Teruja berada di Kampus UMP
Pekan, 3 Disember – Bagi menimba pengalaman bergelar ‘mahasiswa’ seramai 36 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama lima orang guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chiku 2 di Gua Musang memanfaatkan cuti sekolah dengan merasai sendiri pengalaman kampus semasa berkunjung ke kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru – baru ini. Program selama dua hari dan bermalam dalam kampus memberikan suntikan semangat untuk mereka mencipta kejayaan dan melangkah ke menara gading.
Menurut pengetua sekolah, Zainuddin Yusof, tujuan lawatan ini adalah memberi pendedahan kepada para pelajar sebagai persediaan awal memilih institusi pendidikan tinggi (IPT) yang bersesuaian dengan keputusan yang bakal di peroleh kelak.
“Saya mahu semua pelajar lepasan SPM ini dapat membuat pilihan terbaik dan pemilihan mestilah bertepatan dengan syarat kelayakan serta minat dalam sesuatu bidang yang akan diceburi. Lebih bermakna pelajar berpeluang untuk melihat sendiri kemudahan yang terdapat di UMP, antaranya mesin dan teknologi yang terdapat di makmal fakulti bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.,” katanya.
Menurutnya, UMP amat dekat dengan pelajar di sekolah ini apabila beberapa program motivasi telah dijalankan bersama dengan mahasiswa UMP terutama melibatkan Kelab InSmartive UMP.
Bagi Rabiatul Asyikin Mohd Zaki, 17, yang mengikuti program berkata para pelajar berpeluang menambahkan ilmu pengetahuan supaya dapat merancang masa depan mereka dengan lebih berani dan membuat keputusan yan bijak memilih program yang sesuai dengan kelayakan mereka. “Saya rasa seronok sebab bukan senang masuk kampus dan tinggal dalam Kolej Kediaman. Pengalaman selama dua hari di UMP sangat bermakna buat kami dan semoga jalinan kerjasama yang terjalin antara pihak sekolah dan UMP dapat diteruskan,” katanya.
Tambah beliau, perpustakaan universiti sangat menarik bukan sahaja menjadi tempat pinjaman buku dan mencari bahan rujukan malahan para pelajar boleh menjadikan perpustakaan UMP sebagai salah satu tempat untuk pengurusan dan pembangunan kendiri pelajar setelah seharian penat belajar. Mereka berpeluang melawat kemudahan seperti bilik Karaoke, permainan secara maya (VR) melalui playstation 4, XBOX, menonton tayangan dan pelbagai permainan yang berteknologi tinggi dengan perisian terkini.
Para pelajar juga mengikuti program motivasi yang mendapat kerjasama daripada mahasiswa UMP daripada Kelab InSmartive. Dua modul baharu diperkenalkan dalam slot motivasi iaitu modul Growth Mindset Challenge dan modul Whell of Fortune. Kandungan modul direka bentuk berdasarkan enam aspirasi pelajar menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu Kemahiran Kepimpinan, Kemahiran Berfikir, Etika dan Kerohanian, Identiti Nasional, Pengetahuan dan Profisiensi Dwibahasa.
Keterujaan para pelajar yang mengikuti lawatan singkat ke UMP ini menjadi pemangkin semangat mereka untuk mendapatkan tempat bagi melanjutkan pengajian di IPT.
Disediakan Mohamad Hakimi Kamaruddin daripada Bahagian Komunikasi Korporat
- 148 views