Skip to main content

Kematangan Staf Akademik dan Pentadbiran dalam BDR

Selama ini ramai yang menyatakan Bekerja Dari Rumah (BDR) adalah sesuatu yang amat diinginkan. Bagi kebanyakan orang, BDR adalah suatu bonus kepada sesetengah pekerja kerana berpeluang untuk berada di rumah dan membuat kerja atau tugasan di rumah. Bagi staf akademik dan pentadbiran yang kebanyakannya bekerja di hadapan komputer riba atau komputer meja, bekerja dari rumah adalah suatu yang amat diidamkan.

Penularan virus COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada bulan 18 Mac 2020 telah membuatkan impian ramai ini menjadi kenyataan. Mulai tarikh itu dan sehingga artikel ini ditulis (28 Mei 2020), majoriti staf akademik, staf pentadbiran termasuk guru-guru di sekolah BDR. Ramai orang percaya, PKP adalah suatu masa yang perlu dihargai bersama keluarga kerana kebanyakan atau semua ahli keluarga berada di rumah. Anak-anak menjadikan awal PKP itu sebagai cuti sekolah. Pada ketika itu, pihak sekolah masih lagi belum membuat apa-apa perancangan. Walau bagaimanapun, telah ada Sekolah Berasrama Penuh (SBP) membuat pembelajaran secara maya mulai 27 Mac 2020 iaitu selepas sembilan hari PKP fasa 1 bermula. 

Maka bermulalah sesi pembelajaran secara maya dan anak-anak telah mula duduk di hadapan komputer riba atau Ipad atau telefon mudah alih dari seawal jam 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang. Di samping itu juga, bermulalah masalah capaian internet dalam kalangan pelajar dan guru di rumah. Ketika ini juga bermulalah proses ibu bapa di rumah menjadi fasilitator atau guru terutamanya kepada anak-anak yang di sekolah rendah untuk menghabiskan kerja rumah yang diberikan kepada mereka.

Pada masa yang sama, tugasan hakiki bagi para staf akademik dan pentadbiran berjalan seperti biasa. Mesyuarat dan diskusi berkenaan tugasan harian bermula seawal jam 9.00 pagi dan berlanjutan sehingga jam 1.00 tengah hari dan kebanyakan hari biasa (Isnin hingga Jumaat) akan ada lagi mesyuarat atau diskusi pada jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 5.00 petang.  Rutin ini berlanjutan sehingga bulan Ramadan yang bermula pada 25 April 2020 yang lalu.  Mesyuarat pada sebelah petang di bulan Ramadan kebanyakannya akan dihabiskan pada jam 4.30 petang untuk memberikan ruang kepada para ibu untuk menyediakan juadah buka puasa. Mesyuarat pada sebelah pagi masih diadakan seperti biasa.

Selepas beberapa minggu BDR dan menghadapi mesyuarat secara maya, kebanyakan staf telah mula merasa keletihan menghadapi dan membawa tanggungjawab yang banyak dalam satu satu masa. Jika sebelum ini, bekerja dari pejabat yang bermua dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang hanya menuntut tumpuan (fokus) kepada tugasan pejabat sahaja dan anak-anak telah diserahkan kepada pihak lain sama ada pihak taska ataupun transit di pusat jagaan, tetapi sekarang semuanya telah menjadi tanggungjawab para ibu bapa, terutamanya ibu yang setiap hari dan setiap masa berfikir untuk menyediakan juadah sarapan pagi, tengah hari dan malam terutamanya ketika PKP fasa 1, 2 dan 3.

Selain itu, terdapat sesetengah majikan kurang prihatin dengan kebajikan staf iaitu mesyuarat atau forum masih dijalankan pada hujung minggu dan cuti am mungkin kerana dirasakan staf tidak mempunyai tanggungjawab yang lain atau tidak cukup masa bekerja 8.00 jam sehari kerana BDR. Di sini, penulis ingin menegaskan pihak majikan harus lebih sensitif dengan emosi para staf yang masih tidak stabil dengan keadaan norma baharu ini sebagai ibu bapa atau yang belum menjadi ibu bapa masih lagi mempunyai tanggungjawab yang lain.

Sebagai staf akademik dan staf pentadbiran yang kebanyakannya akan bekerja tatacara BDR perlu menjadi lebih matang dalam menghadapi normal baharu ini dalam menguruskan masa untuk kerjaya serta tanggungjawab di rumah. Antara langkah-langkah yang dapat membantu kita untuk mendapatkan work-life balance adalah pertama, pasangan harus mengambil rasa tanggungjawab untuk menguruskan hal-hal rumahtangga. Jangan kerana nampak si isteri 24 jam seminggu berada di rumah, maka dikatakan si isteri banyak masa dan dibebankan dengan segala tugasan rumah yang boleh dibantu oleh si suami. Kedua, jika kita menghadapi masalah sama ada besar atau kecil, kita haruslah berkongsi masalah itu dengan pasangan atau rakan sekerja yang lebih memahami supaya tidak tertekan (stres). Ketiga, gunakanlah masa di hujung minggu untuk melakukan perkara yang diminati seperti berkebun dan membaca novel. Dengan kata lain, me time adalah amat penting untuk memastikan emosi kita masih ditahap normal dan terkawal. Para majikan juga harus lebih memahami tanggungjawab staf yang menjalankan tugas dalam normal baharu tetapi masih berusaha untuk mencapai segala sasaran petunjuk prestasi (KPI) yang ditetapkan. Dengan keprihatinan semua pihak, penulis pasti, staf akademik dan pentadbiran akan lebih matang dalam menghadapi cabaran BDR di dalam norma baharu ini dan organisasi akan lebih cemerlang jika pekerjanya dapat bekerja dengan penuh semangat dan hati yang gembira.  

Kematangan Staf Akademik dan Pentadbiran dalam BDR

Disediakan Oleh: Profesor Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan 
e-mel: nraha@ump.edu.my
Penulis adalah Profesor Madya di Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang (UMP). 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News