Mendepani cabaran norma baharu PdPR buat ibu bapa
Cabaran Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) bukan sahaja memberi kesan kepada anak-anak. Ia turut melibatkan ibu bapa yang perlu memastikan anak-anak belajar pada musim pandemik ini. Sebagai ibu bapa, mereka perlu mendisiplinkan anak-anak agar hadir ke kelas terutamanya kelas yang menjalankan pembelajaran segerak (synchronous learning).
Mendepani cabaran norma baharu ini, terdapat kekangan dari pihak ibu bapa apabila perlu membantu anak-anak menggunakan platform untuk PdPR. Malahan mereka perlu bersiap sedia untuk bertukar dari satu platform kepada platform yang lain jika diminta oleh guru anak-anak mereka. Contohnya, mereka perlu menggunakan WhatsApp pada suatu ketika dan pada waktu yang lain guru bertukar menggunakan medium Telegram untuk memberi tugasan kepada anak-anak misalnya. Begitu juga, ada kalanya guru menerangkan topik mata pelajaran menggunakan Google Meet dan pada sesi seterusnya meminta anak-anak bersedia menggunakan Zoom. Ini tentunya memberi tekanan kepada ibu bapa terutamanya mereka yang tidak mempunyai kemahiran untuk memuat turun aplikasi yang dikehendaki oleh guru anak-anak mereka. Masalah juga berlaku kepada ibu bapa yang hanya menggunakan jalur lebar rendah untuk memuat turun aplikasi yang perlu digunakan pada sesi PdPR anak-anak.
Bagi ibu bapa yang bekerja dari rumah (BDR), ada kalanya mereka ketinggalan untuk mendapatkan maklumat pautan Google Meet yang diberi oleh guru sebelum waktu kelas bermula kerana sedang menghadiri mesyuarat dalam talian. Ada kalanya, mereka terlepas pandang untuk mendapatkan pautan Google Meet kerana guru hanya memberikannya 10 atau 15 minit sebelum sesi PdPR. Pada masa yang sama, mesyuarat dalam talian yang perlu dihadiri oleh ibu bapa telah pun bermula. Sudah pasti anak-anak terutamanya yang berada dipersekolahan rendah akan sedikit ketinggalan atau tidak dapat menghadiri sesi tersebut kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa untuk memaklumkan mengenai pautan Google Meet untuk pembelajaran segerak. Keadaan menjadi bertambah rumit jika anak-anak tersebut menggunakan telefon pintar, komputer meja atau komputer riba guna sama dengan ahli keluarga yang lain. Tidak hairanlah jika salah seorang adik-beradik tidak dapat menyertai sesi PdPR kerana ibu atau bapa mereka sedang menggunakan komputer riba/meja untuk bermesyuarat dalam talian.
Untuk pembelajaran segerak (synchronous learning) ibu bapa juga turut menghadapi cabaran apabila mereka dituntut untuk ‘terpaksa’ belajar menggunakan aplikasi yang belum pernah mereka gunakan seperti Google Meet atau Zoom. Ada kalanya mereka perlu menaip kod mesyuarat (meeting code) yang diberikan oleh guru. Ibu bapa perlu cepat belajar kerana ciri kedua-dua platform tersebut berbeza apabila PdPR dijalankan menggunakan telefon pintar dan komputer riba. Mereka juga perlu tahu fungsi pada ikon yang terdapat pada Google Meet dan Zoom. Bila menggunakan platform ini, mereka seterusnya harus memastikan bahawa kamera dihidupkan. Di samping itu, ibu bapa juga perlu memastikan mikrofon komputer tidak disenyapkan atau menyarankan anak untuk menekan ikon mikrofon jika ingin bertanya soalan kepada guru mereka. Ia penting untuk memastikan pembelajaran dua hala dapat dilaksanakan supaya anak dapat mengikuti sesi PdPR dengan baik dan efektif. Begitu juga, ibu bapa perlu peka untuk tidak berada di sekitar anak kecuali apabila anak memerlukan bantuan.
Mungkin ia menjadi satu cabaran juga untuk memastikan tempat anak belajar tidak berlatar belakangkan katil yang tidak dikemas, baju yang berlonggok, ruang tamu yang bersepah atau bapa mahupun ahli keluarga yang berpakaian kurang sopan apabila kamera dihidupkan. Inilah penangan kerja dari rumah bagi ramai kakitangan awam dan swasta yang perlu melunaskan kerja pejabat dan pada masa yang sama mennyempurnakan keperluan keluarga. Elakkan juga anak belajar berada pada persekitaran yang membingarkan. Suara adik-beradik yang sedang bermain atau bunyi dari set televisyen memberi kesan terhadap pembelajaran anak yang menyebabkan mereka kurang konsentrasi untuk menumpukan perhatian semasa sesi PdPR. Walaupun badan mereka mengadap komputer riba/meja, fikiran mereka mungkin terganggu disebabkan suara adik-beradik yang sedang usik-mengusik antara satu sama lain. Bising dari hilai ketawa adik mereka yang leka bermain juga secara tidak langsung turut mengganggu tumpuan anak-anak ini semasa sesi PdPR. Malah, gangguan dari bunyi luaran seperti ini ketika sesi pembelajaran akan menjejaskan mood belajar anak-anak itu sendiri.
Cabaran pada ibu bapa yang membekalkan komputer riba/meja atau telefon pintar kepada anak mereka lain pula. Mereka membeli alatan ini khas untuk anak-anak mereka mengikuti sesi PdPR. Walau bagaimanapun, ada sesetengah anak yang bijak menerokai aplikasi di dalam telefon bimbit yang diamanahkan untuk mereka gunakan semasa pembelajaran mereka. Anak yang obses permainan video kemungkinan menggunakan peluang ini untuk membeli-belah dalam talian semasa sesi PdPR. Kini, anak-anak yang berada di sekolah rendah sudah pandai menggunakan aplikasi Shopee misalannya untuk mendapatkan permainan atas talian kegemaran mereka atau menambah nilai permainan yang mereka langgani. Pemerhatian anak-anak tentang bagaimana ibu bapa mereka membeli pelbagai barangan dalam talian memungkinkan mereka untuk membuat perkara yang sama. Apatah lagi jika ibu bapa meminta anak mereka untuk membaca tiga nombor terakhir di belakang kad kredit. Tujuan ibu bapa yang murni untuk mengajar anak kecil mereka tentang nombor akhirnya membuatkan sejumlah wang mereka lesap!
Justeru, sebagai ibu bapa kita perlu menghadapi cabaran PdPR dengan bijaksana. Sentiasa berhubung dengan guru sama ada secara dalam talian (online) atau luar talian (offline). Komunikasi secara berterusan adalah cara terbaik bagi memastikan kelangsungan pembelajaran anak-anak semasa pandemik yang belum pasti bila berakhir secara total.
Penulis ialah Profesor Madya di Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: zuraina@ump.edu.my
- 4439 views