Skip to main content

“马力 Mari Kita Raya Cina”: Kreativiti Merentas Budaya

PEKAN, 17 Februari 2026 – Sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2026, bersamaan dengan Tahun Kuda (马年 ma nian), seramai lima warga Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mempersembahkan sebuah lagu istimewa berjudul “马力 Mari Kita Raya Cina”. 

Frasa “马力” diambil daripada perkataan Cina “马” (ma) yang bererti kuda dan perkataan Melayu “Mari”, melambangkan kreativiti dan ajakan untuk semua meraikan perayaan ini bersama-sama.

“马力 Mari Kita Raya Cina”: Kreativiti Merentas Budaya

 
Penghasilan karya kreatif ini melibatkan penulisan lirik, penghasilan muzik dan suntingan video yang dihasilkan sepenuhnya oleh lima warga PBM. 

Lirik asal yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Cina telah diolah dengan menambah sisipan perkataan Melayu seperti “Mari”, “Kita” dan “Duit Raya”. 

Gabungan ini memperlihatkan keindahan silang budaya dan mencerminkan identiti Malaysia yang berbilang bahasa, berbilang budaya, namun satu jiwa. 

Keberanian mencuba, saling mempercayai dan menghargai budaya antara satu sama lain menjadi nilai teras projek ini. 
Lirik ditulis oleh Leong Hui Theng, muzik digubah oleh Shamsul Harbi dan Mohd Shafiq Abdul Jabar, manakala video muzik menampilkan rakan sekerja Amy Zulaikha Mohd Ali dan Jamilah Bebe Mohamad. 

Bagi Shamsul Harbi, mencipta lagu dalam bahasa yang bukan bahasa ibundanya sangat bermakna.

“Walaupun saya tidak fasih dalam bahasa Cina, apabila memahami maksud bait lirik, saya dapat merasakan emosi yang ingin disampaikan. 

“Dari situ, rentak dan melodi terbentuk dengan jujur dan ikhlas. 

“马力 Mari Kita Raya Cina”: Kreativiti Merentas Budaya

“Saya berterima kasih atas sokongan rakan-rakan,” ujarnya.
 
Lagu ini mengetengahkan kegembiraan dan semangat Tahun Baharu Cina dengan pendekatan moden. 

Liriknya menggabungkan bahasa Cina dan Melayu secara harmoni, memaparkan elemen generasi kini seperti media sosial, di samping mengekalkan tradisi kunjung-mengunjung, pemberian angpau dan makan bersama keluarga. 

Setiap bait lagu sarat dengan ucapan kesejahteraan, doa dan harapan untuk tahun yang lebih baik.

Video muzik ini menampilkan pelakon yang memakai pakaian berwarna ceria, sambil memegang angpau, limau mandarin, dan hiasan tradisional lain yang menonjolkan sambutan perayaan. 

Babak mereka menggaul yee sang bukan sahaja menjadi simbol doa kesejahteraan, tetapi juga memancarkan kegembiraan dan semangat bersama. 

Walaupun pelakon bukan berbangsa Cina, mereka menghayati suasana perayaan dengan penuh keseronokan dan keterujaan, sambil tersenyum dan berinteraksi antara satu sama lain. 

Ia membuktikan bahawa kegembiraan dan keharmonian budaya boleh dirasai tanpa mengira latar belakang. 
Untuk memahami sesuatu budaya, kita hanya perlu membuka hati.

Apabila kita mencuba sendiri, kita akan merasai kehangatan, kemeriahan, dan keceriaan suasananya.

“马力 Mari Kita Raya Cina”: Kreativiti Merentas Budaya

 
Lagu “马力 Mari Kita Raya Cina” bukan sekadar hiburan semata-mata.

Irama yang ceria dan lirik yang mudah diikuti membolehkan pendengar dari pelbagai latar menyelami suasana perayaan. 

Walaupun seorang pendengar tidak memahami bahasa Cina sepenuhnya, rentak yang menyeronokkan dan pengulangan frasa seperti “马力 Mari” cukup untuk membuat mereka tersenyum, mengangguk, dan menyanyi bersama.

“马力 Mari Kita Raya Cina”: Kreativiti Merentas Budaya

 
Bayangkan seorang kanak-kanak bukan berbangsa Cina menonton video ini buat pertama kali. 
Dia tersenyum melihat adegan yee sang, ketawa melihat gaya pelakon dan tanpa sedar menyebut “马力 Mari” bersama irama. 

Mungkin selepas itu, dia lebih berani mengucapkan “Gong Xi Fa Cai” atau ingin tahu makna di sebalik limau mandarin dan angpau. Dari sebuah lagu ringkas, lahirlah langkah kecil ke arah saling memahami.

Itulah harapan di sebalik “马力 Mari Kita Raya Cina”. 

Setiap nada membawa kita lebih dekat, setiap lirik membuka ruang hati, setiap perayaan diraikan bersama.

“马力 Mari Kita Raya Cina”: Kreativiti Merentas Budaya

 
Lagu ini boleh didengarkan melalui beberapa platform digital. 

Klik pautan untuk menyaksikan video muzik dan nikmati sendiri keseronokan dan semangat perpaduan yang dibawa setiap nada lagu ini.

Pautan Youtube: https://www.youtube.com/watch?v=Mc3L47if_Qc
Pautan Facebook: https://web.facebook.com/reel/919801350448719

Disediakan Oleh: Leong Hui Theng, Mohd Shafiq Abdul Jabar dan Amy Zulaikha Mohd Ali, Pusat Bahasa Moden (PBM)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri