100 sukarelawan UMPSA, TMB, SWCorp dan Alam Flora bersihkan Pantai Cherok Paloh sambil plogging
KUANTAN, 23 Ogos 2024 - Seramai 100 orang peserta merangkumi staf dan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Tanah Makmur Berhad (TMB), SWCorp Cawangan Pahang dan Alam Flora menyertai Program Plogging UMPSA x TMB yang telah diadakan di Pantai Cherok Paloh, Kuantan baru-baru ini.
Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain, kebersihan pantai merupakan tanggungjawab kita bersama.
“Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita mestilah mendidik generasi baharu untuk menjaga kebersihan pantai agar persekitaran yang kondusif dapat dibangunkan di sekitar kawasan tumpuan masyarakat setempat.
“Aktiviti ini diadakan bertujuan untuk memupuk semangat gaya hidup sihat di antara warga UMPSA, TMB dan SWCorp selain menerapkan sifat cintakan alam sekitar serta bertanggungjawab terhadap alam semula jadi juga dapat diterapkan melalui aktiviti ini.
“Melalui program ini juga, Sustainable Development Goals (SDG) 13 (Climate Action), 14(Life Below Water), 15 (Life on Land) dan 17 (Partnerships For The Goals) dapat dilaksanakan,” katanya.
Program ini turut dihadiri oleh Ketua Kotasas Sdn. Bhd. Tanah Makmur Berhad, Mohd Farizan Md Dalimi, Pengurus Besar, Sumber Manusia Tanah Makmur Berhad, Muhamad Adlan Ma’arup, Pengurus Kanan, Tadbir Urus dan Kelestarian, Isrizal Israni dan Timbalan Pengarah SWCorp Cawangan Pahang, Hadijah Md Noh.
Disediakan Oleh: Siti Nur Yasmin Madzlan, Pusat Pembangunan Kelestarian
- 90 views