COVID-19: Penyesalan Terbesar Umat Manusia Moden
Lima tahun yang lalu pada tahun 2015, seorang jutawan dan pengasas bersama syarikat Microsoft, Bill Gates telah memberi amaran kepada dunia tentang kemunculan suatu pandemik dahsyat yang bakal melanda alam sejagat. Pandemik ini turut diramalkan bakal memakan korban jutaan nyawa manusia dan memberi impak terhadap kekayaan global dengan nilai anggaran kerugian mencecah sehingga USD 3 trillion. Malangnya, dunia memandang sepi amaran hartawan tersohor itu. Tiada sebarang daya usaha yang sewajarnya dilakukan oleh mana-mana negara kuasa besar dunia. Bill Gates dan teorinya telah diabaikan. Tatkala dunia kian alpa, pada bulan Januari tahun 2020, ia telah dikejutkan dengan penularan suatu wabak baharu yang teramat ganas dari segi daya penyebarannya. Suatu wabak yang dibawa oleh virus yang kini dikenali sebagai COVID-19.
COVID-19 adalah sejenis coronavirus. Coronavirus merupakan subset kepada virus spesifik yang mempunyai beberapa ciri unik tersendiri. Virus ini menggunakan RNA dan bukannya DNA sebagai bahan genetik dan diliputi duri-duri (spikes) pada permukaannya, Duri tersebut digunakan untuk menyerang sel-sel manusia melalui prinsip lock & key. Sekiranya kita masih mengingati SARS, (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) atau MERS, (Sindrom Pernafasan Timur Tengah), kedua-duanya adalah coronavirus. Ia digelar sindrom pernafasan kerana itulah yang dilakukan oleh coronavirus yakni menyerang paru-paru manusia.
COVID-19 juga tidak berbeza. Ia menyebabkan pelbagai gejala pernafasan bermula dengan simptom normal seperti batuk kering dan demam sehinggalah kepada keadaan ekstrem seperti “pheumonia” yang membawa maut. Disebabkan gejala yang pelbagai inilah yang menjadi salah satu punca wabak ini begitu sukar untuk dibendung. Ramai orang yang dijangkiti COVID-19 ini tetapi mempunyai gejala yang sangat ringan sehingga mereka sendiri tidak menyedari bahawa diri mereka telahpun menjadi sarang bagi virus mengerikan ini. Perkara ini mengakibatkan penularannya menjadi lebih rumit untuk dikesan dan dicegah secara efektif.
Pengasingan atau isolasi merupakan salah satu tindakan yang berkesan untuk mencegah penyebaran virus ini. Pengasingan dalam konteks ini bermakna kuarantin,sekatan perjalanan, perintah berkurung atau langkah-langkah lain yang relevan. Namun demikian, kaedah ini turut mempunyai kelemahannya yang tersendiri. Saya tidak akan menyentuh kekurangan metode ini dari sisi pandangan ekonomi kerana umum telah pun mengetahuinya tetapi akan lebih cenderung kepada sudut psikologi keinsanan itu sendiri. Manusia adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang fitrahnya suka akan pergaulan dan berteman. Mereka akan menentang apabila pergerakan mereka disekat atau diasingkan antara satu sama lain. Pesakit, sebaik sahaja mengetahui terdapat protokol kuarantin yang ketat, mungkin tidak akan pergi mendapatkan khidmat rawatan kerana tidak mahu dipisahkan dari keluarga dan teman mereka.
Lantaran itu, walaupun kuarantin dan sekatan perjalanan adalah cara yang terbukti efektif dan kita harus mematuhinya, namun ia merupakan langkah drastik terakhir yang bertujuan untuk mengawal penularan wabak dan bukan mencegahnya. Cara pencegahan terbaik untuk jangka masa panjang adalah dengan membina sistem kesihatan global untuk menyokong fungsi penjagaan kesihatan utama di setiap negara di dunia supaya semua negara termasuk negara-negara miskin, dapat mengenal pasti dan merawat wabak baharu apabila ianya muncul. Jika kita benar-benar mahu melambatkan penularan wabak ini dan meminimumkan impaknya, kita harus memastikan setiap negara di dunia mempunyai keupayaan untuk mengenal pasti penyakit-penyakit baharu, menanganinya, dan melaporkannya supaya mereka dapat berkongsi maklumat kepada dunia. Kita perlu didorong oleh semangat perpaduan dan ekuiti kerana dalam senario sebegini, perpaduan dan ekuiti sebenarnya adalah demi kepentingan diri kita sendiri. Pepatah Melayu ada mengatakan yang “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Kini tibalah masanya untuk kita mengaplikasikannya di dalam kehidupan pada peringkat global pula.
Perkara yang jauh lebih menyedihkan ialah, COVID-19 ini bukanlah wabak utama dan terakhir yang akan muncul. Akan ada lebih banyak wabak dan akan berlaku lebih banyak pandemik di muka bumi ini. Hal ini berpunca daripada cara kita, sebagai manusia berinteraksi dengan planet kita.
Renungi firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud; “telah timbul pelbagai kerosakkan dan bala bencana di daratan dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. Maka, sebagai orang yang beriman, seharusnya kita mengambil pengajaran dan pantas melakukan perubahan. Usah biarkan pandemik ini menjadi penyesalan terbesar bagi peradaban manusia moden ini.
Penulis ialah Pegawai Sains di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Disediakan Oleh : Ikram Safiee
e-emel: ikramsafiee@ump.edu.my
- 360 views