Skip to main content

UMPSA raikan 115 warga setia dalam Majlis Sanjungan Budi 2025

PEKAN, 14 April 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraikan jasa dan dedikasi seramai 115 staf yang telah mencurahkan bakti selama dua dekad kepada universiti dalam Majlis Sanjungan Budi 2025, yang berlangsung bersempena dengan Majlis Amanat Naib Canselor di Dewan Serbaguna, UMPSA Pekan.

Majlis yang menjadi acara tahunan itu diadakan bertujuan untuk memberi penghargaan kepada staf yang telah berkhidmat selama 20 tahun di universiti ini.

Ia adalah seiring dengan komitmen UMPSA dalam membudayakan nilai murni, menghormati sumbangan warga kerja serta memperkukuh semangat kekitaan dalam kalangan komuniti kampus.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias yang turut menyampaikan amanat tahunan kepada seluruh warga universiti. 

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan atas sumbangan besar para penerima anugerah yang telah menjadi antara tunjang kekuatan UMPSA sejak awal penubuhannya.

“UMPSA tidak akan berada pada tahapnya sekarang tanpa dedikasi, kesungguhan dan semangat setia para staf yang telah bersama kita sejak dua dekad lalu. 

“Anda semua adalah tulang belakang universiti ini. 

“Majlis Sanjungan Budi bukan sekadar acara simbolik, tetapi merupakan lambang penghargaan yang tulus atas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai,” ujarnya.

Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha bersama barisan pengurusan tertinggi universiti yang menyaksikan penyampaian sijil penghargaan serta cenderahati khas kepada staf-staf yang diraikan. 

Suasana majlis yang meriah tetapi penuh ketulusan jelas menggambarkan penghormatan yang tinggi diberikan kepada mereka yang telah setia berkhidmat sejak awal penubuhan universiti ini.

Majlis ini turut memberi ruang untuk warga universiti mengenang kembali sejarah penubuhan UMPSA dan perjalanan panjang yang telah dilalui bersama. 
Ia sekali gus menjadi wadah memperkukuh jati diri dan semangat kebersamaan dalam kalangan staf, selain mendorong generasi muda staf untuk mencontohi semangat kesetiaan dan komitmen yang ditunjukkan.

Penganjuran majlis itu juga sejajar dengan objektif untuk membudayakan amalan penghargaan dan pengiktirafan terhadap warga kerja, selaras dengan nilai teras universiti yang menekankan integriti, profesionalisme dan keterlibatan komuniti. 

Majlis Sanjungan Budi 2025 bukan sahaja menjadi simbol penghargaan institusi terhadap sumbangan staf berpengalaman, malah turut menjadi inspirasi kepada seluruh warga UMPSA untuk terus menabur bakti dengan penuh iltizam demi kecemerlangan universiti dalam mendepani cabaran pendidikan tinggi masa kini. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat dan Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor
 

Reports by:
Naqiah Puaad