Dapur Lebaran: Membina Ikatan Emosi Keluarga
“Shaima, mana mentega yang papa beli pagi tadi? Cuba cari dalam beg plastik. Jangan tertinggal pula.”
“Jumpa, papa! Yang ini kan?” Shaima mengangkat mentega dengan wajah berseri.
“Ha, itulah. Pandai anak papa. Jom, kita mula sama-sama.”
Di sebuah rumah di Pekan, Pahang, bau mentega cair, bunyi ketukan loyang dan tangan kecil yang sibuk menggaul adunan, bersama sisa tepung di meja, menjadikan dapur begitu meriah setiap kali menjelang Aidilfitri. Aktiviti membuat kuih raya bukan sekadar persiapan menyambut tetamu, tetapi ruang interaksi yang mempertemukan orang tua dan anak dalam suasana santai dan bermakna.
Dalam kesibukan rutin harian, peluang meluangkan masa berkualiti bersama anak sering terhad. Namun, proses menyediakan kuih raya membuka ruang kebersamaan yang lebih organik. Anak-anak bukan sahaja mempelajari kemahiran asas seperti mengukur bahan dan mengikuti arahan, tetapi turut menyerap nilai kesabaran, kerjasama dan tanggungjawab secara tidak langsung.
Interaksi ini penting dalam pembentukan hubungan emosi yang sihat, selari dengan konsep emotional bonding yang menekankan kehadiran dan responsif ibu bapa dalam kehidupan anak (Bowlby, 1969).
Di sebuah dapur di Melaka, suasana pembelajaran berlaku dengan penuh kelembutan.
“Arysad, tolong tabur hiasan atas biskut ni perlahan-lahan, jangan banyak sangat ya.”
“Baik, Umi… macam ni ke?”
“Ya, pandai. Cantik dah tu.”
Umi tersenyum melihat Arysad yang semakin yakin.
Dapur turut menjadi ruang pendidikan tidak formal. Anak-anak belajar melalui pemerhatian dan pengalaman iaitu daripada memahami sukatan bahan, jumlah air dan tempoh menggaul hingga membentuk adunan menjadi kuih yang diingini. Proses ini bukan sekadar menghasilkan kuih raya, tetapi membina kenangan. Tawa ketika adunan terlebih tepung atau pujian kecil apabila bentuknya menjadi memberi makna pada setiap usaha.
Berbeza pula di Kedah utara tanah air, suasana lebih santai dengan gelak tawa adik-beradik.
“Aryan, jangan makan lagi! Kita belum bakar pun ni.”
“Hehe… sikit ja, Kak Chik Firah.”
“Kalau hang makan lagi, tak sempat raya dah habis,” usik Kak Chik Firah.
Zayyan mencelah, “Saya tolong susun, jangan bagi Aryan makan lagi!”
Hannan ketawa. “Saya jaga oven… tapi jangan lupa saya pun nak rasa!”
Dalam suasana sebegini, hubungan kekeluargaan diperkukuh melalui pengalaman bersama, walaupun dalam susunan keluarga yang berbeza. Secara tidak langsung, ia turut mengasah kemahiran insaniah anak-anak untuk menjadi lebih berketerampilan apabila dewasa kelak.
Dalam perspektif Islam, momen ini sarat dengan nilai tarbiah. Ibu bapa tetap menjadi pendidik utama dalam apa jua keadaan. Setiap usaha kecil dan masa yang diluangkan merupakan amanah yang besar nilainya di sisi Allah SWT. Dalam rutin memasak yang berulang ini, nilai sabar, syukur, kasih sayang dan penghargaan terhadap rezeki dapat dipupuk secara semula jadi.
Di sebuah apartmen di Pulau Pinang, aktiviti membuat popia gunting menjadi rutin yang mengeratkan hubungan ibu dan anak.
“Zaraa, tolong gunting popia ni kecil-kecil ya.”
“Macam ni ka, mama? Dah boleh goreng ka mama?”
“Ha, cantik! Nanti jadi rangup. Pandai anak mama, terima kasih tolong mama ya.”
Setiap hidangan yang disediakan, sama ada untuk tetamu atau ahli keluarga, mencerminkan kesyukuran dan keikhlasan dalam mendidik anak-anak.
Akhirnya, kuih raya yang dihidangkan pada pagi Syawal bukan sekadar juadah, tetapi simbol kasih yang diadun bersama. Dalam setiap gigitan, tersimpan kenangan dan kehangatan hubungan yang dibina di dapur. Dapur bukan sekadar tempat memasak, tetapi ruang membina emosi dan memori yang diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.
“Papa… nanti tahun depan kita buat lagi ya?”
Papa tersenyum perlahan.
“Insya-Allah, kita buat sama-sama lagi.”
“Kena buat lebih banyak, papa,” celah Rayyan sambil ketawa kecil.
“Tahun ni cepat habis!”
Hakimi mengangguk.
“Saya nak tolong bakar pula nanti. Tak nak asyik makan je.”
Shaima tersenyum, memandang adunan di tangannya.
Dalam riuh kecil di dapur itu, mereka bukan sekadar membuat kuih raya, tetapi sedang membina kenangan, sedikit demi sedikit, bersama. Dari perspektif geografi manusia, dapur boleh difahami sebagai ruang sosial yang sarat dengan makna dan pengalaman yang dihayati (lived space) (Lefebvre, 1991). Ia bukan sekadar ruang fizikal, tetapi tempat hubungan sosial dibentuk, identiti keluarga diperkukuh dan memori kolektif dihasilkan. Seperti yang dihujahkan oleh Tuan (1977) melalui konsep topophilia, keterikatan emosi terhadap sesuatu tempat lahir daripada pengalaman bermakna yang berulang. Hal ini selari dengan pendekatan emotional geographies yang menekankan bahawa emosi terbentuk dan berakar dalam ruang serta hubungan sosial (Bondi, 2005). Dalam konteks ini, dapur menjadi penghubung antara manusia, rasa kasih, rutin budaya dan ingatan yang terus hidup dalam kehidupan seharian.
Dari Pekan hingga ke Pulau Pinang,
Harum dapur menyatu rasa;
Ke Kedah dari Melaka dikenang,
Terpahat memori sepanjang masa.
Rabbanaa hablanaa min azwaajinaa wa zurriyaatinaa qurrata a’yun, waj‘alnaa lil muttaqiina imaamaa
“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami pasangan dan zuriat sebagai penyejuk mata, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa.”
(Surah al-Furqan, 25:74)


Oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Zahiruddin Mohd Zain
E-mel: jamilahbebe@umpsa.edu.my, zahiruddin@umpsa.edu.my
Penulis ialah Guru Bahasa Pusat Bahasa Moden (PBM) dan Eksekutif Kanan, Pusat Jaminan Kualiti Akademik, Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
- 2 views
Reports by: