Skip to main content

MPP UMPSA bawa aspirasi pelajar dalam Makmal dan Dialog RPTM 2026–2035 bersama 1,000 pemimpin pelajar di seluruh negara

SHAH ALAM, 23 FEBRUARI 2026 – Barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (MPP UMPSA) Sesi 2025/2026 terus mengukuhkan peranan mereka sebagai ejen perubahan apabila seramai 28 orang perwakilan universiti hadir menyumbang idea dalam Makmal dan Dialog Kemenjadian Mahasiswa: Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Program berskala besar ini telah menghimpunkan hampir 1,000 orang pemimpin pelajar dari pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh negara. Himpunan ini menjadi platform penting dalam membina sinergi di antara pelajar dengan pihak berkepentingan bagi merangka hala tuju pendidikan tinggi negara untuk tempoh sedekad akan datang.

Penyertaan delegasi UMPSA dalam program ini bertujuan memastikan setiap aspirasi, pandangan dan isu kritikal yang dihadapi mahasiswa di peringkat akar umbi dapat diketengahkan secara menyeluruh serta diterjemahkan ke dalam dasar nasional yang lebih inklusif, dinamik dan holistik. 

Bagi memastikan input yang diberikan bersifat komprehensif, kesemua perwakilan telah dibahagikan kepada 10 kumpulan fokus berbeza yang memberi penekanan kepada pelbagai kluster utama termasuk kebolehpasaran graduan, kesejahteraan pelajar, inovasi pembelajaran dan pemerkasaan kepimpinan pelajar.

Sepanjang program berlangsung, para delegasi terlibat secara aktif dalam sesi percambahan idea kreatif, perbincangan strategik serta dialog dua hala bersama kepimpinan pelajar nasional dan wakil Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). 

Melalui pembentangan solusi yang praktikal dan berpaksikan realiti semasa kampus, barisan MPP UMPSA berusaha memastikan ekosistem pendidikan tinggi pada masa hadapan mampu melahirkan graduan yang seimbang dari segi kecemerlangan akademik, sahsiah diri dan daya tahan global.

Menurut Yang di-Pertua MPP UMPSA Sesi 2025/2026, Adam Al-Wafiy Muhammad Zailani, penglibatan aktif dalam platform berimpak tinggi seperti ini memberi peluang yang amat berharga kepada pelajar untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam proses pembentukan dasar negara.

“Platform seperti Makmal dan Dialog Kemenjadian Mahasiswa ini membuka ruang kepada pelajar untuk menyuarakan pandangan secara terus kepada pembuat dasar. 

“Kami melihat ini sebagai satu tanggungjawab besar untuk memastikan suara pelajar tidak hanya didengar, tetapi diambil kira dalam merangka masa depan pendidikan tinggi negara. 

“Keterlibatan ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar, malah membina keyakinan dan keupayaan mereka untuk berfikir secara kritis serta menyumbang kepada penyelesaian yang lebih strategik dan berimpak tinggi,” katanya lagi.

Kehadiran seramai 28 wakil UMPSA ini menjadi bukti nyata komitmen berterusan universiti dalam memperkasakan suara pelajar serta meningkatkan kualiti pendidikan yang ditawarkan. 

Kerjasama erat di antara Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam penganjuran program ini turut memperlihatkan bahawa pelajar kini bukan lagi sekadar pelaksana dasar, sebaliknya diiktiraf sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara.

Sehubungan itu, adalah menjadi harapan agar segala input, cadangan dan resolusi yang dihasilkan sepanjang makmal ini dapat dijadikan asas penting dalam merangka Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 yang lebih progresif, inklusif dan berdaya saing pada peringkat global, seterusnya memastikan sistem pendidikan tinggi negara terus relevan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Oleh: Ahmad Amirul Irfan Ahmad Saupi, Majlis Perwakilan Pelajar
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim