Aghilan anak pasangan guru raih Anugerah Canselor UMPSA
GAMBANG, 8 November 2025 - “Nobody believes in you. You lost again and again and again. It’s not over until I win.”
Petikan kata motivasi ini bukan sekadar ungkapan, tetapi menjadi pembakar semangat buat anak muda yang tidak pernah mengenal erti putus asa.
Itulah prinsip Aghilan a/l Ganesan yang berjaya meraih Anugerah Canselor UMPSA pada Majlis Konvokesyen Ke-20 tahun ini.
Menurut anak kepada pasangan guru, Ganesan a/l Arumugam dan Kalpanah Devy a/p Kuppusamy ini, beliau sama sekali tidak menyangka akan memperoleh Anugerah Canselor yang dianggap hadiah yang amat bermakna buat dirinya.
Katanya, segala usaha dan pengorbanan sepanjang tempoh pengajian akhirnya terasa berbaloi dengan pencapaian ini.
“Saya bersyukur dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang menekankan pendidikan dan disiplin.
“Sejak kecil lagi saya sentiasa tekun dalam pelajaran sehingga berjaya di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kemudian menyambung pengajian Diploma Kejuruteraan Kimia UMPSA, dengan keputusan PNGK 3.96 serta meraih Hadiah Kecemerlangan Akademik pada Konvokesyen Ke-17.
“Seterusnya, saya menyambung pengajian dalam bidang yang sama di peringkat ijazah sarjana muda juga di UMPSA,” katanya.
Sepanjang pengajian beliau menerima sebanyak enam kali berturut-turut Anugerah Dekan dengan PNGK 3.89.
Anak kelahiran negeri Kedah ini berkata, untuk berjaya kita perlu kerja keras, disiplin dan kesungguhan tanpa henti.
“Pengalaman manis saya apabila meraih pingat emas dan Overall Best Award (Student) di CITREX 2024 menerusi inovasi bertajuk ‘Zero Waste: Transforming Municipal Waste into Gasoline’.
“Projek ini mencipta solusi lestari dengan menukar sisa plastik kepada bahan api alternatif menggunakan pemangkin hijau daripada sisa kelapa sawit.
“Kejayaan ini dibantu dengan bimbingan penyelia saya iaitu Dr. Ruzinah Isha yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan penyelidikan tersebut,” katanya.
Tidak lupa juga pengalaman antarabangsa apabila menerima Baden-Württemberg Scholarship Award untuk mengikuti program pertukaran pelajar di Hochschule Mannheim, Jerman pada tahun 2023.
Walaupun berdepan cabaran perbezaan masa hingga perlu menduduki peperiksaan pada jam 3 pagi, beliau bersyukur dapat mengekalkan kecemerlangan akademik, di samping berpeluang meneroka pelbagai budaya di 16 buah negara Eropah.
Aghilan yang kini sedang berkhidmat di ExxonMobil sebagai Manufacturing Digital Solution Engineer (MDSE) mengakui pengalaman dan pendekatan Work-Based Learning (WBL) di UMPSA menjadikan beliau lebih bersedia untuk realiti industri.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian
- 104 views