Pahang International East Coast Entrepreneur Summit (PIECES) 2026 tumpu keusahawanan, inovasi dan halal
KUANTAN, 18 April 2026 - Penganjuran Pahang International East Coast Entrepreneur Summit (PIECES) sempena Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo 2026 berjaya menghimpunkan ratusan usahawan daripada pelbagai sektor.
Penganjuran ekspo oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama strategik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi Fakulti Pengurusan Industri (FPI) dan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI) serta Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang ini memberi platform kepada usahawan tempatan memperluas jaringan perniagaan serta mengenal pasti peluang baharu.

Menurut Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sebanyak lima bengkel keusahawanan diadakan dengan penyertaan kira-kira 500 peserta selain kehadiran sekitar 300 pengunjung yang terdiri daripada wakil daerah, persatuan dan institusi pengajian tinggi.
“Maklum balas yang diterima juga positif apabila ramai usahawan menyatakan perniagaan mereka berpotensi untuk terus berkembang,” katanya ketika merasmikan penutupan Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo 2026.
Beliau turut berkongsi aspirasi serta hala tuju Kerajaan Negeri Pahang melalui ucaptama bertajuk ‘Empowering Pahang as the East Coast Regional Hub for Halal Entrepreneurship and Innovation’, atau Memperkasa Pahang sebagai Hab Halal Serantau bagi Keusahawanan dan Inovasi di Pantai Timur.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Nazri Abu Bakar, Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato' Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Aida Mustapha yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.

Ujar YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk menerima cadangan dan idea daripada para usahawan serta inovator.
“Oleh itu, pemain industri perlu memberi perhatian serius kepada aspek kawalan kualiti serta rantaian bekalan bagi memastikan produk yang dihasilkan benar-benar memenuhi piawaian yang ditetapkan.
“Kerjasama dengan pihak berkuasa agama serta institusi akademik seperti UMPSA, khususnya dalam mendapatkan panduan hukum, membangunkan model perniagaan yang mampan serta menjalankan pengesahan saintifik terhadap produk dan inovasi yang dihasilkan,” katanya.
Dalam pada itu, pasaran halal global kini berkembang dengan sangat pesat membuka peluang besar kepada semua pihak, iaitu usahawan, pemain industri, akademia dan masyarakat, untuk meneroka sektor ini secara lebih menyeluruh.
Antara aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah faktor permintaan dan bekalan, trend semasa, perbankan Islam, sukuk, dana pelaburan Islam, takaful, teknologi kewangan Islam termasuk kecerdasan buatan, serta pasaran makanan halal, pelancongan halal dan gaya hidup Islam.
Beliau mengharapkan agar kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan kepentingan pemain industri halal sentiasa terpelihara dan aspirasi menjadikan Pahang sebagai hab halal serantau dapat direalisasikan dengan jayanya.
Turut berlangsung Malam Majlis Anugerah Usahawan sempena Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo 2026 dan pameran oleh agensi dan usahawan yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur.
Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 18 views