Jangkaan Aidiladha 1446H
Media telah menyebarkan kenyataan daripada Pusat Astronomi Antarabangsa yang menyatakan bahawa Hari Raya Aidiladha dijangka jatuh pada 6 Jun. Ini berdasarkan data hilal yang mencadangkan anak bulan Zulhijah boleh kelihatan pada hari cerapan Selasa 27 Mei 2025.
Kenyataan ini menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat Malaysia, apabila dilihat bercanggah dengan takwim Hijri rasmi yang menulis Aidiladha jatuh pada 7 Jun.
Hakikatnya, Pusat Astronomi Antarabangsa berpusat di Abu Dhabi, UAE, dan data hisab mereka adalah berdasarkan lokasi negara mereka.
Kenyataan mereka hanya sesuai di rantau mereka, tidak sesuai di negara kita kerana lokasi matla’ yang berbeza.
Dalam sistem kalendar Islam, penentuan cerapan hilal adalah berdasarkan kepada cerapan di kawasan atau negara masing-masing.
Adalah menjadi kebiasaan sekiranya negara belah Barat lebih awal nampak hilal berbanding negara belah timur.
Cerapan hilal Zulhijah adakan dilaksanakan di 29 stesen cerapan rasmi di seluruh negara kita pada Selasa 27 Mei (29 Zulkaedah 1446).
Berdasarkan data hilal dan hisab berasaskan Kriterima Imkanurrukyah di negara kita, semasa hari cerapan, kemungkinan besar hilal tidak kelihatan kerana kedua-dua syarat ketinggian hilal dan jarak lengkung tidak dipenuhi.
Maka Zulkaedah digenapkan kepada 30 hari pada hari berikutnya, 1 Zulhijah jatuh pada Khamis 29 Mei 2025 dan Aidiladha jatuh pada 7 Jun 2025.
Namun, sekiranya pada hari cerapan esok hilal kelihatan di mana-mana stesen cerapan, maka 1 Zulhijah akan jatuh pada hari Rabu dan Aidiladha akan jatuh pada 6 Jun.
Umat Islam dinasihatkan agar taat kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja selepas cerapan rasmi dilaksanakan pada 27 Mei 2025.
Umat Islam juga tidak perlu bimbang dengan fenomena raya mengejut, kerana Raya Aidiladha disambut pada 10 Zulhijah, bukan pada 1 Zulhijah.
Umat Islam juga perlu menyambut Aidiladha berdasarkan lokasi semasa mereka.
Sekiranya berada di Arab Saudi, maka patuhilah tarikh Arab Saudi. Sementara di Malaysia, patuhilah tarikh yang diisytiharkan oleh pihak berkuasa Malaysia.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Disediakan Oleh : DR. AHMAD IRFAN IKMAL HISHAM
E-mel : irfan@umpsa.edu.my
- 184 views