Skip to main content

Ik Shim, penerima Anugerah Diraja ketabahan seorang anak menjadi obor kejayaan

GAMBANG, 8 NOVEMBER 2025 – Di sebalik kejayaan bergelar Jurutera Sistem (Keselamatan Siber) di Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA), tersimpan kisah penuh ketabahan seorang anak yang menjadikan kasih dan pengorbanan ibu sebagai sumber kekuatan utama.

Bagi Ik Shim A/P Eh Fhot, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Siber) dengan Kepujian dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), kejayaan yang digenggam hari ini tidak datang mudah. 

“Ia ditempa dengan air mata, kesabaran dan semangat luar biasa, terutama ketika melalui detik paling sukar dalam hidupnya, pemergian ibu tercinta, mendiang Sam Tjin Ik pada Februari 2024.

“Semuanya berlaku sewaktu minggu peperiksaan akhir semester apabila ibu jatuh sakit dan perlu dimasukkan ke hospital. 

“Setiap malam saya menemaninya, namun apabila tiba hari peperiksaan, saya terpaksa pulang ke universiti,” ujarnya. 

Katanya, walaupun dalam keadaan lemah, ibu tetap menyuruh saya supaya fokus kepada pelajaran. 

“Tdak lama selepas tamat peperiksaan, Ik Shim pulang ke rumah dan menerima berita yang paling ditakuti iaitu mendiang ibunya menghidap kanser tahap akhir. 

“Dalam tempoh singkat itu, ibu sempat meluahkan rasa bangga dan berharap dapat menyaksikan kejayaan anak-anak di majlis konvokesyen. 

“Namun takdir menentukan segalanya apabila ibu menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 2024,” ujarnya lagi. 

Peristiwa itu menjadi titik perubahan besar dalam hidup Ik Shim.

Jelasnya lagi, ia amat menyakitkan, tetapi beliau tahu ibu mahu dirinya terus kuat dan berjaya. 

“Setiap kali saya rasa lemah, saya teringat senyuman dan kata-kata semangat ibu. 

“Dialah sebab saya masih berdiri hari ini,” katanya.

Namun di sebalik kisah pilu itu, terserlah kehebatan dan keunggulan seorang pelajar yang luar biasa kerana sepanjang pengajian di UMPSA, Ik Shim berjaya mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.88 semasa pengajian diploma dan 3.98 semasa ijazah sarjana muda. 

Beliau turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Fakulti Komputeran (FK) sebanyak tiga kali iaitu bukti ketekunan dan komitmen yang tidak pernah luntur walaupun diuji dengan dugaan berat.

Sebagai pelajar batch pertama program Work-Based Learning (WBL) Keselamatan Siber, Ik Shim membuktikan keupayaan luar biasa dalam menggabungkan teori dan amalan industri. 

Ketika menjalani latihan di PERODUA, beliau memimpin pelaksanaan latihan kesedaran keselamatan siber dalaman kepada lebih 130 staf selain membangunkan Polisi Peranti Pintar (OT & IoT) dan Polisi AI bagi memperkukuh tadbir urus keselamatan IT organisasi tersebut.

Kecemerlangannya di peringkat universiti turut terserlah apabila beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Teknologi (CTO) syarikat pemula pelajar Cybersphere Solution. 

Di bawah kepimpinannya, pasukan itu berjaya menempatkan UMPSA dalam senarai 16 syarikat universiti terbaik Malaysia di bawah program LaunchX University Startup Accelerator 2024. 

Dalam arena inovasi dan penyelidikan, beliau turut meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa menerusi pelbagai pertandingan, termasuk pingat emas dan Anugerah Impak Sosial pada CITREX 2024 bagi aplikasi pengurusan diabetes berasaskan Gemini AI, serta kejayaan dalam pertandingan aplikasi mudah alih Huawei AppGallery dan pertandingan inovasi antarabangsa lain.

Selain aktif dalam bidang akademik dan inovasi, Ik Shim juga menonjol dalam kepimpinan pelajar apabila dilantik sebagai Bendahari Kehormat Kelab PETAKOM bagi Sesi 2022/2023 serta menjadi Timbalan Pengarah Minggu Cakna Keselamatan Siber 2023, iaitu beliau turut berperanan sebagai pengacara majlis rasmi fakulti. 

Dalam bidang sukan pula, beliau membantu pasukan FK menjuarai acara Dodgeball SUKOM 2024 dengan membawa pulang pingat emas.

Pengalaman antarabangsa turut memperkayakan perjalanan akademiknya apabila beliau terpilih menyertai Chinese Bridge Summer Camp 2023 di Universiti Hebei, China serta Program Mobiliti ke Indonesia 2024 di Universitas Multimedia Nusantara (UMN), iaitu beliau turut dijemput menyampaikan ceramah mengenai Ethical Hacking kepada pelajar dan pensyarah di sana.

Ik Shim, penerima Anugerah Diraja ketabahan seorang anak menjadi obor kejayaan

Apabila ditanya tentang rahsia kejayaannya, Ik Shim mengakui semuanya berpunca daripada didikan keluarga, terutama arwah ibunya.

Beliau membesar dalam keluarga sederhana; ayahnya bekerja sebagai pemasang aluminium manakala ibunya menjaja kuih di pasar pagi. 

Dari mereka, beliau belajar erti kerja keras, disiplin dan kesyukuran. 

Baginya, setiap kejayaan yang diraih bukan sekadar tanda usaha sendiri tetapi juga hasil doa dan pengorbanan orang tuanya.

Kini, sebagai Jurutera Sistem di PERODUA, Ik Shim terus mengorak langkah dalam dunia keselamatan siber iaitu bidang yang bukan sahaja mencerminkan minatnya, tetapi juga komitmennya untuk berbakti kepada masyarakat melalui teknologi.

Ketika ditanya tentang prinsip hidup yang dipegang, beliau tersenyum lalu memetik kata-kata Buddha yang menjadi panduan dirinya, Mind is everything. What you think, you become.

“Bagi saya, kekuatan sebenar datang daripada fikiran yang tenang dan hati yang ikhlas. 

“Bila kita mampu mengawal minda, kita mampu mengawal arah hidup,” ujarnya.

Kisah Ik Shim bukan sekadar tentang kejayaan akademik dan profesional, tetapi tentang cinta seorang anak yang menjadikan pengorbanan ibunya sebagai cahaya untuk terus melangkah jauh. 

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim