Pembudayaan Ilmu melalui National Training Week (NTW) 2024
Minggu Latihan Kebangsaan atau lebih dikenali sebagai National Training Week (NTW) akan diadakan secara besar-besaran di seluruh Malaysia pada tahun ini mulai 24 Jun sehingga 30 Jun 2024. NTW merupakan minggu yang berfokuskan latihan bertujuan menanam budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia melalui peluang pembangunan kemahiran. Inisiatif ini telah diusahakan oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDC) pada tahun 2023 dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Pada tahun ini, HRD Corp telah menyasarkan sebanyak150,000 pendaftaran. NTW juga turut menyediakan satu platfom bagi rakyat Malaysia untuk melibatkan diri dalam memperkasakan lagi ilmu yang sedia ada mahupun menerokai bidang-bidang yang memberi manfaat buat mereka. Selain itu juga, NTW menyediakan ruang bagi penceramah yang ingin menyediakan pelbagai latihan, perkongsian ilmu dan seminar serta ingin bersama-sama menyumbang ilmu dan kepakaran kepada rakyat Malaysia. Para peserta diberikan kemudahan dari segi kehadiran dengan mendaftarkan diri sama ada secara bersemuka, dalam talian mahupun secara hibrid. Apa yang lebih menarik lagi, program latihan ini akan disediakan secara percuma dan meliputi pelbagai topik dan bidang kemahiran berdasarkan lima teras asas seperti kemahiran hidup, kemahiran masa depan, kreativiti dan inovasi, kewangan, dan pembangunan mampan. Teras ini dipilih berdasarkan keperluan bakat dan industri Malaysia. Pelaksanaan kursus-kursus latihan ini akan dikendalikan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, industri, ahli akademik, penyedia latihan, dan banyak lagi.
Apa yang menarik bagi penceramah dalam kalangan warga UMPSA dalam program NTW?
Dengan wujudnya program sebegini, NTW memberi ruang bagi ahli akademik mahupun bukan akademik di UMPSA untuk berkongsi kepakaran mereka sama ada kepada penduduk setempat khususnya mahupun warga Malaysia secara amnya. Perkongsian kepakaran yang ada merupakan satu kaedah mempromosi dan memperkenalkan UMPSA kepada semua. Pendekatan yang menarik dan berbeza sudah tentu akan menjadi satu daya tarikan yang luar biasa kepada para peserta yang menghadiri latihan ini. Penggunaan aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) boleh diperkenalkan kerana dapat memberi satu kelainan agar seiring dengan perubahan zaman dan teknologi. Penerapan Kecerdasan Buatan ini seharusnya digunakan agar para peserta kursus dapat melalui proses ini dengan secara langsung.
Selain itu, dengan keterlibatan warga UMPSA dalam NTW juga turut membantu UMPSA dalam membina jaringan di antara warga UMPSA dengan orang ramai. Tidak dinafikan dengan komitmen dalam pekerjaan turut membuat jurang hubungan antara warga UMPSA dengan orang ramai agak terbatas. Justeru, dengan wujudnya ruang NTW ini akan membantu sedikit sebanyak dalam membina jaringan serta hubungan profesional bagi kedua-dua belah pihak. Pelbagai kemahiran dan ilmu yang boleh diketengahkan agar dapat dikongsikan kepada orang ramai supaya dapat dimanfaatkan.
Perkongsian dari ahli akademik sudah tentu akan berbeza kerana ilmu dan kaedah yang dikongsi adalah hasil dapatan dari pelbagai kajian. Pendekatan dari sudut akademik boleh diperkembangkan melalui aplikasi dan kemahiran yang dapat digunapakai oleh rakyat Malaysia. Sudah tentu perkongsian ini memberi satu kelainan dan akan menjadi satu daya tarikan bagi latihan yang dikongsikan oleh ahli akademik di UMPSA. Perspektif dari sudut akademik yang kebiasaannya dikongsi di dalam artikel jurnal ataupun pada masa persidangan jarang sekali dikongsi secara umum namun dengan platfom sebegini, NTW telah merealisasikan perkongsian ini yang lebih efektif dari teori kepada praktikal.
Perkongsian ilmu dari hasil dapatan kajian dapat dimanfaatkan dengan mendapatkan maklumat secara langsung dari peserta kursus. Permasalahan yang dialami dan dihadapi oleh peserta sudah pasti akan dikongsi bersama ketika sesi latihan kursus. Ini sudah tentu memudahkan lagi untuk mendapatkan maklum balas dari peserta kursus.
Apa yang dilihat lebih menarik lagi adalah jam yang terkumpul bagi pengendalian kursus secara percuma ini dapat dikira sebagai jam latihan oleh penceramah. Ini amatlah berharga bagi penceramah yang sudah mendapatkan akreditasi untuk melengkapkan jam dalam pengendalian latihan. Jumlah jam yang dikumpul sebanyak 360 jam selama tiga tahun amatlah penting bagi penceramah melayakan diri untuk mendapatkan penyambungan akreditasi dari HRD Corp.
Manakala bagi penceramah yang telah pun mendapatkan persijilan (Training of Trainers) TTT sebelum tahun 2021 sama ada melalui kursus lima hari ataupun melalui pengecualian TTT, ini merupakan satu peluang keemasan yang patut diambil bagi mengumpul 120 jam latihan dalam tahun ini bagi melayakkan diri untuk memohon pengakreditasian oleh HRD Corp.
Apa pula yang menarik bagi peserta dalam kalangan warga UMPSA dalam program NTW?
Dengan penawaran kursus latihan dalam talian secara percuma, warga UMPSA boleh mendalami ilmu dengan menghadirkan diri secara maya. Pelbagai kursus yang ditawarkan dan sudah tentu dapat memberi ruang bagi warga UMPSA bagi meningkat ilmu yang sedia ada. Kursus yang berkaitan dengan pekerjaan amatlah membantu warga UMPSA bagi memperbaiki mutu pekerjaan dari segi hard skills dan juga soft skills. Peluang sebegini haruslah digunakan sebaik yang mungkin dan dimanfaatkan bersama. Oleh itu, staf UMPSA seharusnya diberi ruang bagi minggu ini untuk mendalami ilmu dan menerokai ilmu yang dapat mempertingkatkan lagi kemahiran dalam pekerjaan.
Platfom secara maya amatlah bertepatan terutamanya bagi warga UMPSA yang mempunyai kekangan untuk menghadiri latihan secara bersemuka. Dengan penyediaan akses secara maya ini sudah tentu memberi kemudahan bagi warga UMPSA untuk turut serta bagi menjayakan program NTW tahun ini.
Program sebegini yang diadakan secara tahunan sudah pasti memberi kesedaran akan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat buat kita semua. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan minat kepada pecinta ilmu di samping dapat mempromosikan budaya pembelajaran kepada rakyat Malaysia. Tawaran kursus-kursus yang disediakan ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh pelajar, graduan, pekerja bagi meningkatkan kemahiran yang sedia ada selain dari meningkatkan kebolehpasaran mereka dari semasa ke semasa.
Penulis ialah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Accredited HRD Corp Trainer.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: azlinda@umpsa.edu.my
- 274 views