Kampus UMPSA kembali meriah dengan permulaan semester baharu
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang terletak di negeri Pahang mempunyai dua kampus iaitu di Pekan dan Gambang. Suasana kampus yang nyaman dilengkapi dengan pelbagai kemudahan menjadikan Universiti Teknologi Terunggul ini pilihan utama mahasiswa mahasiswi menyambung pengajian mereka. Mengakhiri episod cuti semester, UMPSA kini kembali meriah dengan aktiviti semester baharu yang bermula dengan minggu pendaftaran pelajar baharu sesi 2024/2025.
Berbekalkan semangat dan keazaman yang tinggi untuk mencapai cita-cita yang selama ini diimpikan, semoga dengan permulaan semester baharu ini para pelajar lebih bersedia mendepani sebarang cabaran yang bakal dihadapi. Proses pendaftaran kursus yang mungkin telah dilakukan sejak awal oleh pelajar sentiasa perlu dikemas kini dan pelajar perlu bersedia untuk melakukan sebarang perubahan sekiranya perlu. Penyesuaian dan pemilihan waktu kelas lazimnya ditentukan oleh pelajar mengikut pilihan masing-masing.
Keriuhan bunyi kenderaan, kemeriahan suasana di kafeteria, makmal serta dewan kuliah dipenuhi ribuan pelajar serta laluan pejalan kaki yang penuh dengan kelibat para pelajar ke sana ke sini bagi urusan akademik mereka menjadikan ekosistem UMPSA sebagai sebuah universiti kembali sibuk dan meriah dengan kehadiran pelajar.
Umum mengetahui bahawa cuti semester merupakan satu tempoh bagi pelajar-pelajar pulang ke kampung masing-masing dan mengambil peluang untuk berehat setelah lebih tiga bulan berjuang menimba ilmu dengan tekun dan penuh semangat. Cuti yang lebih sebulan ini biasanya berlalu sekelip mata dan apabila sudah hampir waktu pulang ke kampus menyambung semester pengajian, pelajar akan membuat persediaan yang sewajarnya. Ada yang pulang ke kampus dihantar oleh ibu bapa dan tidak kurang juga yang lebih berdikari pulang sendiri dengan menaiki kenderaan awam atau memandu kenderaan sendiri. Setiap kali memasuki semester baharu, pelajar akan memulakan kehidupan kampus dengan azam baharu untuk menjadi lebih baik dari semester-semester yang sebelumnya.
Pelajar yang memulakan semester juga memberikan pandangan dan harapan yang berbeza antara satu sama lain. Menurut pelajar semester tiga Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST), Muhammad Afiq Rohman, beliau tidak sabar untuk pulang ke UMPSA kerana persatuan Science Industry and Technology Expert Society (SCITEXS) akan mengadakan malam penghargaan bagi menghargai pelajar-pelajar cemerlang di fakulti ini. Mereka akan dihargai dalam majlis makan malam, persembahan dan penyampaian anugerah.
Menurut pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) yang juga Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PELAPES) Udara, Muhammad Arif Akmal Mohd Yusoff, walaupun cuti semester beliau berbeza sedikit dengan mahasiswa lain kerana sesi latihan badan beruniform, namun beliau tetap berkongsi semangat dan azam yang sama dengan mahasiswa lain untuk memulakan semester baharu. Selain akan memberikan fokus dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian akademiknya, beliau juga akan meneruskan aktiviti beruniform seperti berkawad, mempelajari ilmu medan perang (IMP) dan latihan-latihan yang lain. Pada tahun lalu juga, beliau berpeluang mengikuti lawatan pameran ketenteraan Defence Security Asia (DSA) dan Langkawi International Maritime (LIMA). Oleh itu, pada semester ini beliau berharap berpeluang untuk lawatan-lawatan lain pula.
Manakala, menurut pelajar tahun tiga Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Nurul Syahiera Abd Latip wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA Sesi 2023/2024 menyatakan pengalamannya menjadi wakil MPP yang dirasakan merupakan satu peluang yang sangat berharga dan menjadikannya seorang pelajar yang lebih berkeyakinan diri. Permulaan semester ini, beliau berharap agar sesi kuliahnya akan lebih menarik dan tidak sabar untuk berkenalan dengan rakan-rakan baharu dan pensyarah kursus baharu. Beliau juga menasihati agar pelajar-pelajar baharu untuk memberanikan melibatkan diri di dalam MPP. Ini kerana, mereka akan mencurahkan tenaga serta usaha kepada UMPSA dan melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti kepimpinan, komunikasi dan kerja berkumpulan.
Seterusnya, Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden (PBM) Amy Zulaikha Mohd Ali dan Shamsul Harbi menyatakan mereka begitu teruja dan bersemangat untuk bersama-sama dengan pelajar di dalam kelas pada semester ini bagi menyertai pelbagai pertandingan yang bakal diadakan sempena Karnival Bahasa Inggeris Pendidikan Tinggi (He Elca 2024) dan UMPSA Language and Cultural Carnival 2024. Kedua-dua program ini sudah semestinya akan memberikan pengalaman dan peluang kepada para pelajar untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Permulaan semester baharu mungkin merupakan semester terakhir bagi sesetengah pelajar yang bakal menamatkan pengajian tidak lama lagi. Di kesempatan yang berbaki tidak lama lagi diharapkan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pelajar ini dalam menjadikan pengalaman kampus mereka sesuatu yang manis dan membanggakan untuk dikenang kelak. Bak kata orang ramai, ada cerita yang boleh disampaikan kepada anak cucu kelak tentang zaman belajar di universiti. Kehidupan kampus sudah terbukti merupakan sebahagian kehidupan yang memberikan impak dan kesan kepada kehidupan seseorang selepas menamatkan pengajian. Semoga para pelajar memanfaatkan peluang mereka di UMPSA dengan sebaiknya.
Turut diberikan perhatian sempena permulaan semester baharu ialah berkaitan kemudahan kelas dan makmal-makmal pembelajaran di UMPSA. Kesediaan untuk memulakan semester ini telah dilakukan terlebih awal dan turut mendapat perhatian Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir .Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman. Beliau turut serta terlibat tinjauan dan pemeriksaan kelas serta makmal yang terlibat untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP). Tinjauan dan pemeriksaan berkala ini merupakan komitmen dan usaha yang diberikan semua pihak agar UMPSA terus komited dalam memberikan pengalaman kampus yang terbaik untuk semua pelajar.
Semoga permulaan semester ini dimulakan dengan niat, usaha dan tindakan sebaiknya agar disusuli dengan kejayaan kelak. Niat yang tulus akan memandu kita ke arah kejayaan, sementara usaha yang konsisten adalah kunci untuk mencapainya. Mari kita sama-sama komited untuk tidak hanya berangan-angan, tetapi juga berusaha keras dalam setiap langkah. Dengan niat yang baik dan usaha yang gigih, insya-Allah, segala impian kita akan tercapai. Selamat belajar dan terus berjuang buat semua para pelajar UMPSA dan juga semua tenaga pengajar.
Penulis adalah Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel : jamilahbebe@umpsa.edu.my
E-mel : asiah@umpsa.edu.my
- 519 views