UMPSA lancar Faculty@School Fasa 1 Fakulti Komputeran
PEKAN, 21 Ogos 2024 – Fakulti Komputeran (FK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini melancarkan Program Faculty@School Fasa 1 dengan fokus utama memberi kesedaran tentang keperluan kemahiran inovasi dalam kalangan pelajar dan mengambil peluang menceburi bidang Teknologi Digital terutamanya teknologi kecerdasan buatan (AI).
Program ini juga bertujuan untuk menanamkan semangat berinovasi dan membina jaringan kerjasama yang erat antara FK dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdul Razak Pekan.
Menurut Dekan FK, Profesor Madya Ts. Dr Adzhar Kamaludin, program Faculty@School ini merupakan salah satu bentuk komitmen kami dalam pengembangan pendidikan teknologi di negara ini.
“Kami berharap program ini dapat melahirkan generasi muda yang inovatif dan mampu bersaing di era digital,” ujarnya.
Lanjutan dari program ini juga, FK akan mengadakan Fasa 2 yang berupa lawatan sambil belajar ke Makmal Teknologi Komputeran di UMPSA.
Pelajar dan guru akan berpeluang berinteraksi dengan pakar teknologi di FK secara terus dan mendapat pengalaman penggunaan teknologi-teknologi digital yang ada di FK.
Pengalaman ini diharapkan dapat mencetus lagi minat dan memberi inspirasi untuk mereka membina wawasan dan meneroka potensi diri dalam bidang teknologi digital.
Fasa 3 dari program ini merupakan program bimbingan yang melibatkan para ahli teknologi komputeran FK dengan pelajar MRSM Tun Abdul Razak Pekan.
Melalui program ini, para pelajar akan mendapatkan bimbingan langsung dari para pakar sehingga dapat mengembangkan kemampuan dan kreativiti mereka dalam bidang teknologi digital.
FK mempunyai pensyarah dan pakar bidang yang berpengalaman dalam bidang Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR), keselamatan siber (Cyber Security) serta rangkaian dan sistem komputer.
Disediakan Oleh: Dr. Aziman Abdullah, Fakulti Komputeran
- 178 views