Skip to main content
UMP E-Newsletter

Akademik dan Antarabangsa

Hassan Al Faiz Mohamed terima Biasiswa Mercedes-Benz

BIL. 23 MAC 2019

Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FKMP), Hassan Al Faiz Mohamed Ahmed Hafez yang sedang mengikuti pengajian program kerjasama UMP-HsKA iaitu Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif bertuah apabila dipilih menerima biasiswa daripada Mercedes-Benz Malaysia (MBM) Sdn. Bhd. sepanjang pengajian di universiti ini.

Majlis menyaksikan Hassan Al Faiz menandatangani perjanjian bersama Timbalan Presiden Mercedes-Benz (M) Sdn. Bhd, Mr. Patrick Baur dan Pengurus Sumber Manusia MBM, Norlida Sharif sambil disaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dalam majlis yang berlangsung di MBM Pekan pada 13 Mac 2019 yang lalu. 

BIL. 23 MAC 2019

Bagi Hassan Al Faiz, 21, beliau tidak  menyangka  terpilih untuk menerima biasiswa ini. Namun bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pihak MBM kerana memberi peluang   kepadanya. 

“Peluang ini pastinya akan saya gunakan sebaik mungkin dalam memanfaatkan ilmu yang dipelajari dan akan belajar dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Manakala Presiden Mercedes-Benz (M) Sdn. Bhd., Patrick Baur pula berkata, pihaknya berbesar hati menganugerahkan biasiswa ini kepada Hassan Al Faiz yang merupakan pelajar kedua selepas Usamah Shamsudin yang merupakan bekas graduan Program Ijazah Sarjana muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekatronik pada tahun 2017.

BIL. 23 MAC 2019

Dalam pada itu, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar pula merakamkan setinggi- tinggi penghargaan terima kasih kepada pihak Mercedes-Benz (M) yang mengiktiraf mahasiswa UMP dan sentiasa bekerjasama dengan UMP dalam menjalinkan hubungan baik sama ada dalam bidang penyelidikan, pembangunan akademik dan sokongan teknikal serta pembangunan modal insan melalui penawaran pembiayaan industri kepada pelajar program dwiijazah.

Mengikut rekod daripada Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN), hanya 11 orang sahaja layak  mengikuti sesi penilaian oleh pihak MBM berbanding 21 permohonan yang diterima dan pihak MBL telah memilih Hassan Al Faiz menerima manfaat biasiswa ini.

Hadir sama dalam majlis Dekan FKMP, Profesor. Dr. Rizalman Mamat dan pensyarah FKPM, Dr. Mohd Hasnun Arif Hassan.


Pelantikan Baharu

PM Dr. Mohd. Ridzuan Darun dilantik Pendaftar baharu UMP

BIL. 23 MAC 2019

Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun dilantik sebagai Pendaftar yang juga Ketua Pegawai Operasi (COO) Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang baharu berkuat kuasa mulai 15 Mac ini untuk tempoh dua tahun.  
 
Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan, 45 yang kini juga merupakan Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FIM) berpengalaman luas dalam bidang pengurusan memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang perakaunan dari Lincoln University New Zealand (2011), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Utara Malaysia (2006) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Kewangan dari Southern Illinois University USA (1999).
 
Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Program MBA di FIM selama dua tahun sebelum dilantik menjadi Dekan FIM sejak tahun 2014.
 

BIL. 23 MAC 2019

Menurutnya, pelantikan ini merupakan satu tugas besar yang perlu digalas olehnya dan bertekad untuk bersama-sama berganding bahu dalam memacu ke arah kecemerlangan universiti. 

Kehadiran beliau memulakan tugas hari ini disambut staf Jabatan Pendaftar di lobi Canseleri Tun Abdul Razak di UMP Pekan.
 
Dalam pada itu, universiti juga melantik Dzull Zabarrod Ahmad, 57, sebagai Pemangku Ketua Pustakawan UMP berkuat kuasa 2 Mac bagi menggantikan Haji Ruslan Che Pee yang bersara dalam perkhidmatan.  

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda (Fizik) dari Universiti Malaya (UM) dan Diploma Lanjutan Sains Perpustakaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Sarjana Pengurusan Informasi (UiTM) sebelum ini pernah berkhidmat di Perpustakaan UiTM.


Jalinan Kerjasama

ICoN teroka jaringan kerjasama strategik untuk manfaat industri dan komuniti

BIL. 23 MAC 2019

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Bertindak sebagai penghubung antara ahli akademik bersama pihak industri dan masyarakat, Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN), Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah melebarkan peluang jaringan kerjasama strategik melibatkan beberapa agensi di Sabah pada 18 Mac 2019 yang lalu. 
 
Melalui penerokaan dan perkongsian strategik ini, ICoN dilihat dapat mengukuhkan lagi proses libat sama bersama pihak industri serta komuniti di samping berperanan lebih terarah dan efektif sejajar dengan perubahan ke arah Industry Revolution 4.0.
 
Menurut Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Profesor Dr. Jamil Ismail, kunjungan kali ini dilihat sangat strategik terutamanya dalam perkongsian pengalaman pihak Koperasi Pembangunan Desa (KPD) bersama pihak OISCA International yang terbina sejak 40 tahun lalu.
 

BIL. 23 MAC 2019

“UMP telah terpilih menjadi ahli OISCA Malaysia dan jalinan kerjasama kini dirangka yang mana akan dapat memberi pelbagai manfaat termasuklah dalam program kemahiran pertanian, perhutanan dan penyelidikan dalam bidang berkaitan.
 
“Selain itu, perkongsian pengalaman hasil pertemuan dengan pihak Petrosains Sabah turut memberi peluang pihaknya berkongsi terhadap pelaksanaan program-program berbentuk Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di kawasan pedalaman sekitar negeri  Sabah yang begitu mencabar. 

“ICoN turut mengadakan lawatan amalan terbaik dalam pengurusan libat sama jaringan industri dan komuniti bersama pihak Centre Industry Community Network (CICN) di Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.
 
Turut diadakan program kerja berpasukan (team building) bagi memupuk semangat kerjasama yang lebih jitu serta memahami perilaku setiap staf dalam jabatan dengan pelbagai aktiviti diadakan antaranya water confident, fear factor serta kerja berkumpulan. 

Program ini mampu menerapkan budaya kerja profesional terutamanya dalam jalinan aktiviti kerjasama ke arah transformasi jabatan dan pengukuhan organisasi.


Info Kampus

Perpustakaan UMP laksana Program Waste4Fine bayar denda guna botol minuman

BIL. 23 MAC 2019

Oleh: WAN NURULHUDA WAN ZAKARIA, PERPUSTAKAAN UMP 

Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) membenarkan pembayaran denda lewat pemulangan bahan menggunakan botol minuman plastik atau tin yang mula dilaksanakan sejak 13 Mac lalu menerusi Program Waste4Fine sebagai menyokong inisiatif program UI Greenmetrics yang sedang dijalankan di universiti ini.

Menurut Pemangku Ketua Pustakawan UMP, Dzull Zabarrod Ahmad, objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula di samping membolehkan mahasiswa yang menghadapi masalah kewangan membuat pembayaran dengan menggunakan alternatif ini.

“Kadar diskaun yang tinggi ditawarkan oleh pihak perpustakaan iaitu bagi setiap botol untuk pembayaran denda iaitu bagi botol bersaiz kurang dari 1000 mililiter akan mendapat diskaun 10 sen manakala botol bersaiz melebihi 1000 mililiter dengan harga 20 sen.
 
“Dalam pada itu hari pembayaran menggunakan botol minuman ini dihadkan setiap hari Rabu sahaja dan mengikut jadual operasi perpustakaan. 

BIL. 23 MAC 2019

“Pengguna juga dibenarkan untuk membuat pembayaran penuh ataupun sebahagian denda dengan menggunakan botol plastik atau tin minuman,” katanya.
 
Sementara itu, Pustakawan UMP, Wan Nurulhuda Wan Zakaria berkata, staf yang bertugas di kaunter sirkulasi akan mengemas kini rekod denda di dalam sistem perpustakaan dan memberi resit pembayaran kepada pengguna yang telah selesai melakukan pembayaran dengan kaedah pertukaran tersebut. 

“Pihaknya juga bakal mengadakan Majlis Pelancaran Waste4Fine yang dijadual pada 17 April 2019 depan bertempat di Perpustakaan Pekan dan menggalakan warga UMP untuk turut sama menjayakan program ini. 

“UMP juga telah melaksanakan Kempen 'Let’s Break Up with Single-Use Plastic' bagi mengurangkan penggunaan plastik oleh warga kampus. 

“Ianya adalah usaha berterusan hasil inisiatif Jawatankuasa Kelestarian UMP di bawah Kluster Pengurusan Sisa dalam menyemai kesedaran menghapuskan penggunaan single-use plastics di UMP,” katanya. 

Pelbagai program telah dilaksanakan pihak Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMO) secara lestari dalam meningkatkan kesedaran terhadap usaha ini termasuklah MYTAPAU yang membolehkan mahasiswa diberikan insentif sekiranya mereka menggunakan bekas makanan sendiri untuk membungkus makanan di kafeteria universiti.
 
UMP tersenarai pada kedudukan ke-97 terbaik dunia dan ke-6 terbaik di Malaysia dalam Penarafan UI Greenmetrics World University Ranking 2018 berdasarkan usaha kelestarian kampus hijau dan pengurusan alam sekitar yang telah diumumkan baru-baru ini.