Pelajar UMPSA memartabatkan seni tari tradisional Melayu di Islamabad, Pakistan
ISLAMABAD, 12 September 2024 – Seramai empat orang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diundang ke Islamabad, Pakistan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-67 dan Festival Makanan Malaysia anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) dengan kerjasama Hotel Serena, Islamabad pada 3 hingga 12 September 2024 baru-baru ini.
Rombongan itu diketuai oleh mantan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA Sesi 2022/2023, Agha Khilfi Suarno.
Beliau juga merupakan penggiat aktif seni budaya UMPSA dan pernah menerima Anugerah Mercu Sanjung 2022 (Kebudayaan dan Kesenian).
Menurutnya Agha Khilfi, minggu Festival Makanan Malaysia itu dimulakan dengan pelancaran Journey of Malaysia: Exploring the Diverse Flavors and Culinary Traditional of Southeast Asia.
“Festival itu memfokuskan kepada warisan masakan Malaysia dan kepelbagaian budaya terutama peluang menikmati hidangan ikonik Malaysia seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik sebagai meraikan budaya sarapan Malaysia yang dihargai di seluruh Asia Tenggara malah telah tersenarai sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO.
“Dalam program itu, kami telah menampilkan persembahan tradisional Melayu daripada pelbagai negeri di Malaysia.
“Persembahan yang menonjolkan kepelbagaian warisan dan tradisi negara ini sangat mempesonakan,” ujarnya.
Turut hadir ke majlis pelancaran itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Hotel Serena, Aziz Boolani dan Duta Besar Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Dato’ Azhar Mazlan.
Menurut mahasiswa tahun akhir Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) yang juga penerima Anugerah Bonang Emas (Lelaki) Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) 2023, Muhammad Irsyaduddin Rosdi, beliau bersyukur kerana dipilih untuk menyertai program ke Islamabad itu.
“Pengalaman ini sangat mahal dan saya amat berbangga kerana kami bukan sekadar membawa nama UMPSA tetapi juga nama Malaysia.
“Kami sangat menghargai persembahan yang kami sajikan.
“Walaupun agak gementar menari di hadapan duta Malaysia di Pakistan, namun semangat kami tetap ingin memberi yang terbaik kepada mereka demi Malaysia dan UMPSA,” katanya.
Tambah beliau lagi, selain mengadakan persembahan, mereka turut dibawa melawat tempat-tempat menarik di sekitar Islamabad.
“Saya amat mengagumi seni bina dan ukiran lukisan yang menceritakan sejarah negara di Pakistan Monument.
“Kedudukan monumen di atas bukit sedikit sebanyak boleh nampak hampir keseluruhan bandar Islamabad,” katanya.
“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Perwakilan Islamabad, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) serta Pusat Sukan dan Kebudayaan (PSK) atas jemputan, sokongan dan memberi peluang keemasan ini kepada kami.
“Kami sangat bersyukur di atas peluang ini walaupun terdapat sedikit kekangan daripada bilangan aktivis budaya yang terlibat, namun perjuangan harus diteruskan,” ujarnya.
Beliau juga berharap agar program seperti ini dapat diteruskan bagi mengukuhkan perhubungan di antara pihak universiti dengan pelbagai agensi luar dalam salah satu strategi memperkasakan mahasiswa terutamanya dalam bidang seni.
Turut sama menyertai rombongan ini adalah mahasiswa tahun akhir Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Nurul Fatihah Jamal dan Siti Aishah Dasney Che Faziman.
Menurut Nurul Fatihah, mereka berasa bertuah dan bersyukur atas peluang yang diberikan ini.
“Selama sepuluh hari di Pakistan, pihak kedutaan menjaga mereka seperti keluarga.
“Pengalaman berada di sana membuatkan kami rasa bersyukur menjadi rakyat Malaysia, bak kata pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri’,” katanya.
Festival itu berakhir dengan program Exclusive Coffee Morning di bawah pimpinan Pengerusi Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN) Islamabad, To’ Puan Amelia Amani Abdullah.
Program diadakan untuk meraikan budaya Malaysia dan mengukuhkan persahabatan serta meningkatkan persefahaman sosiobudaya dalam kalangan wanita diplomatik, wanita Pakistan dan Malaysia yang tinggal di Pakistan.
Acara diakhiri dengan tarian Joget Lambak yang diraikan oleh semua tetamu sebagai simbolik perpaduan dan kemeriahan.
Disediakan Oleh: Noor Afiza Binti Mohd Asmi, Pusat Sukan dan Kebudayaan
- 128 views