Skip to main content

Menghidupkan Khazanah Bangsa Menerusi Geografi Negeri

Buku ‘Pantun Nama Tempat di Pahang’ ialah karya yang memperlihatkan kekayaan seni tradisional Melayu. Ia juga menjadi rekod geografi dan nilai budaya negeri Pahang Darul Makmur. Penerbitan ini diilhamkan oleh Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA. Beliau mencetuskan usaha untuk mengkaji warisan pantun di negeri ini.

Kajian ini juga bertujuan untuk menyemarakkan seni pantun sebagai sebahagian daripada identiti dan khazanah budaya Pahang. Inisiatif ini telah menghasilkan buku yang menghimpunkan pantun-pantun karya tokoh budayawan terkenal, Dato’ Haji Zakaria Hitam atau lebih dikenali sebagai Pak Zek. Keistimewaan karya Pak Zek ialah kemampuannya menghasilkan pantun yang menggunakan nama tempat di seluruh pelosok Pahang sebagai pembayang.

Struktur dan Kandungan Bertema

Buku ini melanjutkan usaha perintis oleh A. Karim Abdullah dan Dato’ Yaakub Isa yang sebelum ini turut mengumpulkan pantun Pahang hasil nukilan Pak Zek. Namun, edisi ini disusun semula dengan lebih teliti.

Sebanyak 219 pantun karya Pak Zek disusun di dalam tujuh bab berdasarkan tujuh tema utama, iaitu:

•    Mengenali Pahang
•    Daulat Tuanku
•    Maruah
•    Kesantunan
•    Khazanah
•    Kuasa
•    Adab dan Muafakat

Penyusunan bertema ini membantu pembaca menikmati keindahan bahasa pantun sambil memahami nilai moral dan sosial yang disampaikan. Pembaca juga dapat mengaitkan pantun dengan konteks budaya, sejarah dan pentadbiran negeri Pahang.

Sebagai contoh, dalam tema Mengenali Pahang, pantun-pantun awal memperkenalkan negeri ini sebagai negeri terbesar di Semenanjung Tanah Melayu. Pahang digambarkan sebagai negeri yang kaya dengan sejarah dan khazanah alam. Pembaca dibawa menyusuri perjalanan dari pesisir pantai hingga ke pedalaman melalui bait-bait pantun yang indah dan bermakna.

Keunikan dan Keterkaitan Budaya

Daya tarikan utama buku ini ialah penggunaan nama tempat di Pahang dalam pembayang pantun. Unsur ini bukan sahaja memperindah bahasa tetapi juga memberikan makna yang lebih mendalam. Pantun digunakan sebagai medium sastera untuk memperkaya budaya dan memperkenalkan tempat-tempat di negeri Pahang dengan cara yang kreatif.

Melalui pantun-pantun tersebut, nama-nama seperti Gambang, Kuala Reman, Pulau Tioman, Tembeling dan banyak lagi dijadikan unsur seni yang menghubungkan tempat fizikal dengan nilai moral dan tradisi. Contohnya, dalam tema ‘Mengenali Pahang’, terdapat pantun yang menyebut keindahan Sungai Pahang iaitu sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia. 

Selain memperkenalkan tempat, pantun juga menyelitkan nilai etika dan kepemimpinan. Dalam tema Daulat Tuanku dan Kuasa, pantun menonjolkan semangat kesetiaan dan adab terhadap institusi raja serta pemimpin tempatan. Sementara itu, tema ‘Adab dan Muafakat’ menekankan kepentingan bersatu hati dan bekerjasama dalam masyarakat.

Pantun ke-68 dalam bab ini misalnya berpesan: “Bila semua bersatu hati, kerja susah menjadi senang.” Pesanan ini menggambarkan peranan pantun sebagai medium nasihat dan pendidikan sosial. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi wadah untuk membentuk nilai dan sikap dalam masyarakat.

Kesesuaian Pantun dalam Dunia Moden

Buku ini diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui geran penyelidikan membuktikan bahawa warisan seni tradisional masih mempunyai kesesuaian dalam dunia moden. Ia memperlihatkan bahawa pantun bukan sekadar peninggalan masa lalu, tetapi sumber inspirasi yang membantu memahami identiti dan akar budaya bangsa.

Buku ini turut berperanan sebagai bahan rujukan akademik dan budaya. Ia bermanfaat untuk pengkaji sastera, pendidik, pelajar, serta masyarakat umum yang ingin mengenali seni pantun dari perspektif negeri Pahang. Nilai akademiknya terserlah melalui penyusunan yang sistematik, manakala nilai budayanya terserlah dalam usaha mengekalkan bahasa dan warisan tempatan.

Menariknya, buku ‘Pantun Nama Tempat di Pahang’ turut dipamerkan semasa The 3rd International Conference on Humanities and Civilisations (i-Conscience 25) yang dianjurkan oleh Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), UMPSA pada 9 hingga 10 September 2025 yang lalu. 

Dalam majlis tersebut, beberapa buku terbitan Penerbit UMPSA daripada PSK turut diperkenalkan kepada umum, antaranya ‘Pantun Nama Tempat di Pahang,’ ‘Strategi Pengimarahan Masjid Era Digital’, ‘Wacana ITKAS, Jejak Silat Menyusuri Sungai Pahang’, dan ‘Pahang pada Era British’. Pameran buku ini memperlihatkan komitmen UMPSA dalam memperkukuh bidang kemanusiaan serta menyemarakkan penyelidikan berasaskan warisan tempatan.

Menghidupkan Khazanah Bangsa Menerusi Geografi Negeri

Penyusun buku, Ahmad Ibrahim, bersama pihak penerbit berjaya menghasilkan karya yang mudah dibaca dan menarik. Gaya penyampaiannya sederhana tetapi sarat dengan makna. Setiap bab memberikan gambaran jelas tentang fungsi pantun sebagai alat komunikasi, penyampai nilai, dan cerminan masyarakat.

Buku ini juga menjadi sumber ilham kepada generasi muda untuk terus mencintai bahasa Melayu dan menghargai warisan bangsa. Dalam era digital yang serba pantas, usaha seperti ini amat penting agar seni pantun kekal hidup dan tidak luput ditelan zaman. Membaca buku ini membantu pembaca memahami bahawa setiap nama tempat di Pahang bukan sekadar catatan geografi, tetapi mengandungi kisah, makna, dan nilai kehidupan yang berharga.

Secara keseluruhannya, ‘Pantun Nama Tempat di Pahang’ merupakan usaha dalam memelihara warisan sastera Melayu. Ia bukan sekadar buku himpunan pantun, tetapi juga sebuah dokumen budaya yang memperkenalkan negeri Pahang dari sudut bahasa dan seni.

Buku ini menyerlahkan peranan pantun sebagai cermin kepada kehidupan masyarakat Melayu yang mencintai budi, adab dan tanah air. Melalui karya ini, nilai moral, semangat kebersamaan, dan rasa cinta terhadap negeri terserlah dengan jelas.

Usaha Penerbit UMPSA menerbitkan karya seperti ini wajar diteruskan. Ia membuktikan bahawa sastera tradisional mampu kekal relevan jika diolah dengan pendekatan akademik dan budaya yang seimbang. Buku ini sesuai dijadikan bahan bacaan umum dan rujukan ilmiah untuk generasi kini dan akan datang.

 

Menghidupkan Khazanah Bangsa Menerusi Geografi Negeri

 

 

Ahmad Ibrahim

Oleh:  Ahmad Ibrahim
E-mel: ahmadbi@umpsa.edu.my

Penulis adalah Pensyarah, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri