Skip to main content

Program Sangkutan Kerja UMPSA di Universitas Indonesia perkasa kompetensi staf pentadbiran

JAKARTA, 31 Oktober 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh pembangunan profesional dan kompetensi warga universiti melalui pelaksanaan Program Sangkutan Kerja Peningkatan Kompetensi Staf di Universitas Indonesia (UI) yang berlangsung selama 12 hari bermula 20 hingga 31 Oktober 2025. 

Program ini merupakan salah satu inisiatif strategik di bawah Amanat Naib Canselor Tahun 2025, selaras dengan Agenda Transformasi Pertama – Memperkukuh dan Memajukan Potensi Individu yang menumpukan kepada pembangunan holistik melibatkan semua lapisan komuniti universiti termasuk staf akademik, staf bukan akademik, pelajar dan alumni.

Dua orang staf UMPSA telah terpilih bagi mengikuti program tersebut ialah EKSEKUTIF KANAN, Jabatan Pendaftar, Wan Muslimin Wan Nawang, wakil Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Penolong Pegawai Tadbir, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Mohd Khairulnazri Saidi, wakil Kumpulan Pelaksana. 

Program ini bertujuan memperkasa kompetensi staf pentadbiran UMPSA melalui pendedahan kepada amalan terbaik di peringkat antarabangsa, di samping memperkukuh hubungan dua hala antara UMPSA dan Universitas Indonesia, sebuah institusi pendidikan tinggi terkemuka di rantau Asia Tenggara.

Pelaksanaan program ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh keupayaan kepimpinan dan profesionalisme warga UMPSA melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) di persekitaran universiti rakan antarabangsa. 

Sepanjang hampir dua minggu di UI, para peserta berpeluang menimba pengalaman sebenar dalam ekosistem pengurusan universiti bertaraf global, mengamati secara langsung amalan terbaik dalam pengurusan sumber manusia, pengurusan pelajar dan pembangunan komuniti kampus serta berinteraksi dengan pegawai-pegawai kanan dan pengurus jabatan bagi memahami strategi pelaksanaan dasar universiti yang berkesan.

Hari pertama program menyaksikan sesi perjumpaan dan pengenalan bersama kepimpinan Direktorat Sumber Daya Manusia dan Pengembangan Talenta (DSDMP) serta Directorate International Office (DIO) UI pada 20 Oktober 2025. 

Program Sangkutan Kerja UMPSA di Universitas Indonesia perkasa kompetensi staf pentadbiran

Sesi ini memberi pendedahan awal mengenai struktur organisasi, hala tuju pembangunan sumber manusia, serta strategi pengantarabangsaan yang digerakkan oleh pihak UI.  

Pada 21 Oktober, kedua-dua peserta berpeluang mengikuti aktiviti ‘Brist walk’ sekitar kampus UI bersama Rektor Universitas Indonesia. Aktiviti ini menjadi platform santai untuk berinteraksi dengan kepimpinan universiti, di samping merasai suasana kampus hijau yang menjadi kebanggaan UI dan simbol kelestarian institusi tersebut.

Program diteruskan dengan perjumpaan dan pengenalan bersama Directorate of Student Affairs (Direktorat Kemahasiswaan) UI, di mana peserta didedahkan kepada pelbagai strategi pengurusan pelajar, termasuk inisiatif pembangunan sahsiah, sokongan kebajikan, dan sistem pentadbiran pelajar yang tersusun.  

Selain itu, sesi pertemuan bersama Direktur Alumni dan Dana Abadi UI, Profesor Dr. Fentiny Nugroho turut diadakan bagi membincangkan strategi pengurusan hubungan alumni yang merupakan hubungan penting dalam menyokong pembangunan universiti dan kaedah pengumpulan dana abadi yang menjadi antara tunjang kewangan universiti. 

Pertemuan ini membuka ruang untuk perkongsian idea bagi memperkukuh jaringan alumni UMPSA serta potensi pengurusan dana lestari di masa hadapan.

Menariknya, peserta turut berpeluang bertemu mantan Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan Mekanikal (FTKPM) UMPSA, Dr. Ir. Muchamad Oktaviandri, yang kini menjawat jawatan Dekan di Fakultas Teknik, Universitas Pembangunan Nasional (UPN) Veteran Jakarta. 

Sesi ini menjadi medan nostalgia dan juga platform membincangkan potensi kolaborasi akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.

Sepanjang tempoh program, para peserta turut berkesempatan melihat secara dekat budaya kerja warga UI, memahami nilai-nilai profesionalisme dan sistem pengurusan sumber manusia yang cekap. 

Pemerhatian terhadap amalan terbaik ini akan dijadikan asas penambahbaikan proses kerja serta inspirasi untuk memperkukuh keberkesanan pentadbiran di UMPSA.

Selain aspek profesional, peserta juga menikmati pengalaman budaya tempatan seperti menaiki kereta api dari Depok ke Jakarta, memberi pengalaman unik terhadap sistem pengangkutan awam Indonesia menikmati keindahan kota Jakarta, serta merasai pelbagai hidangan autentik Indonesia yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan keramahan masyarakat setempat.  

Program ini diakhiri dengan Majlis ‘Farewell Lunch’ bersama kepimpinan Direktorat Sumber Daya Manusia dan Pengembangan Talenta UI di Gubug Makan Mang Engking, Universitas Indonesia, di mana kedua-dua pihak menikmati juadah citarasa Sunda sambil mengeratkan hubungan silaturahim dan menzahirkan penghargaan atas kerjasama yang terjalin sepanjang program.

Menurut Wan Muslimin, pengalaman ini amat berharga kerana memberi pendedahan mendalam tentang strategi pengurusan sumber manusia di peringkat global yang boleh diadaptasi dalam konteks UMPSA. 

“Melalui penglibatan secara langsung dengan pihak pengurusan dan staf universiti hos, saya berpeluang memahami pendekatan holistik dalam pembangunan bakat, pengukuhan budaya kerja berprestasi tinggi serta amalan terbaik dalam keseimbangan antara produktiviti dan kesejahteraan warga kerja,” ujarnya. 

Sementara itu, Mohd Khairulnazri turut menyatakan rasa kagum terhadap budaya kerja warga UI yang sangat berdisiplin dan berorientasikan hasil, di samping memperlihatkan komitmen yang tinggi terhadap kesejahteraan pelajar serta kebersamaan komuniti kampus. 

“Nilai-nilai ini wajar dijadikan inspirasi untuk memperkukuh ekosistem kerja di UMPSA yang lebih berimpak dan berdaya saing.

“Melalui pelaksanaan program sangkutan kerja ini, UMPSA bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa, tetapi turut memperluas perspektif warga universiti terhadap amalan pengurusan universiti bertaraf global,” katanya. 

Inisiatif ini juga menjadi wadah penting dalam memperkasa kapasiti dan kompetensi pentadbir universiti agar mampu menerajui perubahan dengan lebih strategik dan berkesan. 

Ia sekali gus mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkukuh langkah ke arah kecemerlangan organisasi berteraskan nilai-nilai kemanusiaan, sejajar dengan Agenda Transformasi Pertama Amanat Naib Canselor 2025, yang menekankan pembentukan warga universiti berdaya saing, berilmu dan beretika tinggi dalam menghadapi cabaran global.

Melalui pendedahan antarabangsa seperti ini, UMPSA terus membuktikan kesungguhan dan komitmen terhadap pembangunan kompetensi, inovasi pentadbiran serta pengukuhan budaya kerja berintegriti tinggi. 

Usaha sebegini menjadi pemangkin kepada pembentukan universiti yang bukan sahaja cemerlang dari segi pencapaian akademik dan penyelidikan, tetapi juga unggul dalam aspek kepimpinan, keinsanan dan kesejahteraan warga seterusnya memperkukuh aspirasi UMPSA untuk muncul sebagai Universiti Teknologi Terunggul berteraskan nilai-nilai kemanusiaan.

Program Sangkutan Kerja UMPSA di Universitas Indonesia perkasa kompetensi staf pentadbiran

Oleh: Wan Muslimin Wan Nawang, Pusat Pengurusan Bakat, Jabatan Pendaftar
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim