Layakkah anak muda kini menjadi pewaris negara?
Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysi pada tahun ini diraikan walaupun secara sederhana namun semangat patriotisme itu sewajarnya dihiasi dengan kegembiraan dan rasa syukur atas perjuangan yang telah dilakukan oleh nenek moyang kita dahulu. Namun, seringkali didengari anak muda kini tidak lagi mempunyai semangat patriotisme yang tinggi. Benarkan tanggapan ini? Adakah semangat patriotisme itu hanya sekadar mengibarkan Jalur Gemilang dan nyanyian Lagu Negaraku? Bagi penulis, tanggapan ini adalah mitos dan tidak seharusnya suara-suara sumbang ini diangkat diarus perdana.
Buktinya jelas boleh dilihat ketika negara dilanda pandemik Covid-19 ini, ramai anak muda telah turun padang menjadi sukarelawan di pusat-pusat pemberian vaksin (PPV), mengedarkan bakul makanan, membantu ibu-bapa dan warga tua yang tidak mampu untuk keluar rumah dengan memberikan perkhidmatan penghantaran barang dan sebagainya. Inisiatif-inisiatif ini dilakukan sesama mereka bermula dengan pencarian dana dan dijalankan di komuniti masing-masing yang kemudiannya berkembang sehingga ke peringkat nasional.
Baru-baru ini, ketika Yan, Kedah dilanda fenomena kepala air yang mengakibatkan ramai penduduk disekitar Gunung Jerai dan Yan terjejas. Sekali lagi, kita lihat anak muda kita telah menjadi sukarelawan dan menawarkan bantuan membantu penduduk kampung di sana. Cara mereka yang berbeza dan lebih kreatif membuktikan negara kita ini mempunyai pewaris negara yang boleh dipercayai. Kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia merupakan kekuatan yang harus dibangga dan dimanfaatkan sebaik mungkin dan bukannya dilihat sebagai liabiliti.
Senario politik kuno yang berkitar dalam kalangan figura-figura veteran dilihat tidak lagi relevan dan memberikan kesan yang buruk kepada pembinaan negara bangsa yang berjaya. Masa kini, anak muda lebih berani dan lantang bersuara terutama di media-media sosial yang menjadi platform utama mereka memberikan pendapat dan idea demi negara tercinta.
Malangnya, pandangan-pandangan ini sering kali diambil remeh dan dianggap masih mentah serta tidak matang. Tetapi persoalannya, sampai bila suara anak muda ini ingin dimatikan? Jika peluang dan ruang tidak diberikan secukupnya kepada mereka, tidak hairanlah jika di masa akan datang lebih ramai yang memilih untuk turun ke jalanan demi memastikan suara mereka didengari. Yakinlah, anak muda masa kini jauh lebih matang dan berfikiran jauh dan sewajarnya kepercayaan ini diberikan kepada mereka dalam mentadbir urus sebahagian daripada pentadbiran negara.
Fenomena ‘Dr. Malar Santhi’ misalnya di media sosial yang begitu fasih berbahasa Melayu dan celotehnya yang lebih mudah difahami membuktikan figura anak muda ini telah berjaya menyatukan rakyat Malaysia dalam usaha memerangi mitos-mitos berkenaan Covid-19. Selain Dr. Malar, Dr. Amalina Bakri dan Dr. Khairul Hafidz (medtweetMy) misalnya juga merupakan figura anak muda yang begitu aktif dalam menyampaikan ilmu mereka di media sosial. Jika itu figura dari sudut perubatan, bagaimana pula dengan bidang-bidang yang lain? Jika mahu belajar berkenaan tip perniagaan, seorang ‘creativepreneur’ yang banyak berkongsi ilmu, Saudara Azlan Huzeifa dan rakan-rakannya boleh dijadikan ikon anak muda kreatif yang telah melahirkan ramai usahawan kreatif diera pandemik ini. Usaha-usaha ini seharusnya dihargai dan diangkat sebagai suara perdana, bukannya pertelingkahan dan perebutan kuasa yang perlu disensasikan.
Kejayaan mereka dalam menyatu dan membangunkan masyarakat negara ini dalam kapasiti mereka, meyakinkan lagi penyataan bahawa anak muda kini adalah pewaris negara yang boleh dipercayai. Masih ramai anak muda yang begitu sayang kepada negara ini dan sewajarnya sudut pandang mereka juga diambil kira dalam menentukan hala tuju negara, demi memastikan tanah tumpah negara ini akan terus merdeka dan maju pada masa akan datang.
Di Univerisiti Malaysia Pahang (UMP), slogan ‘Memasyarakatkan Teknologi’ adalah manifestasi kepada pembangunan dan melahirkan graduan serta ruang ilmu yang akan memberikan manfaat kepada masyarakat adalah salah satu wadah melahirkan generasi muda yang berilmu dan memberi manfaat kepada masyarakat sekitar.
Justeru, sewajarnya kita harus yakin dengan kemampuan dan kebolehan generasi muda masa kini untuk mewarisi tanah tumpah negara tercinta ini.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: azizulh@ump.edu.my
- 245 views