Mahasiswa UMP Bantu Mangsa Gempa Lombok
Lombok (Indonesia) - Prihatin dengan bencana tanah runtuh, kerosakan rumah kediaman serta kehilangan jiwa akibat gempa yang melanda Lombok pada 29 Julai 2018 lalu diikuti susulan pada 6 dan 19 Ogos 2018 memberikan inspirasi buat 10 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjayakan program Misi Kemanusiaan “Jom Bantu Mangsa Gempa Lombok” di Desa Selengen, Kecamatan Kayangan yang terletak di daerah Lombok Utara, Indonesia iaitu antara kawasan yang terjejas teruk akibat gempa bumi.
Program dianjurkan oleh Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman (PEKA) 2 dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Pejabat Naib Canselor, Institut Keguruan dan Ilmu Pendidikan (IKIP) Mataram dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Aksi Cepat Tanggap (ACT) Indonesia.
Menurut pengarah program, Muhammad Sa’id Rifqi Muhammad Musal dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), program ini dapat memperkasakan nilai-nilai kesukarelawan dalam diri mahasiswa selain menjadi platform terbaik untuk mengambil ikhtibar serta teladan yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
“Pelbagai aktiviti kesukarelawanan telah dijalankan antaranya membaiki sistem pengaliran air ke tangki simpanan masjid sementara, membersihkan bahan binaan yang runtuh akibat gempa, menambahbaik infrastruktur masjid sementara,” katanya.
Mereka juga membantu membaikpulih beberapa rumah kediaman dan menyediakan saluran sumber air dari bukit ke masjid, tandas dan bilik mandi untuk kegunaan masyarakat setempat.
Selain itu, para peserta juga turut menyantuni masyarakat setempat dengan beberapa aktiviti yang dilaksanakan serta mengagihkan aiskrim percuma dan program motivasi bersama kanak-kanak.
Manakala sukarelawan UMP, Muhammad Aimran Amzar Kamarudin dari Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA) melahirkan perasaan bersyukur kerana berpeluang menyertai misi ini untuk melihat sendiri dengan lebih dekat kejadian bencana di samping menginsafi musibah yang berlaku atas kekuasaan Allah swt. Para peserta turut mengadakan program dan berkongsi pengalaman bersama mahasiswa dari Institut Keguruan dan Ilmu Pendidikan (IKIP) Mataram Lombok, Indonesia.
Laporan disediakan oleh Muhammad Asyraf Hasan yang merupakan Setiausaha Program Misi Kemanusiaan “Jom Bantu Mangsa Gempa Lombok” dan Mohd. Ferdaus Musa dari Bahagian Komunikasi Korporat.