Agar Ramadan Lebih Bermakna
Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan setiap umat Islam di seluruh pelosok dunia, tanpa mengira bangsa mahupun warna kulit. Ia merupakan penghulu segala bulan, malah turut terkenal sebagai ‘madrasah’ atau institusi pendidikan yang berupaya melahirkan modal insan yang bertakwa. Ia merupakan tempoh yang paling sesuai untuk memperbaiki dan menguatkan kembali hubungan dan pergantungan seorang hamba kepada Tuhannya sesuai dengan nilai teras utama UMPSA, hubungan yang kuat dengan Yang Maha Pencipta. Ini kerana, bulan ini dilengkapi modul komprehensif yang melatih kekuatan rohani, mental dan fizikal.
Uniknya Ramadan antaranya adalah disebabkan amalan berpuasa itu sendiri. Umat Islam telah diwajibkan menjalanani ibadah berpuasa sepanjang bulan ini, di mana ibadah berpuasa itu dikhususkan untuk Allah, manakala amalan-amalan lain manfaatnya adalah untuk dirinya sendiri seperti mana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman (hadith qudsi): Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu milik-Ku (Allah) dan Akulah yang akan membalasnya.”
(Sahih al-Bukhari, no: 5927)
Istimewanya Ramadan juga kerana pahala amalan yang dikerjakan pada bulan ini akan digandakan berbanding dengan sebelas bulan yang lain. Sebagaimana sabda Rasullullah SAW seperti berikut:
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amalan anak Adam digandakan pahalanya daripada 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Melainkan puasa, sesungguhnya ia milik-Ku (Allah) dan Akulah yang akan membalasnya. Dia (orang yang berpuasa) meninggalkan syahwatnya dan makanannya kerana-Ku.”
(Riwayat Muslim, no: 1151)
Menerusi dua hadis di atas, dapatlah kita fahami bahawa pahala amalan puasa adalah sangat istimewa kerana Allah SWT sendiri akan memberikan ganjaran mengikut kehendak-Nya tanpa had yang tertentu. Ini adalah kerana orang yang berpuasa sanggup meninggalkan perkara-perkara yang telah dihalalkan untuknya di siang hari iaitu makan, minum dan menahan hawa nafsu semata-mata kerana Allah SWT tanpa diketahui oleh orang lain demi melaksanakan kewajipan berpuasa. Justeru, ganjaran khusus bagi amalan berpuasa ini menunjukkan betapa besar dan banyaknya pahala yang akan dikurniakan oleh Allah SWT serta terdapatnya kemuliaan pada amalan puasa tersebut.
Ibadah-ibadah lain juga tidak kurang hebat pahala dan ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT apabila ia dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana Allah SWT di sepanjang bulan Ramadan. Pahala setiap amal kebaikan yang dilakukan setiap masa tidak kira siang ataupun malam akan digandakan berlipat kali ganda di bulan yang mulia ini. Ini merupakan motivasi utama untuk bersungguh-sungguh dalam mengejar limpahan rahmat dan keampunan-Nya.
Justeru, bagi mengoptimumkan kehadiran bulan yang agung ini, dikongsikan sepuluh panduan amalan yang boleh dipraktikkan agar Ramadan yang dilalui lebih produktif dan menatijahkan ketakwaan kepada kita semua:
1) Membuat muhasabah dan introspeksi Ramadan yang telah dilalui pada tahun-tahun sebelumnya, seterusnya berazam dan meletakkan perancangan agar Ramadan yang dijalani pada tahun ini lebih baik dan bermakna;
2) Memanfaatkan waktu-waktu doa menjadi mustajab seperti waktu bersahur, waktu sebelum berbuka puasa, waktu sepertiga malam dan sebagainya;
3) Menghidupkan malam dengan amalan yang disyariatkan seperti menunaikan solat tarawih secara berjemaah di masjid ataupun di rumah bagi golongan wanita dan qiamullail.
4) Bertadarus al-Quran dan menghayati isi kandungannya sama ada secara bersendirian mahupun berjemaah dengan menyertai kumpulan tadarus ataupun kelas-kelas al-Quran;
5) Memperbanyakkan sedekah dan menunaikan zakat fitrah;
6) Memberi makanan kepada orang yang yang berpuasa seperti berkongsi juadah bersama jiran tetangga, kawan sekerja, rakan taulan dan lain-lain bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, bahkan dapat menggandakan pahala orang yang memberi;
7) Menjaga pancaindera daripada melakukan maksiat. Setiap pancaindera kurniaan Allah seharusnya kita manfaatkan untuk meraih pahala yang berlipat ganda dengan menonton dan mendengar ceramah-ceramah keagamaan mahupun bacaan ayat-ayat suci al-Quran, membasahkan bibir dengan zikir-zikir dan lain-lain;
8) Bersederhana dan mementingkan gizi yang seimbang dalam penyediaan juadah berbuka puasa dan bersahur. Ini amat penting untuk memastikan kita kekal bertenaga ketika berpuasa dan tidak mudah ‘dehidrasi’ semasa siang hari. Antara amalan sunah yang dianjurkan ialah memulakan berbuka dengan buah kurma dan air. Pengambilan makanan yang betul semasa menjalani ibadah puasa akan meningkatkan kesihatan sesuai dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"صُومُوا تَصِحُّوَا"
Ertinya: “Berpuasalah kamu, nescaya kamu akan sihat.”
(Abu Na'im al-Asfahani dalam al-Tibb al-Nabawi).
9) Berdoa agar dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar seawal bermulanya Ramadan, kerana agung dan hebatnya kelebihan malam yang lebih baik dari seribu bulan tersebut; dan
10) Konsisten dan istiqamah dengan amal ibadah yang telah dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan, selepas berlalunya Ramadan, dan ini merupakan salah satu petanda bahawa amal ibadah yang dilaksanakan pada bulan Ramadan diterima oleh Allah SWT.
Terdapat banyak lagi amal ibadah lain yang boleh dilaksanakan dalam usaha mengoptimumkan setiap masa di bulan Ramadan. Selagi mana amal ibadah itu dilakukan bertepatan dengan syarak dengan niat mendekatkan diri kepada ALLAH, sudah tentu keampunan Allah SWT, fadilat dan pahala berterusan menjadi habuan tidak ternilai buat kita sebagai orang beriman. Pintu syurga dibuka seluas-luasnya di bulan Ramadan menjadi indikasi tidak ternilai rahmat Allah yang melimpah ruah dan terlalu banyaknya pahala orang-orang yang menghidupkan bulan yang suci ini.
Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Apabila menjelmanya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
mardhiyyah@umpsa.edu.my

Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
amrahz@umpsa.edu.my

Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
ezi@umpsa.edu.my
- 210 views