azhar, pengalaman ke Nextgreen Pulp & Paper Sdn. Bhd. sangat memberikan manfaat kepada para pelajar.
“Lawatan ini bukan sahaja membuka minda mereka terhadap kepentingan inovasi hijau dalam industri, malah memberi inspirasi untuk meneroka idea baharu dalam usaha menyokong agenda kelestarian serta pembangunan kampus lestari di UMPSA,” katanya.
Hadir sama Ketua Jabatan (Pengurusan Teknologi Industri), Ts. Dr. Norhana Mohd Aripin dan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Dr. Azi Izwani Nor Hamzah.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian
- 27 views
Reports by: