Skip to main content

Meriahnya Raya UMPSA, lebih 1,500 warga kampus raikan Aidilfitri

PEKAN, 14 April 2025 – Suasana penuh meriah dan kemesraan jelas terpancar di wajah lebih 1,500 warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang membanjiri Dewan Serbaguna UMPSA Pekan sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Universiti hari ini. 

Majlis yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh silaturahim itu turut diserikan dengan kehadiran Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor,  Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha bersama barisan pengurusan tertinggi universiti serta seluruh warga kampus yang terdiri daripada staf akademik, pentadbiran dan juga pelajar.

Tan Sri Dato Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Profesor Dr. Yatimah Alias turut meluangkan masa melawat reruai juadah raya dan menyantuni warga UMPSA. 

Pelbagai juadah tradisional seperti lemang, rendang, ketupat, sate dan kuih-muih disajikan oleh fakulti serta pusat tanggungjawab (PTj) yang mengambil bahagian di dalam majlis ini. 

Para hadirin bukan sahaja dihidangkan dengan makanan yang enak, malah turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan oleh Pusat Kebudayaan UMPSA, penyampaian sumbangan dan hadiah bagi pertandingan hiasan gerai tercantik dan video kreatif yang dijalankan sempena sambutan ini.

Meriahnya Raya UMPSA, lebih 1,500 warga kampus raikan Aidilfitri

Bagi pertandingan video kreatif ‘Syoknya Raya UMPSA’ anjuran Pusat Komunikasi Korporat (PKK), sebanyak 17 penyertaan diterima daripafa seluruh warga kampus. 

Pemenang tempat pertama dimenangi oleh Muhammad Hakim Abu yang membawa pulang wang tunai RM500.00 menerusi video ‘Raya Segulung Ijazah di Perantauan’.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Pusat Sumber Pengajaran dan e-Pembelajaran (PSPe) UMPSA dengan video bertajuk ‘Master Raya’ dan membawa pulang wang tunai RM300.00. 

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Akmal Nurhakim dengan videonya bertajuk ‘Syok Ke Raya’ dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM200.00.

Sebanyak 20 reruai turut bertanding dalam pertandingan hiasan gerai tercantik. 

Jabatan Canseleri berjaya menambat hati juri apabila meraih tempat pertama dengan memenangi hadiah wang tunai bernilai RM500.00.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Jabatan Penyelidikan dan Inovasi dengan membawa pulang wnag tunai RM300.00.

Meriahnya Raya UMPSA, lebih 1,500 warga kampus raikan Aidilfitri

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dengan membawa pulang wang tunai RM200.00.

Meriahnya Raya UMPSA, lebih 1,500 warga kampus raikan Aidilfitri

Majlis itu bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga universiti, malah mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan yang tinggi dalam kalangan komuniti UMPSA.

UMPSA sentiasa komited dalam menganjurkan program berimpak tinggi yang dapat memperkukuhkan hubungan antara pentadbiran, staf dan pelajar, sekaligus memupuk nilai murni serta budaya kerja harmoni dalam kalangan warganya.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Naqiah Puaad