Belon Hitam
‘Funfair’ atau pesta riang ria merupakan salah satu tempat yang paling digemari dalam kalangan kanak-kanak. Tidak terkecuali bagi Amir, dia juga turut suka pergi ke pesta riang ria. Ibu bapanya telah berjanji untuk membawa Amir ke pesta riang ria pada malam minggu nanti. Tiba hari yang dijanjikan, Amir kelihatan segak berbaju kemeja pendek berwarna biru dan berseluar jean berwarna hitam serta bertopi merah. Tiba di pesta riang ria suasananya sangat ceria, penuh dengan cahaya dari lampu yang berwarna-warni dan dipenuhi dengan pelbagai hiburan. Terdapat pelbagai jualan, muzik yang boleh tahan kuat juga bunyinya bagi merancakkan lagi suasana dan persembahan dari artis jemputan.
Amir berjalan bersama kedua ibu bapanya di pesta riang ria tersebut. Di satu sudut di kawasan permainan kelihatan seorang pakcik yang sedang asyik mengisi gas di dalam belon-belonnya menggunakan pam gas helium. Pakcik tersebut memakai baju berwarna warni, seluar berbelang-belang kuning dan merah serta topi dengan mukanya diwarnakan dengan warna-warni seperti badut. Sambil melayan kanak-kanak di sekelilingnya, pakcik ini melepaskan belon-belon yang berwarna-warni ke udara. Sangat cantik!
Amir melihat setiap perbuatan pakcik tersebut dengan khusyuk. Pakcik tersebut mengambil belon dari beg kecil berwarna kuning yg dililit di pinggangnya dan dipamkan gas di dalamnya lalu diikat dan dilepaskan ke udara. Sungguh banyak belon yang dilepaskan dan sangat meriah dengan pelbagai warna. Amir begitu tertarik namun menjadi tanda tanya kepada Amir apabila dilihatnya tiada satu belon pun yang berwarna hitam dilepaskan oleh pakcik tersebut.
Amir kehairanan, kenapa tiada belon yang berwarna hitam yang dilepaskan?. Adakah belon berwarna hitam tidak boleh terbang tinggi? Tidak dibiarkan dirinya terus tertanya-tanya, lalu Amir mengumpul keberanian berjalan menghampiri pakcik tersebut untuk bertanya dengan harapan persoalannya tadi akan terjawab.
“Pakcik, boleh saya tahu kenapa belon-belon yang pakcik lepaskan ke udara ini tiada yang berwarna hitam?”. Pakcik itu tersenyum lalu dia menurunkan sedikit badannya supaya searas dengan mata Amir. Dipegangnya bahu Amir lalu pakcik tersebut mengambil belon berwarna hitam di dalam beg kecilnya dan berkata, “bukan belon berwarna hitam tidak boleh terbang tinggi” sambil memasukkan angin ke dalam belon berwarna hitam dan dilepaskan. “Tengok, belon berwarna hitam itu, dia terbang sama tinggi dengan belon yang lain. Nak, bukan soal warna menentukan terbang tingginya belon ini. Tetapi gas apa yang kita isi di dalam belon ini yang menentukannya.”
Amir menggaru-garukan kepalanya. Pakcik tersebut faham yang Amir tidak faham sepenuhnya apa yang dimaksudkannya. Dia pun menjelaskan secara ringkas kepada Amir. Oleh kerana dia tidak mengetahui nama Amir, pakcik tersebut lebih selesa menggelarkan Amir sebagai ‘anak’. “Anak, untuk jadi orang yang berjaya dalam apa jua yang anak lakukan, mesti lakukan dengan bersungguh-sungguh. Penuhi diri dengan ilmu pengetahuan, taat ibu bapa dan agama. Pakcik percaya suatu hari nanti anak akan menjadi orang yang lebih berjaya dari pakcik.” Amir mengangguk-anggukkan kepalanya seolah-olah faham akan penjelasan tersebut. Sebelum Amir beredar pakcik tersebut menghadiahkan belon berwarna hitam dan merah kepada Amir. Tersenyum lebar Amir selepas menerima belon-belon tersebut.
Begitulah ibaratnya diri kita sebagai seorang manusia, apa yang kita isi ke dalam diri kita menentukan siapa diri kita. Jika ingin berjaya, isilah diri kita dengan perkara-perkara yang berfaedah, sudah tentu kita akan menjadi orang yang berjaya. Pasti semua antara kita inginkan kejayaan. Jadi lakukannya, isi masa yang ada supaya dapat membangunkan diri menjadi insan yang lebih baik.
Tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Pengorbanan dalam bentuk apa? Ingin menjadi orang yang berpengetahuan harus isi masa dengan pembacaan dan latih tubi yang berterusan. Jadi, pokoknya bukan pandai atau tidak pandai tapi rajin atau tidak rajin. Jika rajin, masa akan diisi dengan aktiviti yang mengarahkan kepada kejayaan. Jika tidak rajin mungkin aktiviti seperti menonton Netflix dan menelaah media sosial seperti facebook, Instagram dan Tik Tok lebih menjadi pilihan. Tidak juga bermaksud tidak boleh langsung berhibur tetapi perlulah berpada-pada sehingga masa tidak terbuang begitu sahaja. Itulah pengorbanan yang harus dilakukan!
Mengulas kata-kata hikmah dari Imam Syafie,
"Dan jiwamu, jika tidak kau sibukkan dalam kebenaran maka ia akan menyibukkanmu dalam kebatilan."
Jiwa manusia ianya kosong, jika tidak diisi dengan perkara yang membawa hikmah maka akan terisi la dia dengan perkara yang tidak bermanfaat. Manfaatkan masa dengan pengisian-pengisian yang berfaedah supaya jiwa kita tidak dahagakan pengisian. Jiwa manusia menerima sahaja baik dan buruk, ia tidak dapat membezakannya. Namun, apababila sesuatu yang negatif dibiarkan masuk secara berterusan akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan seseorang. Marilah kita bersama-sama memanfaatkan masa dengan pengisian yang akan membawa kebaikan.
Penulis ialah pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Disediakan Oleh : Ts. Dr. Nurjannah Salim
e-mel: njannah@ump.edu.my
- 298 views