Skip to main content

Memacu kecemerlangan UMPSA bagi melahirkan pakar rujuk bertaraf dunia

Universiti Malaysia Pahang (UMP) dijenamakan semula kepada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) secara rasmi pada 30 Julai 2023 yang lalu. Penjenamaan semula itu tepat pada masanya apabila universiti kini berada di puncak kejayaan, bertepatan visinya iaitu Universiti Teknologi Terunggul. UMPSA merupakan salah satu universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN). 

Menurut pemeringkatan (ranking) universiti dunia yang dikeluarkan oleh Times Higher Education dan QS Ranking, UMPSA kebiasaannya mendahului universiti-universiti teknikal yang lain seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Yang lebih membanggakan, UMPSA kerap tergolong dalam kalangan sepuluh universiti terbaik di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pencapaian ini amat memberangsangkan memandangkan UMPSA baharu sahaja berusia 21 tahun. 

Untuk meneruskan visinya, UMPSA harus memberikan fokus kepada pembangunkan sumber manusia yang cemerlang untuk masa hadapan. Sumber manusia yang dimaksudkan ialah membangunkan para pensyarah untuk menjadi pakar rujuk bertaraf dunia. 

Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke-16 pada 5 Ogos lepas, mahu supaya kepakaran yang dimiliki oleh institusi pengajian tinggi (IPT) dan universiti negara diangkat bersama-sama Kerajaan Pusat dalam memacu kemajuan negara dengan lebih pesat. Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi secara julung-julung kali telah mendapatkan input daripada kepakaran dimiliki IPT bagi merangka Bajet Madani 2.0. Ini adalah contoh di mana khidmat kepakaran para pensyarah dan penyelidik di UMPSA mampu menyumbang kepada negara secara langsung. Para pensyarah bukan sahaja perlu memberi fokus kepada tugas hakiki dalam pengajaran dan pembelajaran tetapi perlu juga mengembangkan bakat dan kebolehan untuk menjadi pakar rujuk bertaraf antarabangsa. 

Dalam usaha untuk melahirkan para pakar rujuk bertaraf antarabangsa, kita perlu melihat melebihi skop kerja yang biasanya diberikan kepada para pensyarah. Menulis dan memperoleh geran penyelidikan, menghasilkan kertas penyelidikan, menyelia para pelajar siswazah, dan mendapatkan sitasi merupakan tugas utama yang harus dipenuhi sebagai penyelidik di universiti. Namun, ini tidak cukup untuk menghasilkan para rujuk bertaraf dunia. 

Para pensyarah dan penyelidik perlu diberikan peluang untuk menghadiri persidangan antarabangsa dengan lebih kerap, menjalani kursus bagaimana untuk memulakan dan menjalin kolaborasi dengan penyelidik-penyelidik dari universiti dan pusat penyelidikan bertaraf dunia untuk membina dan melahirkan penyelidikan bertaraf dunia. Tambahan pula, skil komunikasi para pensyarah harus digarap dengan lebih baik untuk menyampaikan kandungan penyelidikan melalui media massa dan media sosial untuk terus dimanfaatkan oleh masyarakat, kerajaan dan negara. 

Apa yang lebih penting ialah para pensyarah atau penyelidik perlu fokus dalam hanya satu bidang penyelidikan daripada melibatkan diri dalam pelbagai bidang penyelidikan. Ini membolehkan para pensyarah atau penyelidik lebih dikenali di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara usaha yang sudah dimulakan oleh UMPSA ialah memperkenalkan pelbagai geran penyelidikan yang mampu mengangkat dan menaik taraf nama para pensyarah di peringkat antarbangsa. Geran-geran berikut seperti geran ‘First in the World’, geran penerbitan antarabangsa, dan geran padanan industri antarabangsa mampu melonjak nama para pensyarah dan penyelidik UMPSA ke persada antarabangsa. Usaha-usaha ini wajar dipuji dan dimanfaatkan sebaiknya oleh para pensyarah dan penyelidik UMPSA. 

Kejayaan UMPSA dalam melahirkan lebih ramai pakar rujuk bertaraf antarabangsa akan terus mengangkat nama universiti di peringkat antarabangsa. Hasilnya, UMPSA akan dapat melonjak lebih tinggi lagi dalam pemeringkatan (ranking) universiti dunia. Tambahan pula, UMPSA akan lebih dikenali oleh masyarakat antarabangsa sekali gus dapat menarik lebih ramai pelajar antarabangsa dari negara-negara maju untuk menyambung pelajaran mereka di UMPSA.

Secara tidak langsung, ini dapat merealisasikan matlamat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menempatkan Malaysia sebagai destinasi hab pendidikan tinggi menjelang tahun 2025. Kebanjiran pelajar-pelajar dari negara maju ke UMPSA dan IPT seluruh negara juga mampu menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara memandangkan mereka membayar yuran pengajian yang lebih tinggi berbanding pelajar tempatan. 

Oleh yang demikian, perancangan strategik perlu diformulasi oleh UMPSA untuk melahirkan para pakar rujuk terkemuka bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa. Untuk merealisasikan hasrat yang murni ini, kerjasama semua pihak dalam kalangan para pensyarah, penyelidik, pentadbir dan staf teknikal UMPSA perlu digembleng dengan sebaiknya. 

Akhir kata, ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’. 

Dr. Ahmad Mahfuz Gazali
Dr. Ahmad Mahfuz Gazali

Penulis ialah pensyarah kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).  
E-mel: mahfuz@umpsa.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News