Skip to main content

UMPSA Santuni Warga Kampus dalam Majlis Berbuka Puasa

PEKAN, 11 Mac 2026 - Kehangatan Ramadan terus dirasai dalam kalangan warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) apabila universiti hari ini menganjurkan Majlis Berbuka Puasa yang menghimpunkan barisan pengurusan universiti, staf dan pelajar di Masjid Al-Jazari, UMPSA Pekan.

Majlis ini menjadi platform yang menyatukan warga universiti dalam suasana penuh keberkatan di samping mengukuhkan hubungan silaturahim antara pengurusan tertinggi universiti dengan komuniti kampus.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata program ini mencerminkan komitmen universiti dalam memupuk nilai kebersamaan serta memperkukuh semangat kekeluargaan dalam kalangan warga UMPSA.

“Bulan Ramadan merupakan ruang terbaik untuk warga universiti mempererat hubungan selain meningkatkan penghayatan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

“Majlis berbuka puasa ini bukan sahaja menjadi medan untuk kita berkumpul dan mengimarahkan Ramadan, malah turut memperkukuh hubungan silaturahim antara warga universiti dalam suasana yang harmoni dan penuh keberkatan,” katanya.

Dalam masa yang sama, majlis itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada pelajar yang memerlukan termasuk golongan asnaf dan kumpulan B40 sebagai usaha universiti dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian.

UMPSA Santuni Warga Kampus dalam Majlis Berbuka Puasa

Selain itu, kit Syawal tajaan Yayasan UMPSA turut disampaikan kepada petugas barisan hadapan universiti sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan dedikasi mereka dalam menjalankan tugas serta memastikan kelancaran operasi universiti.

Turut berlangsung tazkirah Ramadan yang menekankan kepentingan meningkatkan keimanan sepanjang bulan yang mulia ini terutamanya menjelang 10 hari terakhir menyambut Syawal. 

Pada masa yang sama turut diadakan rakaman takbir raya melibatkan barisan pengurusan universiti dan warga kampus. 

Hadir sama Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, YH. Dato’ Hamdan Hussin dan Profesor Ir. Dr. Mohd Faizal Jamlos. 

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Bendahari, Dato Zainudin Othman, Ketua Pustakawan, Cik Kamariah Gono dan Penolong Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri