Penjajahan alaf baharu – Merdekakah Kita?
Merdeka! Merdeka! Merdeka!. Bukan sekadar laungan. Laungan keramat ini sering kita dengar setiap kali menjelangnya Hari Kebangsaan Malaysia pada tanggal 31 Ogos setiap tahun bagi menyemat semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
Zaman sekarang bukan lagi seperti zaman dahulu. Zaman dahulu kita dijajah oleh bangsa asing dan juga komunis. Para pejuang kemerdekaan bergadai nyawa dalam memastikan negara kita Malaysia tercinta ini bebas dari penjajahan. Detik 31 Ogos 1957, negara kita Malaysia telah bebas daripada cengkaman penjajah dan kita berjaya membentuk negara bangsa dengan acuan kita sendiri. Kini, dalam era zaman serba maju lagi canggih, kita ‘dijajah’ pula oleh penularan wabak pandemik COVID-19 yang telah menyerang seantero dunia.
‘Malaysia Prihatin’ merupakan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun 2021. Tema ini amat bertepatan dengan situasi semasa negara yang berdepan dengan kemelut pandemik COVID-19. Kemerdekaan bagi tahun ke-64 ini masih lagi belum memberi kebebasan sepenuhnya kepada kita. Isu seperti kematangan dalam pemikiran, sikap, ekonomi bumiputera, kesihatan, keselamatan dan kewangan membuktikan kita memerlukan satu anjakan dalam pemikiran. Kita masih belum merdeka sepenuhnya selagi mana musuh baharu kita menyerang setiap pelosok negara menyebabkan rakyat hidup dalam ketakutan dan kesusahan seolah-olah dikejar oleh sesuatu, tetapi ia sama sekali tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Kita masih belum menang dan merdeka dari penjajah alaf baharu ini. Adakah kita sebagai warganegara Malaysia benar-benar prihatin? Merdekakah kita?
Sehingga artikel ini ditulis, wabak COVID-19 secara global telah menjangkiti lebih 212 juta populasi dunia dan mengakibatkan kehilangan lebih 4.44 juta nyawa. Dalam situasi dan krisis COVID-19 yang melanda dunia, ia secara tidak langsung telah telah membentuk norma baharu dalam seluruh kehidupan kita seharian. Hikmah di sebalik ujian Allah SWT memberi seribu makna dalam kehidupan. Perubahan dek akibat PKP menyebabkan keakraban keluarga semakin bertambah, kesihatan diri dan orang tersayang menjadi keutamaan, pemakanan sihat menjadi keperluan dan bukan lagi kehendak. Perniagaan dalam talian menjadi pilihan kerana kekangan pergerakan, malah perkerkaan dalam sektor ekonomi GIG tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Ujian pendamik ini juga menguji segelintir kekuatan hati manusia. Ada yang dahulu tergolong dalam golongan T20, menerima musibah jatuh ke dalam golongan M40 dan B40. Kerancakan industri seperti penerbangan, pelancongan, Industri Kecil Sederhana (IKS), pembinaan, pengurusan acara, perkhidmatan dan pertanian dikejutkan dengan kecutnya graf permintaan serta halangan pergerakan. Banyak pemain industri dalam bidang tersebut terpaksa gulung tikar. Kesannya juga memberi impak yang tinggi terhadap pengangguran.
Setelah hampir dua tahun PKP, rakyat kini dilihat makin tersepit dan dihimpit dengan pelbagai masalah khususnya yang berkaitan dengan kewangan. Pada tahun pertama pelaksanaan PKP, rata-rata rakyat kategori B40 cukup terkesan dengan penutupan sektor-sektor ekonomi tertentu. Keadaan ini dilihat telah ‘menjangkiti’ pula golongan M40. Jika keadaan wabak COVID-19 ini masih tidak dapat dikawal, tidak mustahil golongan T20 pula bakal menerima tempiasnya.
Dalam usaha untuk ‘memerdekakan’ rakyat, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif rangsangan ekonomi seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA+), Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN). Namun, sampai bila kerajaan akan bagi bantuan? Nak bagi pancing atau ikan? Sudah sampai masanya, kerajaan mengubah bentuk bantuan yang lebih mampan dan bersifat jangka panjang seperti mengurangkan karenah birokrasi dalam proses untuk memulakan perniagaan, menyediakan lebih banyak tempat perniagaan, pengecualian cukai pendapatan dan perniagaan bagi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), memperbanyakkan lagi platform perniagaan dan sebagainya.
Justeru, amatlah wajar agar segenap lapisan masyarakat dapat menjiwai dan mempupuk sikap patriotisme yang bukan hanya sekadar meraikan sambutannya setiap tahun bahkan perlu menjiwai roh merdeka itu setiap masa. Jangan jadikan pandemik COVID-19 yang melanda negara sebagai alasan untuk kita tidak mengenang jasa dan pengorbanan pejuang negara terdahulu serta para barisan hadapan yang bertungkus-lumus mempertahankan negara dari ancaman Covid-19. Mereka inilah wira-wira yang tak didendang (unsung heroes). Kita juga harus memainkan peranan dalam memberi kerjasama untuk 'merdeka' daripada Covid-19. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, marilah kita bersama-sama mengisi dan menghayati erti kemerdekaan ini dengan mengamalkan nilai-nilai murni, meningkatkan kemahiran dan juga menambahkan ilmu pengetahuan
Kesimpulannya, ingatlah, kita masih lagi belum ‘merdeka’, kita masih belum menang dalam menentang penjajahan alaf baharu ini. Sehingga kini, wabak yang menular belum menunjukkan tanda ia akan berakhir dalam masa terdekat. Justeru, jadikan semangat kemerdekaan ini sebagai asas untuk kita sama-sama perangi ‘musuh yang tidak kelihatan’ ini. Kita perlu yakin bahawa kita mampu melawan pandemik ini sekiranya semua rakyat saling bekerjasama dan mengikuti setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan.
Kayu jati kayu berlian,
Hendak dipahat jadi hiasan,
‘Malaysia Prihatin’ semarakkan kemerdekaan,
Banteras Covid-19 habis-habisan.
Penulis ialah Pegawai Penerbitan Kanan, Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: safriza@ump.edu.my
- 2716 views