Pentingnya guru dalam membentuk laluan kerjaya pelajar
Guru bukanlah satu kata nama yang asing dalam kehidupan seseorang. Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), iaitu satu kemudahan dalam talian yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, guru bermaksud orang yang mengajar, pendidik, pengajar, atau pengasuh. Bermula daripada bayi, ibu bapa dan ahli keluarga merupakan ‘guru’ pertama dalam kehidupan seseorang. Bagi bayi atau kanak-kanak yang diasuh di taska atau rumah pengasuh oleh seorang pengasuh–individu ini juga memainkan peranan sebagai ‘guru’.
Seterusnya, seawal usia empat tahun, anak ini dihantar pula ke tadika atau prasekolah sebagai persediaan awal ke alam pendidikan formal iaitu cikgu taska atau cikgu tadika menjadi ‘guru’ mereka. Di sinilah bermulanya penggunaan perkataan ‘cikgu’ atau teacher bagi merujuk kepada nama panggilan guru-guru ini. Tambahan pula, kata nama ‘guru’ ini lebih ditekankan apabila anak ini meneruskan pengajian formal ke peringkat sekolah rendah, menengah, dan juga universiti, sejajar dengan tanggungjawab hakiki warga pendidik di semua institusi pendidikan iaitu mendidik dan membangun anak bangsa. Sama ada ibu bapa, ahli keluarga, pengasuh, atau pendidik formal, mereka semua adalah ‘guru’ kerana mereka berperanan dalam membentuk asas kehidupan seseorang.
Dalam konteks pendidikan, pengaruh dan peranan guru memang tidak dapat disangkal. Guru tidak hanya sekadar menyampaikan pengetahuan tetapi juga memberi inspirasi kepada pelajar. Mereka membentuk persepsi pelajar terhadap dunia, membantu mereka memahami nilai-nilai murni, dan mengembangkan kemahiran kritis yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Selain itu, guru juga berperanan sebagai pembimbing emosi, memberi sokongan kepada pelajar dalam menghadapi cabaran dan menangani konflik. Dengan kata lain, guru membentuk landasan kehidupan yang kukuh bagi setiap individu, mempersiapkan mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sosial, akademik dan profesional.
Sehubungan dengan itu, guru atau pendidik yang profesional tidak hanya menguasai bidang akademik mereka. Guru tidak hanya mengejar kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran pelajar, tetapi juga bertindak sebagai pendorong dan pembentuk laluan kerjaya mereka. Dalam konteks membentuk laluan kerjaya pelajar, peranan guru adalah amat kritikal dan melibatkan pelbagai aspek penting yang dapat memberikan impak signifikan. Berikut adalah empat peranan utama guru dalam membentuk laluan kerjaya pelajar:
Mengenal pasti potensi dan minat pelajar
Guru memainkan peranan penting dalam mengenal pasti potensi dan minat pelajar melalui pemerhatian dan penilaian yang teliti. Dengan memahami kekuatan dan kelemahan pelajar, guru dapat memberikan nasihat yang tepat mengenai bidang kerjaya yang sesuai dan membantu pelajar menetapkan matlamat kerjaya yang realistik dan bermakna.
Berperanan sebagai mentor dalam membimbing kerjaya
Guru memainkan peranan penting sebagai mentor dalam membimbing pelajar ke arah mencari kerjaya terbaik yang sesuai dengan kelayakan mereka. Sebagai mentor, guru memberikan panduan dan nasihat berdasarkan pengetahuan dan pengalaman mereka, membantu pelajar mengeksplorasi pelbagai bidang kerjaya dan menemukan jalan yang paling sesuai dengan minat dan bakat mereka. Dengan pendekatan yang lebih umum dan inklusif, guru bukan sahaja menyediakan maklumat, tetapi juga membina hubungan yang mendalam dengan pelajar, memahami keperluan dan aspirasi mereka, dan membantu mereka merancang masa depan mereka dengan lebih baik.
Penerapan kemahiran insaniah
Selain daripada pengetahuan akademik, guru juga perlu menitikberatkan kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah, kepimpinan, dan kerja berpasukan. Kemahiran ini sangat diperlukan dalam dunia pekerjaan dan membantu pelajar menjadi lebih berdaya saing dan bersedia untuk menghadapi cabaran profesional. Justeru, pembangunan kemahiran insaniah ini dapat menggalakkan kemajuan diri seterusnya melengkapkan persediaan dalam mendapatkan profesion pilihan.
Menyokong kesejahteraan emosi
Guru seharusnya memberikan nasihat dan sokongan emosi yang berterusan kepada pelajar. Mereka membantu pelajar mengatasi cabaran, menawarkan panduan dalam mengambil keputusan penting, dan memberikan dorongan moral untuk memastikan pelajar terus bersemangat dan fokus dalam mencapai matlamat kerjaya mereka.
Oleh itu, kita harus mengakui bahawa peranan guru dalam membentuk laluan kerjaya pelajar adalah sangat penting dan tidak ternilai. Mereka adalah inspirasi, mentor, dan pembimbing yang menyediakan asas yang kukuh bagi kejayaan masa depan pelajar. Dengan dedikasi dan komitmen yang tinggi, guru membantu pelajar mengembangkan potensi mereka dan mencapai impian kerjaya masing-masing. Sebagai masyarakat, kita perlu terus memberikan sokongan dan penghargaan yang sewajarnya kepada guru-guru yang telah banyak berjasa dalam membentuk generasi yang cemerlang dan berdaya saing. Mengambil daripada teks perutusan Yang Berhormat Menteri Pendidikan bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53 Tahun 2024, ‘Sekali bergelar guru, sampai hujung nyawa dipanggil cikgu’ – inilah penghormatan yang wajar kita berikan kepada mereka.
Penulis adalah Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: hanisah@umpsa.edu.my, farahliyana@umpsa.edu.my dan azimahaz@umpsa.edu.my
- 1280 views